Tangani kemungkinan hotel tutup operasi di Melaka

- Advertisement -

BARU-BARU ini portal berita New Straits Time (NST) melaporkan bahawa Hotel Ramada Plaza Melaka bakal ditutup pada 30 Jun ini kesan dari wabak Covid-19. Hotel ini dimiliki oleh MTB Sdn Bhd dan beroperasi di bawah perjanjian pengurusan dengan Wyndham Hotel Group Asia Pacific Co Ltd.

Menurut NST, MTB Sdn Bhd telah memaklumkan kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar Dan Restoren Semenanjung Malaysia tentang hasrat untuk menutup operasi dalam satu surat bertarikh 28 April.

Hotel lima bintang yang selama hampir 40 tahun telah menjadi antara mercutanda pelancongan Negeri Melaka ini mula beroperasi pada tahun 1981. Seingat penulis pada tahun 80-an semasa ia mula beroperasi bangunan Hotel Ramada Plaza ini merupakan bangunan tertinggi dan termoden di Negeri Melaka ketika itu.

Di Negeri Melaka sekitar tahun 80an tidak banyak bangunan tinggi yang merupakan bangunan pejabat dan perdagangan. Biasanya bangunan yang tinggi di Melaka pada masa itu ialah bangunan hotel. Lebih-lebih lagi Melaka adalah negeri pelancongan.

- Advertisement -

Selepas membaca berita penutupan Hotel Ramada Plaza Melaka tersebut penulis terus menghubungi seorang rakan yang telah lama terlibat di dalam industri perhotelan di Melaka. Beliau telah lebih 20 tahun berada dalam bidang ini dan pernah menjadi pengurus di beberapa buah hotel di Melaka.

Menurut rakan penulis itu ia merupakan satu berita yang agak menakutkan memandangkan Hotel Ramada Plaza Melaka adalah sebuah nama besar. Biasanya syarikat besar seperti itu mempunyai kemampuan dana yang besar, namun tetap terpaksa ditutup kesan daripada Covid-19.

Ini bermakna jika sebuah hotel bertaraf lima bintang dan besar seperti itu terpaksa tunduk kepada penangan Covid-18, apa lagi dengan hotel-hotel yang lebih kecil?

Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan samada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan ialah tentang nasib pekerja-pekerja yang bakal hilang pekerjaan akibat kemungkinan penutupan hotel-hotel ini.

Perkara kedua yang harus dipertimbangkan ialah bagaimana pihak kerajaan terutama Kerajaan Negeri Melaka boleh bertindak untuk menyelamatkan hotel-hotel di dalam Negeri Melaka daripada menutup operasi?

Sekiranya hotel-hotel ini masih boleh meneruskan operasi maka masalah pertama tadi, iaitu pekerja hotel yang bakal hilang pekerjaan, tidak lagi menjadi masalah.

Menurut rakan penulis itu lagi, apa yang tambah membimbangkan ialah kemungkinan bahawa hotel-hotel yang ditutup ini bakal dibeli oleh saudagar-saudagar dari China yang sekarang ini dikatakan sedang mengintai-intai peluang membeli hotel-hotel yang ditutup ini secara ‘jualan murah’.

Walau pun ramai ahli perniagaan di dunia yang terjejas dengan Covid-19 namun dipercayai masih ramai lagi saudagar-saudagar dari Tanah Besar China yang masih mempunyai kewangan yang kukuh di sebalik kehancuran dunia disebabkan Covid-19.

Saudagar-saudagar dari China ini sudah pasti nampak prospek pelancongan Malaysia-China di mana kita semua sedia maklum bahawa Malaysia memang menjadi tumpuan pelancong-pelancong dari Negara China.

Kemampuan kewangan saudagar-saudagar dari China tidak dapat dinafikan. Kemungkinan apabila mereka mengambil alih hotel-hotel ini mereka mampu ‘membuang harga’ dengan menawarkan pakej yang sangat murah. Ini boleh menyebabkan hotel-hotel milik rakyat tempatan tidak boleh cari makan dan mungkin ditutup dan dijual. Dan akhirnya mungkin semua hotel boleh dibeli oleh mereka.

Akhirnya rakyat tempatan dan Kerajaan Melaka sendiri akan terkesan dan tidak mendapat limpahan faedah dari pelancongan yang menjadi nadi dan nyawa Negeri Melaka apabila ekonomi sudah pulih semula nanti.

Kerana itu penulis mencadangkan agar pihak Kerajaan Negeri Melaka memberi perhatian yang lebih mendalam terhadap industri perhotelan di Melaka agar ia tidak berdepan kemungkinan dikuasai oleh satu-satu negara tertentu sahaja yang akhirnya boleh membahayakan ekonomi rakyat tempatan.

Mungkin Kerajaan Negeri Melaka dengan bantuan dana dari Kerajaan Persekutuan boleh menubuhkan GLC untuk menyelamatkan dan membeli hotel-hotel ini dengan dua tujuan; Yang pertama untuk mengelakkan dari ia dibeli dan dikuasai oleh negara-negara tertentu; Yang kedua untuk menyelamatkan agar kakitangan-kakitangan hotel tidak hilang pekerjaan.

Selain itu, GLC milik Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan yang sedia ada yang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh juga boleh membeli hotel-hotel ini.

Memang kita di dalam situasi kegawatan ekonomi. Kita faham untuk mengambil alih hotel-hotel ini bukan sahaja memerlukan modal yang besar tetapi juga melibatkan kos operasi yang besar juga.

Kita tahu kemampuan rakyat negara ini untuk melancong mungkin sudah berkurang. Dan sebenarnya bukan sahaja kemampuan rakyat negara kita sahaja, kemampuan rakyat seluruh dunia juga terjejas.

Kita pun tahu sekiranya wabak ini berakhir ia mungkin mengambil masa bertahun lagi untuk ekonomi pulih semula. Namun jika kebanyakkan hotel ini dipegang oleh Kerajaan Negeri ia akan menjadi aset jangka panjang yang akan memberi keuntungan pada masa hadapan.

Sekiranya kerajaan melalui GLC mengambilalih hotel-hotel ini pihak pengurusan hotel yang baharu boleh berbincang dengan pekerja untuk mereka mengambil cuti tanpa gaji secara bergilir-gilir sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang yang kemungkinan menjadi tempoh paling kritikal. Ini boleh mengurangkan beban ‘overhead’ syarikat. Dan pekerja tidak hilang terus pekerjaan mereka.

Walau pun ekonomi dijangka memerlukan masa bertahun untuk pulih semula namun penulis percaya sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang industri pelancongan domestik akan menunjukkan pemulihan walau pun sedikit.

Walau pun ramai yang hilang pekerjaan dan banyak perniagaan yang runtuh akibat Covid-19 namun segmen pelanggan dari kalangan kakitangan kerajaan masih tidak terjejas kerana mereka tidak hilang pekerjaan seperti pekerja swasta. Mereka mungkin akan mula melancong semula selepas wabak Covid-19 pulih sepenuhnya.

Kita bukan tidak pernah melalui era kemakmuran. Begitu juga dengan zaman gawat. Kita bimbang jika semua hotel-hotel ini dimiliki oleh saudagar-saudagar dari negara tertentu kita akan berputih mata melihat mereka meraih keuntungan apabila tiba zaman kemakmuran ekonomi nanti.

Seperti kata pujangga, ‘Hujan tahu bila ia harus membasahi tanah dan bila ia harus berhenti. Percayalah, selepas hujan pasti akan muncul pelangi yang indah’.

IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah. – HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -