PAS Pahang ziarah wartawan senior Harakah

- Advertisement -

TEMERLOH: Penderitaan wartawan senior akhbar Harakah, Basiron Abd Wahab yang mengalami strok sejak 3 bulan lalu mendapat simpati saf kepimpinan PAS Pahang.

- Advertisement -

Menerusi kunjungan pimpinan negeri dan ahli-ahli dewan undangan negeri PAS itu, sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan rumah turut disampaikan.

Basiron, 59 tahun telah berkhidmat dengan akhbar Harakah sejak tahun 1996 dan menjadi wartawan Pahang yang aktif menulis pelbagai berita dan rencana.

Namun sejak awal Februari lalu kesihatan beliau mula merosot dan disahkan mengalami strok oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pada 18 Februari 2020.

Sejak sakit, beliau tidak mampu lagi menulis dan melakukan apa-apa pekerjaan. Bahkan perniagaan nasi lemak isterinya, Siti Hajar Abdullah juga tergendala kerana terpaksa menumpukan penjagaan suaminya.

“Kalau hari cuti sekolah, bolehlah saya bergilir dengan anak saya Nurul Sarina Salsabila antara menjaga ayahnya dan menjual nasi lemak,” ujar Siti Hajar, 49 tahun, yang tinggal di sebuah rumah yang disewa dengan harga RM450.

Antara pimpinan PAS Pahang yang hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya, Md Jusoh Darus, Bendahari BPPNP Ustaz Shahril Azman merangkap ADUN Jengka, Ketua Penerangan Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya merangkap ADUN Panching dan Timbalannya, Ustaz Aris Hazlan Ismail.

Turut hadir ialah ADUN Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak, ADUN Luit Mohd Sufian Abd Jalil, ADUN Tahan Ustaz Mohd Zakhwan bin Ahmad Badarddin dan lain-lain.

Bagi sesiapa yang berhajat menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kehidupan keluarga ini, bolehlah menyalurkan turus sumbangan ke akaun isteri Basiron, Siti Hajar Abdullah BSN 06400-41-00016191-3.

Sebarang pertanyaan atau pemakluman sumbangan bolehlah menghubungi talian Siti Hajar 013-9929457 (telefon sahaja) atau anaknya Khairul Imran 014-5003632 (WhatsApp). – HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -