Pimpinan PAS-Umno adakan Mesyuarat Khas MN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan Umno telah mengadakan perbincangan khas melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti tersebut dalam satu Mesyuarat Muafakat Nasional sebentar tadi.

- Advertisement -

Mesyuarat dihadiri Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta Setiausaha Agung PAS dan Umno ini telah diadakan di Pejabat Muafakat Nasional di Tingkat 36, PWTC, di sini.

Pertemuan ini rutin dalam mengukuhkan kerjasama kedua parti sejak memeterai Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Perpaduan Ummah (HPU914) di PWTC, September tahun lalu.

Walaupun ianya berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19, namun dilihat berkait dengan tumpuan ramai ketika ini terhadap politik tanah air.

Antaranya susulan gabungan bersama PAS dan Umno dengan BERSATU serta beberapa parti lain dalam persefahaman perikatan yang telah membentuk Kerajaan Persekutuan baharu Mac lalu.

Begitu juga ianya dilihat dalam usaha melicinkan perjalanan urus tadbir berkaitan setelah gabungan dikenali sebagai Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri.

Selain ia juga dipercayai telah mengadakan penyelarasan pergerakan berhubung Sidang Dewan Rakyat yang bakal diadakan 18 Mei nanti serta situasi politik di Kedah di mana juga bakal berubah teraju. – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -