Menggerak perubahan atau menjaga ketulenan?

- Advertisement -

PUNCA kekeliruan

(1) Antara perkara yang menjadi kebingungan ahli gerakan Islam hari ini ialah terkeliru antara mempertahankan ketulenan ataupun mengikuti arus perubahan. Hakikatnya kedua-dua ini perlu dicermati.

Golongan yang menyeru ke arah perubahan biasanya berpunca daripada menyaksikan kejumudan yang dilihat depan mata. Manakala golongan yang menyeru ke arah ketulenan pula, apabila melihat berlakunya penyimpangan.

(2) Hakikatnya kedua-dua ini tidaklah bertembung, melainkan mereka yang berjuang atas dasar sentimen, dan tidak berpijak di atas hujah. Sebagai ahli gerakan Islam, kita wajar mengikuti perubahan semasa, dalam keadaan menjaga ketulenan.

(a) Apa yang terjadi hari ini, apabila golongan yang ingin perubahan, tetapi tidak didasari dengan hujah dan sandaran, akhirnya terikut dengan arus yang tidak betul. Hilang jati diri dan larut dengan kepincangan.

(b) Golongan yang ingin menjaga ketulenan pula apabila tidak didasari dengan hujah dan sandaran, akhirnya mengekalkan kejumudan, tidak mahu berkembang, melarang berfikir dan terperap di bawah tempurung.

- Advertisement -

(3) Sebab itu yang penting dalam gerakan Islam ialah kejelasan matlamat, dan wasilah untuk menegakkan matlamat (rujuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam). Tanpa kedua-dua ini, ahli gerakan Islam akan terkeliru.

Iaitu keliru sama ada nak berkembang dan terikut-ikut, atau kekal di takuk lama dengan menjaga prinsip. Kekeliruan ini biasanya terjadi disebabkan tidak jelas matlamat perjuangan, atau tidak jelas kaedah untuk mencapai matlamat itu.

Jelas matlamat dan wasilah inilah yang menjadi dasar kepada pemikiran ahli gerakan Islam. Berjuang atas dasar hujah dan sandaran, bukan sentimen. Hujah dan sandaran ini memerlukan akal yang terbuka dan berfikir

Jati diri VS jumud

(1) Perubahan mestilah sejajar dengan Islam, bukannya berubah semata-mata mengikut orang. Mengubah sesuatu itu hendaklah tidak mengubah prinsipnya hingga menyebabkan penyimpangan.

(a) Nabi S.A.W berpesan dalam banyak perkara supaya menjaga jati diri. Antaranya dalam bab bersahur, Nabi S.A.W menggesa kita supaya bersahur bagi membezakan cara berpuasa kita dan puasa ahli kitab.

(b) Begitu juga dalam puasa Asyura, sekalipun orang Yahudi berpuasa pada tarikh itu, Nabi S.A.W turut berpuasa dengan ditegaskan;

نحن أولى بموسى منكم

“Kita lebih berhak terhadap Nabi Musa A.S (berbanding orang Yahudi)”

(2) Hilangnya jati diri dan larut dengan pengaruh luar bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia hakikatnya adalah penyakit, yang mengakibatkan tidak konsisten atas dasar ketulenan tadi.

Contohnya ahli gerakan Islam yang terikut dengan budaya politik kotor parti lain. Mengejar matlamat politik, gilakan pengaruh, rebut jawatan, kenyang dengan memfitnah, gatal cantas mencantas dan banyak lagi.

(3) Dalam masa yang sama, mereka yang kononnya ingin kekal tulen dengan semangat waja tanpa kefahaman juga hakikatnya mendedahkan diri mereka kepada risiko kejumudan, taklid dan taksub.

Mereka menganggap ketulenan itu ialah dengan mengekalkan tradisi lama, tidak mahu berbincang, menyuburkan amalan boikot sesama ahli gerakan atas dasar sentimen, tiada hujah melainkan hanya bersandar kalam Tok Guru.

Mereka tidak mahu mengikuti perkembangan semasa kerana takut hilang ketulenan. Walhal mereka tidak sedar ketulenan apakah yang mereka pertahankan. Tertukar antara menjaga ketulenan dan terjumud di bawah tempurung.

Manusia dimuliakan dengan akal

(1) Kedua-dua penyakit ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mengkaji Sirah Nabi S.A.W. Dalam keadaan menjaga prinsip, ketulenan serta jati diri, Nabi S.A.W menerima pandangan para Sahabat R.A, berhujah dan bermesyuarat.

Di dalam kertas kerja yang ditulis oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, yang dihimpunkan di dalam buku Islam: Fikrah, Harakah Dan Daulah ada mengutarakan hal seperti ini, dalam bab organisasi (tanzim).

(2) TGHH melontarkan ayat al-Quran yang berkaitan dengan kepentingan akal;

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(al-Isra’: 70)

(3) Ayat 70 surah al-Isra’ menjadi hujah supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang menyekat fungsi akal sekalipun atas alasan menjaga ketulenan jemaah. Ibnu Abbas R.A menafsirkan التكريم (kemuliaan yang diberikan kepada manusia) ialah akal.

Justeru, perbezaan jamaah manusia dan sekumpulan binatang ialah akal. Apatah lagi jamaah Islam, yang memperjuangkan agama Allah S.W.T mestilah berpandukan akal yang sihat, bukannya taklid yang mengongkong.

Justeru, punca kekeliruan antara dua sempadan ini hanyalah disebabkan akal yang disempitkan. Apabila akal disekat maka lahirlah kejumudan. Apabila akal itu tidak berfikir secara betul, lahirlah pemikiran yang tiada ketulenan.

Tegur-menegur

(1) Antara penjelasan Nabi S.A.W terhadap sistem jamaah yang sepatutnya diikuti ialah terbuka dengan teguran mana-mana pihak, sama ada kepimpinan atau ahli biasa. Hal ini disabdakan oleh Baginda S.A.W;

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، فَكَانَ الَّذِينَ فِى أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِى نَصِيبِنَا خَرْقًا ، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا . فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا ، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

“Perumpamaan orang yang berdiri di atas garisan ketetapan Allah (iaitu orang yang menyuruh kemakrufan dan mencegah kemungkaran) dan orang yang terjerumus dalam kemungkaran adalah bagaikan suatu kaum yang membuat undian dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian lagi berada di tingkat bawah kapal tersebut. Yang berada di tingkat bawah, apabila inginkan air, pasti ia terpaksa melalui orang-orang di atas. Mereka berkata, “Apa kata kalau kita membuat lubang sahaja, supaya tidak mengganggu orang yang berada di atas kita”. Seandainya yang berada di tingkat atas itu membiarkan orang-orang di bawah mengikut kehendak mereka, pasti semuanya akan binasa. Namun, jika orang tingkat atas melarang orang tingkat bawah berbuat demikian, pasti mereka selamat dan selamat pula semua penumpang kapal itu.”

(2) Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa perlu ada tegur menegur dalam sesebuah organisasi. Teguran seseorang tidak sepatutnya disamakan dengan kecaman para musuh sehingga diabaikan mentah-mentah.

Selaras dengan ayat 70 Surah al-Isra’ tadi, bahawa Allah S.W.T memuliakan anak Adam kerana dikurniakan akal. Akal inilah yang merangsang pergerakan sesebuah jamaah, dalam keadaan diikat dengan prinsip.

Akal perlu dididik dengan betul melalui proses tarbiah. Proses tarbiah bertujuan meningkatkan kefahaman pada akal. Tarbiah itu bukanlah bertujuan menyuruh melaksanakan sesuatu dalam keadaan mata yang terpejam.

Terikut-ikut tanpa asas

(1) Kita perlu yakin bahawa akal yang betul tidak akan bercanggah dengan agama yang betul. Sekiranya bercanggah, pasti salah satunya ada yang tak kena. Sama ada akal tidak berfikir dengan betul, atau agama itu tidak dihuraikan dengan benar.

Sebab itulah al-Quran menggasak akal supaya berfikir. Tak mungkin Allah S.W.T menyuruh manusia berfikir tapi dalam masa yang sama agama Allah S.W.T mesti diikuti dengan mata yang terpejam. Fikirkan.

(2) Kita boleh lihat dalam al-Quran bagaimana Allah S.W.T menceritakan projek pembodohan yang berlaku pada zaman Firaun;

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

“(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.”

(Zukhruf: 54)

Di dalam ayat-ayat sebelum itu, Firaun cuba menyentuh sentimen mengingati jasanya terhadap bumi Mesir. Firaun mengajak orang Mesir menolak kebenaran Nabi Musa A.S hanya beralasankan jasanya lebih besar.

(3) Kita perlu sedar bahawa dunia itu sedang berubah dan berkembang. Ahli gerakan Islam yang terikut-ikut dengan taklid biasanya akan menolak sebarang perubahan atas alasan menjaga ketulenan.

Manakala golongan yang ingin melaksanakan perubahan pula, biasanya akibat terikut-ikut dengan orang lain, hilang jati diri dan akhirnya larut dengan budaya lain. Kedua-duanya berpunca daripada taklid.

(4) Contohnya satu ketika dahulu pelajar Melayu yang menyambung pelajaran ke UK. Di sana mereka terkesan dengan pengaruh Jamaat Islami (Pakistan) dan menubuhkan Voice Of Islam.

Apabila balik Malaysia, mereka cuba wujudkan parti yang menggunakan kerangka tersebut. Sedangkan mereka perlu sedar bahawa Muslim di Pakistan 95-98 peratus manakala Muslim di Malaysia 61.3 peratus. Agak jauh untuk disamakan. Akhirnya mereka berkubur.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -