Seramai 44 ditahan langgar SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan Task Force operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah menahan seramai 44 individu kerana melanggar peraturan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula dengan penahanan seorang individu pada 12 Mei, disusuli sepuluh pada hari berikutnya dan semalam bertambah sehingga 44 orang.

Menurutnya, ini menunjukkan kerajaan amat tegas bagi memastikan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Akta 342 agar dipatuhi oleh semua.

- Advertisement -

Ujarnya yang juga Menteri Pertahanan, mereka ditahan itu didapati melanggar Akta 342 dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Beliau berkata, pasukan Task Force yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,617 pemeriksaan di seluruh negara.

Ia melibatkan pemantauan dan pemeriksaan SOP PKPB terhadap 4,466 premis pasaraya, 4,519 premis restoran dan 1,129 kilang serta 4,655 premis bank.

Turut diperiksa 1,170 terminal pengangkutan darat, 199 terminal pengangkutan air dan 85 terminal pengangkutan udara.

Selain itu, sebanyak 28,349 kenderaan persendirian, 2,320 kenderaan awam, 2,404 pasar awam, 3,563 tempat ibadah, 1,622 tempat riadah dan 289 tapak binaan telah diperiksa.

Operasi semalam maklumnya melibatkan 3,288 anggota pasukan pemantauan dengan penyertaan 17,060 yang turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwan Pengguna (KPDNHEP).

Terdahulu, beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru, Gombak Selangor ditamatkan pada hari ini. – HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -