Fitnah kefaqiran dan ‘suffering porn’

- Advertisement -

AKHIR zaman, semuanya boleh jadi fitnah

(1) Berhati-hati dengan realiti fitnah akhir zaman. Apa sahaja berpotensi untuk mencetuskan fitnah. Pemilik kereta besar boleh difitnah, pemilik kereta kecil pun boleh difitnah juga. Tiada kereta pun difitnah.

Bahkan, segalanya boleh menjadi fitnah. Kalau dahulu, orang jahat sahaja kena fitnah. Contoh ada kes atau skandal. Tetapi hari ini orang baik, Kerajaan yang baik, tindakan yang baik, semuanya boleh mengundang fitnah.

(2) Orang yang banyak bersedekah difitnah, orang yang bersedekah sikit juga difitnah. Bahkan tidak bergambar ketika melakukan kebaikan juga boleh mengundang fitnah, apatah lagi bergambar.

Realiti akhir zaman, manusia dikelilingi oleh fitnah. Tersepit. Orang jahat boleh dikenali sebagai baik, orang baik dikenali sebagai jahat. Sudah pasti ia berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 [1].

- Advertisement -

(3) Hal ini telah diperingatkan oleh Nabi S.A.W;

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا.

“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.”

(Riwayat Muslim)

(4) Hadis ini menggambarkan gesaan Nabi S.A.W supaya segera beramal sebelum berlakunya era fitnah. Iaitu era fitnah yang mengelirukan. Tidak dikenali siapa yang betul, siapa yang salah. Terkeliru antara kebenaran dan kebatilan.

Kekeliruan ini biasanya berpunca daripada mudah percaya dengan propaganda, malas mengkaji, terkesan dengan fenomena, mudah merasa simpati dengan video-video sedih yang sengaja dimainkan.

Fitnah golongan ustaz dan orang soleh

(1) Situasi akhir zaman mengajar kita supaya sentiasa berwaspada terhadap fitnah dan berusaha sedaya upaya daripada melakukan tindakan yang boleh mengundang fitnah.

Nu’aim bin Hammad menukilkan Hadis di dalam kitab الفتن;

تكون فتنة تعوج فيها عقول الرجال حتي ما تكاد تري رجلا عاقلا

“Akan datang suatu fitnah yang mengelirukan akal manusia hingga tidak kita temui di antara mereka seorang yang berakal pun.”

(2) Ibn Jauzi menyatakan;

ما رأيت أعظم فتنة من مقاربة الفتنة وقل أن يقاربها إلا من يقع فيها ومن حام حول حمي يوشك أن يقع فيه

“Saya tidak melihat suatu fitnah yang lebih besar daripada bergelumang dengannya kerana jarang sekali orang yang mendekatinya, melainkan pasti terjatuh ke dalamnya. Dan siapa yang berdiri di pinggiran jurang maka kemungkinan besar terjatuh ke dalamnya.”

Ibn Jauzi mengisyaratkan supaya berusaha sedaya upaya untuk lari daripada fitnah. Bukannya sengaja menyua muka untuk difitnah atau sengaja melakukan tindakan yang boleh mengundang fitnah, kemudian tidak rasa bersalah.

(3) Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qayyim di dalam الحياة الربانية والعلم menyatakan;

فإن الناس أنما يقتدون بعلمائهم وعبادهم فإن كان العلماء فجرة والعباد جهلة عمت المصيبة وعظمت الفتنة علي الخاصة والعامة

“Sesungguhnya umat manusia cenderung mencontohi ulamak dan ahli ibadah mereka, apabila ulamak mereka rosak dan ahli ibadah mereka menjadi bodoh, maka bencana akan merata dan fitnah dahsyat akan …”

Ya, manusia akan cenderung untuk mencontohi orang-orang yang baik, sama ada golongan ustaz, ulamak atau orang-orang yang dikenali sebagai watak yang baik dan soleh. Jika rosak golongan ini, maka akan tersebarlah fitnah.

Sebab itulah tak kira siapa pun perlu ada kecerdikan. Jangan sampai para ulamak atau para ustaz, atau orang-orang yang soleh diperalat, diperguna, diambil kesempatan. Akibatnya fitnah itu sangatlah dahsyat.

Bagaimana menyekat fitnah?

Di dalam realiti fitnah pada hari ini, ada dua cara yang dicadangkan untuk mengendurkan fitnah;

(a) Para ustaz dan orang soleh perlu cerdik dan berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan sepertimana pandangan Ibn Qayyim yang saya lontarkan tadi.

(b) Masyarakat perlu menahan tangan daripada memberi komen dalam keadaan tidak tahu sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, dan dinukilkan juga dalam Misykat Masabih;

أفلَحَ مَن كفَّ يدَه

“Berjayalah bagi mereka yang menahan tangannya.”

Di dalam syarah Hadis ini, Mirqatul Mafatih menyatakan maksudnya ialah menahan tangan daripada membunuh atau mencela selagimana tidak boleh membezakan mana satu benar, mana satu salah.

(2) Setiap orang perlu berusaha menghindarkan diri daripada fitnah, sama ada menayang muka untuk difitnah, atau membuat tindakan yang menyebabkan orang lain difitnah, atau sengaja memfitnah.

Sekiranya para ustaz atau orang soleh tidak bersedia untuk cerdik dan tidak mahu berhati-hati, dan masyarakat pula tidak mahu berhenti mengomen dan mengulas tanpa pengetahuan, maka fitnah itu akan berterusan dan ‘memakan sesiapa sahaja’

(3) Negara yang bergelumang dengan fitnah, adalah negara yang huru-hara. Kefahaman yang boleh difahami daripada Hadis Nabi S.A.W;

إن السعيد لمن جنب الفتن

“Sesungguhnya orang yang bahagia itu adalah mereka yang dihindarkan dari fitnah.”

Mereka yang berusaha untuk menghindarkan diri daripada fitnah adalah orang yang bahagia. Manakala mereka yang sengaja mencari penyakit fitnah, akan hidup sengsara.

Kefaqiran Itu menjadi fitnah

(1) Antara yang menjadi fitnah ialah kefaqiran. Ya, kita sedar bahawa rezeki itu adalah kuasa Allah S.W.T. Yang menjadi pertikaian, mereka yang tidak berusaha, dan lebih suka meminta-minta, atau mereka yang merembat secara haram.

Antara doa yang diamalkan oleh Nabi S.A.W;

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ،

“Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada kekufuran, kefaqiran dan azab kubur.”

(Riwayat al Bukhari dalam Tarikh Kabir)

اللهم إني أعوذ بك من الفقر والقلة والذلة وأعوذ بك من أن أظْلِمَ أو أظْلَمَ.

“Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada kefaqiran, kekurangan dan kehinaan dan aku berlindung kepadaMu daripada aku berbuat zalim atau dizalimi.”

(Sunan Abi Daud)

(2) Bukan hanya kekayaan itu mengundang fitnah, kita juga perlu sedar bahawa kefaqiran itu boleh mengundang fitnah. Realiti ini kita dapat lihat pada hari ini apabila wujudnya golongan yang ‘sengaja faqir’.

Ada juga golongan yang tunjuk faqir, dan pastinya ia meraih perhatian ramai. Tujuannya bukan faqir kerana perlukan harta, akan tetapi faqir terhadap pengaruh orang dan simpati. Inilah bentuk-bentuk fitnah.

(3) Jadinya, hal yang terjadi hari ini yang ingin saya utarakan bukanlah kefaqiran itu, akan tetapi fitnah yang disuburkan melalui medium ini. Khususnya apabila ia diapungkan di alam maya.

Hal ini bukanlah perkara baru. Di Barat sudah menjadi perbincangan hangat mengenai ‘suffering porn’ atau ‘disaster porn’ atau yang lebih kurang maksudnya. Ia bukanlah pornografi yang bermaksud kelucahan.

Akan tetapi fenomena suffering porn ini adalah teknik untuk publisiti, promosi, yang memainkan emosi para pelayar video atau gambar yang dipaparkan. Ia adalah satu strategi untuk memainkan emosi.

Suffering porn

(1) ‘Suffering porn’ secara khususnya ialah bentuk tarikan untuk menimbulkan perasaan kesian dan perasaan-perasaan yang lain (emosi). Ia adalah elemen rangsangan, ketagihan dan fokus imej yang melampau.

Contohnya nak menimbulkan perasaan gerun, beberapa kali disiarkan gambar atau video orang kena bunuh dengan teruk, gambar kecederaan, video mayat bergelimpangan atau yang sewaktu dengannya.

Gambar atau video ini akan diulang-ulang supaya timbul satu kegerunan terhadap kematian, dan sebagainya. Menimbulkan perasaan takut untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja.

(2) Contoh suffering porn yang lain menggambarkan suasana kesedihan atau simpati yang melampau, contoh di nak minta sumbangan untuk pelarian Syria, ditayangnya video kanak-kanak Syria mati kesejukan berulang kali.

Tujuannya supaya menimbulkan rangsangan melalui permainan emosi, melahirkan rasa terharu, sedih yang melampau dan sewaktu dengannya. Hal ini sudah dibincangkan secara meluas di Barat

(3) Kalau dalam bab kefaqiran yang menjadi fitnah ini, apabila gambar atau video yang ditayangkan memfokus kepada kanak-kanak yang kotor, dan tidak terurus, kemiskinan yang melampau.

Bahasa mudahnya begini, di zaman kanak-kanak, jika kita ingin gambarkan ketakutan yang amat sangat, kita akan ceritakan pengalaman seram yang ditambah perencah, dengan mengatakan hantu mata merah, muka hodoh dan sebagainya.

Inilah yang dapat difahami dengan suffering porn yang dibincangkan di Barat dalam memahami realiti promosi atau publisiti terhadap sesuatu perkara. Manakala kita pula sebagai seorang Islam, berwaspadalah dengan fitnah.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -