Muafakat Melayu tunjang kestabilan politik negara

- Advertisement -

BULAT air kerana pembetung;
Bulat manusia kerana muafakat


Melaka suatu masa dahulu merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam kukuh, kuat dan disegani. Kesultanan Melayu Melaka bukan sahaja menguasai tanah Melaka tetapi meluas sehingga ke kepulauan Riau dan sebahagian pulau Sumatera termasuk Riau.

Melaka di zaman kegemilangannya menjadi pusat perdagangan dan ekonomi yang terpenting di rantau ini. Bukan itu sahaja Melaka juga menjadi pusat pengembangan Islam yang unggul di rantau ini.

- Advertisement -

Walaupun peranan ini diambil alih oleh kerjaan Islam Demak selepas jatuhnya Melaka ke tangan Portugis tetapi tidak mampu menandingi kehebatan Melaka pada sebelum dijajah.

Kanun Melaka yang berteraskan kepada syariat Islam dam ditulis dalam tulisan jawi adalah sumber perundangan dan peraturan bagi mentadbir negeri Melaka dan wilayah jajahannya.

Undang-Undang Laut pula diguna pakai dalam mengendalikan kapal-kapal pedagang yang datang ke Melaka dan hal ehwal yang berkaitan dengan laut dan pelayaran di selitar Selat Melaka.

Hebatnya kerajaan Kesultanan Melayu Melaka adalah disebabkan antaranya ialah apabila Islam dijadikan paksi asas dan undang-undang pentadbiran yang mengatur semua urusan serta perpaduan utuh dikalangan rakyat Melaka yang bernaung di bawah payung Sultan itu sendiri. Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh bercerai kita roboh”.

Sejarah telah mencatatkan bahawa kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis disebabkan;

  1. Perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan pembesar-pembesar Istana
  2. Kecintaan kepada harta dan pangkat yang tidak terkawal sehingga melupakan tanggung jawab dan mengabaikan rakyat di bawah.
  3. Perpecahan dikalangan orang-orang Melayu yang mudah termakan hasutan
  4. Pengkhianat Raja Mandaliar dan Sikitul dimana kedua-dua mereka bukanlah dari keturunan orang Melayu sendiri.

Semenjak dari itu Melaka terus di bawah kuasa penjajahan yang betukar tangan antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun kemudian Inggeris kembali sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Sejarah juga telah mengajar kita bahawa perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu di atas sebab-sebab yang dinyatakan diatas akan mengundang kepada penjajahan.

Peristiwa berdarah 13 Mei yang berlaku juga berpunca dari berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu.

Dan yang terakhir apabila kuasa politik dominan orang Melayu berpecah pada PRU ke 14 yang lalu kita sendiri sama-sama dapat merasakan dan menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan yang tidak didominasi oleh orang Melayu menjalankan kuasa pemerintahanya.

Perpaduan yang kukuh dalam kalangan orang Melayu akan melahirkan suatu bentuk kuasa politik yang kuat, stabil, tidak rasis dan sukar diganggu gugat oleh mana-mana anasir samada dari dalam atau pun dari luar.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu yang kuat dengan pegangan Islamnya tidak pernah melakukan penindasan terhadap kaum-kaum lain yang datang berkongsi kekayaan negara dan hasil bumi.

Bahkan mereka masih boleh mengekalkan identiti kaum mereka, bahasa ibunda mereka serta sistem pendidikan yang mana ini tidak akan dapat kita temui dimana-mana negara dalam dunia ini.

Tuduhan yang mengatakan sekiranya orang Islam Melayu bersatu dan menguasai politik negara maka akan berlakulah penindasan kaum adalah satu tuduhan liar dan tidak berasas.

Sesungguhnya Orang- orang Melayu Islam merupakan satu bangsa yang sangat toleran dan mempunyai budaya sopan yang tinggi dan rasa hormat terhadap kaum dan bangsa lain.

Oleh itu terbentuknya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) setelah orang Melayu melalui zaman perpecahan sehingga hilang kuasa politik hendak disambut bukan sekadar dengan tangan bahkan harus disambut masuk kelubuk hati.

Ini adalah anugerah Allah SWT yang tidak mahu melihat negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam diperkotak-katikkan oleh kuasa politik yang tidak bertunjangkan kepada kepada Islam dan liberal.

Barang diingat, perpaduan sejati hanya akan dapat dibina dengan berpaksikan kepada kekuatan pegangan Islam dan Akidahnya, akhlak, amalan budaya dan adat resam dengan bahasa yang menjadi budaya bangsa serta ketaatan kepada kepada Raja dan kecintaan kepada tanah air.

Oleh itu bagi mempertahan perpaduan yang baru terbina ini, maka segala sifat-sifat dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi antara:-

  1. Pegangan agama yang longgar dan lemah pemahaman terhadap Islam itu sendiri mestilah diperbaiki dan diperkukuhkan
  2. Tamakkan kuasa, jawatan, pangkat dan pengaruh ganjaran kebendaan mestilah dijauhi
  3. Hasad dengki yang menjadi sifat dikalangan orang-orang Melayu mestilah dikikis dengan ikatan ukhwah yang dibina dengan Aqidah Islam.
  4. Peminggiran bahasa utama iaitu Bahasa Melayu yang menyebabkan rakyat menjadi terpisah pisah
  5. Longgar amalan budaya dan adat resam.

Di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, tunjang utama kepada kekuatan kerajaannya adalah Islam dan Syariatnya. Sultan sentiasa mendampingi para ulamak dan bukan ulamak yang mendampingi Sultan.

Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi ada Bahasa dan tulisan rasmi negara. Sejarah juga mencatat manuskrip surat Sultan Melaka kepada penguasa-penguasa Eropah ketika itu adalah dalam Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi. Kanun Melaka dan Undang Laut Melaka juga dalam Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.

Oleh itu marilah kita mengambil iktibar dari sejarah pepecahan Melayu yang mengakibatkan berlakunya penjajahan kuasa politik, ekonomi dan sosial , hingga menjadikan Bangsa Melayu ini lemah hingga hari ini.

Marilah kita menjunjung Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional demi Islam, demi Tanah Air dan Bangsa tanpa kita menafikan hak-hak kaum lain untuk tinggal bersama dalam sebuah negara yang melindungi hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Islam Memimpin Perpaduan”

BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka.
YDP PAS Kawasan Tangga Batu- HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -