Semua orang sayangkan mak

- Advertisement -

KEDENGARAN suara perempuan tua sedikit meraung dari dalam rumah. Dia bagaikan mahu keluar dari rumah itu, tetapi tidak berjaya kerana dia tidak punyai kudrat. Akhirnya dia menangis setelah puas meronta-ronta. Banyak juga calar di tangan dan di badannya, akibat rontaannya itu. Anaknya masih di pejabat berkerja.

Setiba anaknya di rumah, dilihat keadaan ibunya tidak terurus. Dia agak terkejut kerana sangkanya ibunya terkena sesuatu. Lalu dia mendapatkan ibunya.

- Advertisement -

“Kenapa mak?,” tanya Azman.

“Aku tak nak duduk sini lagi, aku nak keluar,” kata ibunya.

“Tapi kenapa mak? Selama ini takde masalah jer, mak duk sini,” pujuk Azman.

“Aku takut, aku nak balik,” rayu ibunya lagi sambil menangis. “Aku duduk seorang, kau kerja, aku takut…,” ulang ibunya lagi.

Sudah hampir dua tahun ibunya duduk bersama Azman semenjak ayahnya meninggal. Tak pernah ada masalah.

Sememangnya ibu Azman sentiasa ditinggal keseorangan bila Azman pergi kerja. Pening juga Azman memikirkannya, kenapa tiba-tiba ibunya berubah fikiran.

Setelah lama memujuk, tetapi ibunya tetap berkeras mahu keluar, diambilnya telefon bimbit, lalu Azman membuat panggilan kepada kakaknya, Ima.

“Kak Ma, mak ini, macam ada yang tak kena jer,” keluh Azman kepada kakaknya.

Mendengar saja nama anak perempuannya dipanggil, segera ibunya berteriak mahu bercakap dengan Ima. Terkejut Azman. Lalu diberikan telefon kepada ibunya.

“Ima, cepat ambik mak, mak dah tak tahan ini. Adik kau… mak dah tak mahu tinggal dengan dia,” dengan sedu sedan, esak tangis ibunya merayu kepada Ima. Ima terkejut, kenapa jadi begitu. Segera dia memujuk ibunya.

“Sabar mak, sabar, nanti mak, esok Ima datang,” kata Ima.

“Tak mau, aku nak keluar malam ini juga,” teriak ibunya.

Jauh juga jarak rumah Ima dengan rumah Azman, tapi tak apa, demi ibunya dia, berjanji akan datang segera. Hampir sejam, Ima sampai.

Terbeliak mata Ima melihat ibunya yang calar-balar bagai dirotan. Langsung dia berpaling ke arah Azman dengan menjegilkan matanya.

“Apa yang kau buat kat mak ini Azman?,” tanya Ima sangat tidak berpuas hati.

“Kau belasah mak ya?,” desak Ima lagi.

“Ala kak, janganlah main tuduh-tuduh gitu, saya tak sentuh pun mak, tak buat apa-apa pun,” balas Azman agak keras. Marah juga dia sebab dituduh memukul ibunya.

“Ya Ima, Azman pukul mak, dia tak suka mak. Mak dia tak bagi makan,” adu ibunya kepada Ima.

Apa lagi mengamuklah Ima mendengar cerita ibunya itu. Merah padam mukanya menjerit memarahi Azman.

“Kau anak derhaka. Sanggup kau buat mak begini. Dia dah tua, kau seksa dia, tak bagi makan,” sergah Ima.

“Kalau kau tak nak jaga mak, biar aku yang jaga. Tak sangka kau selama ini, ini yang kau buat kat mak,” marah Ima lagi.

“Mari kita pergi mak, mak duk rumah Ima, Ima jaga mak,” pujuk Ima.

Malam itu juga mereka bertolak pulang ke rumah Ima. Azman juga sangat kecewa kerana dituduh tidak menjaga keperluan ibunya. Ceritanya ditolak oleh Ima. Bagi Ima ia sekadar mahu menunjukkan yang Azman tak bersalah. Dia berkelahi besar dengan Ima malam itu.

“Ok mak, masuk dalam. Mak nak makan apa-apa tak?” tanya Ima, sebaik mereka sampai di rumahnya.

“Ya Ima, mak nak makan, mak lapar sangat ini. Tak sangka Azman buat macam ini kat mak,” keluh ibunya.

“Sudahlah mak, mak dah ada rumah Ima sekarang, mak tak kan rasa apa yang dah jadi kat sana itu lagi. Ima akan jaga mak betul-betul,” ikrar Ima kepada ibunya.

Mereka berpelukan. Malam itu berselera sungguh nampak ibunya makan. Air mata Ima menitis mengenang jahatnya sikap Azman. Mahu saja dia memberitahu kepada abang sulung mereka Sham. Tapi memikirkan Sham yang garang itu, Ima tidak mahu sesuatu yang lebih buruk berlaku. Dia diamkan saja.

Tiga minggu berselang, Azman menerima satu mesej dari kakaknya Ima. Azman mulanya malas nak balas, bahkan nak tengok pun meluat. Benci benar dia dengan kakaknya sekarang.

Semenjak peristiwa hari itu, mereka langsung tak berhubung. Tetapi apabila banyak sangat mesej dari Ima yang masuk, diap un membuka untuk membacanya.

“Azman, tolong datang segera rumah akak, petang Sabtu, ada hal penting, pasal mak,” Azman membaca mesej itu. Tersentak juga Azman dengan mesej yang agak mencemaskan itu. Dia tidak membalasnya, hanya memikirkan kenapa agaknya. Sesuatu anggapan bermain di fikirannya.

Setelah beberapa kali lagi mesej yang sama dari Ima masuk, Azman menjawab sepatah… Ok. Dia sebenarnya resah apabila mendapat mesej itu.

Tetapi Azman tidak terfikir ia perkara kecemasan, kerana jika kecemasan, pastinya dia diperlukan segera pada hari itu untuk berada di rumah kakaknya. Azman malas nak fikir sebab nanti dia akan berhadapan pula dengan kakaknya yang dia berkelahi hari itu.

Petang Sabtu, Azman memberi salam dan disambut oleh Ima.

“Azman sihat?,” tanya Ima. “Ok,” sepatah ringkas dijawabnya. “Mana mak?” tanya Azman. “Ada di dalam, tidur agaknya,” kata Ima. Abang Sham pun dah nak sampai dah. “Macam ini Man,” kata Ima. Tetapi terhenti kerana mendengar deruan enjin kereta.

Kelihatan sebuah lagi kereta memasuki perkarangan rumah Ima. Diperhatikan Azman, rupanya itu kereta abangnya yang sulung, Sham bersama isterinya turut datang.

“Assalamualaikum bang,” sapa Azman dan dijawab oleh Sham dengan wajah yang serius.

“Mana mak,” tanya Sham. Matanya merenung tepat ke arah Ima.

“Sham… Sham… tolong mak Sham…,” jerit ibunya sebaik dia melihat Sham. “Ima dah tak suka mak tinggal sini, dia tak mahu jaga mak Sham…,” kata ibunya. Ima diam. Dia segera ke dalam mahu mendekati ibunya, tetapi dia dijerkah, tidak mahu Ima menyentuhnya.

Sham segera memeluk ibunya, dilihat banyak kesan seperti dipukul di badan ibunya. Sham begitu marah dan segera berpaling melihat Ima. Matanya berkaca. Mahu sahaja ditampar adiknya yang tidak tahu diuntung itu. Bergetar lengannya menahan api kemarahan. Sungguh tak disangka.

“Sham, mak dah tak tahan, mak nak keluar, mak nak balik…,” tangis ibunya. Ima diam, menangis, tak terkata. Azman melihat Ima dan dia memahami keadaan Ima. Sham pula segera membawa ibunya masuk ke kereta dan beredar, tanpa berkata apa-apa. Semua orang tidak tahan mahu menjaga ibu. Tetapi jika tidak tahan, kenapa harus dipukul ibu mereka, bentak hati kecil Sham.

Tujuan perjumpaan mereka ialah bagi memikirkan bersama cara terbaik bagi menjaga ibu mereka. Banyak kali mahu dijelaskan Ima, tetapi Sham kata, tunggulah cakap kat rumah nanti.

Akhirnya ia terbatal dengan melihat keadaan ibu mereka yang terseksa begitu. Sham benci melihat adik-adiknya itu. Tiada lagi perbincangan.

Mujur isteri Sham seorang yang baik dan dia sanggup membantu Sham menjaga ibunya. Hanya Azman dan Ima berbincang. Mulanya mereka mahu menghantar mesej kepada Sham. Tetapi mereka fikir, adalah lebih baik, menunggu mesej dari Sham. Dia sedang marah.

Benar, selang seminggu, Sham menelefon kedua adiknya untuk datang ke rumahnya. “Segera,” kata Sham. Keduanya akur kerana sudah dapat menghidu sesuatu yang terbaik akan diperolehi.

Sham mengajak kedua adiknya masuk ke rumah dan masing-masing terpaku melihat ibu mereka. Meracaunya lebih kuat kali ini. Mengamuk ibunya menjerit memberitahu Sham sudah tidak sayangkan dia lagi.

Sham memberitahu kedua adiknya, setelah dibawa pulang, ibu mereka diberikan kebebasan untuk keluar ke persekitaran perumahan Sham, mungkin boleh menghilangkan rasa bosannya.

Tetapi apabila Sham ke surau, dia mendapat bisikan dari jamaah surau mengatakan ada khabar yang Sham menyeksa ibunya. Sham tidak memberinya makan dan sering memukulnya.

Sham begitu malu dengan aduan sebegitu yang diberikan oleh ibunya kepada jiran-jiran. Bukan sekali dan sebuah rumah yang ibunya singgah meminta makanan dan mengadu kelaparan dan kesakitan akibat Sham yang memukul dan mengabaikannya.

Aduh… mana mahu diletakkan mukanya. Dia seorang jamaah tetap surau, tetapi menjadi anak derhaka. Ada jamaah yang faham, tapi ada juga yang sinis.

Sham kemudiannya membawa ibunya ke klinik bagi mendapatkan nasihat doktor. Doktor mengesahkan ibunya mengalami masalah ingatan yang agak serius. Sham kesal kerana menuduh kedua adiknya mengabaikan ibunya sedangkan mereka telah berusaha sedaya upaya.

Mereka tidak berkomunikasi dengan baik dalam isu ini. Ima juga telah meminta maaf dari Azman atas peristiwa dahulu setelah Ima sendiri terkena.

Mereka tidak mampu memberitahu Sham kerana Sham begitu marah saat mengambil ibunya pulang. Manakala fitnah terus beransur reda setelah orang ramai mengetahui duduk perkara sebenar.

Mereka semua bersimpati akan nasib yang menimpa keluarga ini. Mereka sayangkan ibu mereka, mereka tidak mengabaikannya, tetapi akibat dari penyakit ibunya yang datang tiba-tiba, mereka menjadi mangsa keadaan.

Orang ramai yang bercakap buruk dan memfitnah pula kerana tidak bertanyakan hal sebenar dari keluarga itu. Hanya beberapa orang yang sudah biasa dengan Sham menyokong Sham kerana mereka tahu keadaan sebenar yang berlaku.

Tinggallah ibunya dengan Sham sekarang. Walaupun terpaksa mengurung dan kadang-kadang mengikat ibunya, tetapi itulah hal yang terbaik kerana mungkin ibunya boleh melakukan sesuatu yang lebih buruk.

Jika dilihat orang, mungkin seperti menyeksa ibunya. Tetapi hakikatnya Sham dan keluarganya sahaja yang tahu, bagaimana remuknya hati mereka kerana terpaksa melakukannya. Orang luar boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu, kerana tidak terkena kepada mereka.

Jika dibenci orang, buat baik ternampak buruk, jika disukai orang, buat jahat sekalipun dipuji orang. Begitulah ragam manusia. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Semua orang sayangkan mak… Cuma berbeza kaedahnya. Moga Allah ampunkan kita.

MOHD NASIR ABDULLAH
15 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 15/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -