Lailatul Qadar dengan norma baharu

- Advertisement -

ALLAH S.W.T berfirman;

- Advertisement -

بسم الله الرحمن الرحيم

حم ۝ وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ ۝ إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ ۝ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ۝ أَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ۝ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ۝

“Haa Miim (1) Demi al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. (2) Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab) (3) (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). (4) Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (5) (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya). (6)”

(Ad-Dukhan: 1-6)

Umat Nabi Muhammad S.A.W diberi kelebihan dengan Lailatul Qadar, iaitu malam diturunkan al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Al-Quran yang diturunkan ini menjadi petunjuk bagi manusia sepanjang zaman, dan dijanjikan oleh Allah S.W.T ia terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

Pengertian Lailatul Qadar

Kenapakah malam penurunan al-Quran ini dinamakan malam al-Qadar? Malam al-Qadar secara literalnya bermaksud ‘penetapan dan penzahiran takdir’. Antaranya Imam Qurtubi R.A menukilkan tafsiran Mujahid R.A, menyatakan Lailatul Qadar itu ialah ليلة الحكم malam ditetapkan hukum.

Imam Qurtubi menyatakan;

والمعنى ليلة التقدير ; سميت بذلك لأن الله تعالى يقدر فيها ما يشاء من أمره ، إلى مثلها من السنة القابلة ; من أمر الموت والأجل والرزق وغيره . ويسلمه إلى مدبرات الأمور ، وهم أربعة من الملائكة : إسرافيل ، وميكائيل ، وعزرائيل ، وجبريل . عليهم السلام

“Maknanya ialah malam penetapan hukum. Dinamakan sedemikian kerana Allah S.W.T menentukan pada malam itu apa yang dikehendakiNya, hinggalah Lailatul Qadar tahun depannya. Iaitu menentukan kematian, rezeki dan sebagainya. Kemudian diserahkan ketetapan ini kepada empat Malaikat yang melaksanakan perintah, Israfil, Mika’il, Izra’il dan Jibril A.S.”

Hal ini turut dihuraikan oleh Dr Faruq Hamadah di dalam kitabnya ليلة القدر bahawa;

إنها ليلة التقدير والحكم أي أن الله تعالى يقدر ما يكون في تلك السنة من مطر ورزق وإحياء وإماتة ويحكم أمر الدنيا إلى مثل تلك الليلة من العام القابل

“Iaitu malam menzahirkan ketetapan dan hukum, iaitu Allah S.W.T menetapkan sesuatu yang bakal terjadi pada tahun tersebut dari segi penurunan hujan, rezeki, menghidupkan, mematikan dan menentukan urusan dunia sepertimana malam itu juga pada tahun depan.”

Sebab itulah di dalam kitab تحفة الأحوذي meletakkan satu bab, iaitu باب ما جاء لا يرد القدر إلا الدعاء (Bab Pada Menyatakan Tidak Tertolak Ketetapan Allah Itu Melainkan Dengan Doa). Nabi S.A.W bersabda;

لا يردُّ القضاءَ إلَّا الدُّعاءُ ، ولا يزيدُ في العمرِ إلَّا البرُّ

“Tidak tertolak ketentuan Allah itu melainkan dengan doa, dan tidak bertambah umur seseorang itu melainkan dengan kebaikan.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Bilakah ia terjadi?

Di sana para ulamak ada membincangkan bilakah malam Lailatul Qadar yang menjadi keistimewaan buat Umat Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai tanda mereka sangat cakna terhadap peluang besar yang dibuka oleh Allah S.W.T. Beberapa Hadis mungkin boleh dijadikan rujukan;

عن عائشةَ رضِيَ اللهُ عنها قالتْ: كان رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلَّمَ يُجاوِر في العَشْر الأواخِر من رمضانَ، ويقول: تَحرُّوا ليلةَ القَدْر في العَشْر الأواخِر من رمضانَ

“Daripada Aisyah R.A katanya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadan dan bersabda: “Carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam Hadis yang lain;

تَحرُّوا لَيلةَ القَدْرِ في الوَتْر من العَشرِ الأواخِرِ من رمضانَ

“Carilah Lailatul Qadar di malam ganjil pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan.”

(Riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, di sana banyak pandangan ulamak yang menghuraikan hal ini. Rata-rata boleh disimpulkan Lailatul Qadar terjadi pada malam ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadan, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Hajar al Asqolani dalam Fathul Bari;

والأرجح أنها في وتر من العشر الأخر وأنها تنتقل

“Yang paling rajih Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil di sepuluh akhir Ramadan, dan ia berubah-ubah.”

Di sana ada ulamak yang mengemukakan pandangan mengenai tarikh Lailatul Qadar berdasarkan pengalaman mereka. Antaranya Imam al-Ghazali R.A yang dinukilkan di dalam Hasyiah al Bujairimi;

قال حجة الإسلام الغزالي وغيره: أنها تُعلم باليوم الأول من الشَّهر، فإن كان أوله يوم الأحد أو الأربعاء: فهي ليلة تسع وعشرين، أو يوم الإثنين: في ليلة إحدى وعشرين، أو يوم الثلاثاء أو الجمعة: فهي ليلة سبع وعشرين، أو الخميس: فهي ليلة خمس وعشرين، أو يوم السبت: فهي ليلة ثلاث وعشرين

“Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan lain-lain berkata: Ia boleh diketahui berdasarkan hari pertama bulan itu (Ramadan). Sekiranya hari pertamanya ialah Ahad atau Rabu, maka ia (Lailatul Qadar) terjadi pada malam 29. Atau sekiranya jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadarnya pada malam 21. Ataupun sekiranya pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadar pada malam 27. Atau sekiranya pada hari Khamis, maka Lailatul Qadarnya pada malam 25. Atau sekiranya pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadar pada malam 23.”

Walau bagaimanapun, disarankan agar 10 malam terakhir dihidupkan kesemuanya tanpa memilih hari-hari tertentu. Ini kerana pandangan Imam al-Ghazali sekadar berdasarkan ijtihad dari pengalamannya. Tiada nas yang sahih yang menspesifikkan malam-malam tersebut. Ijtihad manusia boleh jadi betul, boleh jadi silap.

Begitu juga dalam hal memilih malam ganjil. Sebaiknya amalan menghidupkan malam tidak dihadkan pada malam ganjil sahaja kerana penentuan malam genap dan ganjil ditentukan oleh manusia melalui cerapan anak bulan. Ia juga merupakan bentuk ijtihad yang tidak akan terlepas daripada kesilapan. Boleh jadi malam yang diisytiharkan sebagai genap itu hakikatnya ganjil dalam ilmu Allah S.W.T.

Kesungguhan menghidupkan Lailatul Qadar

Apa yang kita dapati, Rasulullah S.A.W tidak memilih malam-malam tertentu pada 10 yang terakhir. Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W begitu bersungguh-sungguh untuk menghidupkan keseluruhan sepuluh malam terakhir, sepertimana Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A;

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ يَجْتَهِدُ من الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَالاَ يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

“Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, yang kesungguhannya tidak seperti pada waktu-waktu lainnya.”

(Riwayat Imam Muslim)

Antara sikap Rasulullah dalam menghidupkan malam adalah dengan mengurangkan tidur, mengejutkan ahli keluarga dan tidak mendatangi isterinya. Saidatina Aisyah R.A juga mengatakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Jika masuknya 10 (akhir Ramadan) Rasulullah S.A.W akan mengetatkan kainnya (tidak mendatangi isterinya), menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.”

(Muttafaq Alaih)

Amalan pada 10 terakhir Ramadan

Dalam bab amalan untuk Lailatul Qadar, beberapa ulamak mencadangkan beberapa tips untuk menghidupkannya, sepertimana saranan Baginda S.A.W;

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa berqiyam pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”

(Riwayat al-Bukhari)

Pertama: Membaca al-Quran dan bertadarus

Antara yang dicadangkan sebagai aktiviti pada malam malam akhir di bulan Ramadan ialah membaca al-Quran dan berada di dalam halaqah bertadarus sepertimana yang pernah disabdakan oleh Baginda S.A.W mengenai kelebihannya;

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

“Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

(Riwayat Imam Muslim)

Kedua: Memperbanyakkan solat sunat

Selain daripada membaca al-Quran dan bertadarus, dicadangkan supaya memperbanyakkan solat-solat sunat sepertimana yang pernah disabdakan oleh Baginda S.A.W;

صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى , فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحِ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً , تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى

“Solat malam itu dua-dua, maka bila seorang di antara kamu takut telah datang waktu Subuh hendaklah ia dirikan solat satu rakaat untuk mengganjilkan solat yang telah ia lakukan”

(Muttafaq Alaih)

Ketiga: Beri’tikaf di masjid

Kita juga dianjurkan supaya beri’tikaf di masjid sepanjang 10 hari terakhir di bulan Ramadan selaras dengan galakan Baginda S.A.W;

إنِّي اعْتَكَفْتُ العَشْرَ الأوَّلَ، أَلْتَمِسُ هذِه اللَّيْلَةَ، ثُمَّ اعْتَكَفْتُ العَشْرَ الأوْسَطَ، ثُمَّ أُتِيتُ، فقِيلَ لِي: إنَّهَا في العَشْرِ الأوَاخِرِ، فمَن أَحَبَّ مِنكُم أَنْ يَعْتَكِفَ فَلْيَعْتَكِفْ

“Sesungguhnya aku pernah beri’tikaf pada sepuluh hari pertama dalam bulan Ramadan untuk mencari Lailatul Qadar ini. Aku kemudian melakukan I’tikaf pada sepuluh hari pertengahan (kedua) dalam bulan Ramadan. Aku lalu didatangi (malaikat) dan dia katakan kepadaku sesungguhnya Lailatul Qadar itu terjadi pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadan. (Maka) barangsiapa antara kalian yang mahu melakukan i’tikaf, maka hendaklah ia beri’tikaf.”

(Riwayat Imam Muslim)

Keempat: Memperbanyakkan berdoa

Saidatina Aisyah R.A bertanya kepada Baginda S.A.W;

قلْتُ: يا رسولَ اللهِ، أرأَيْتَ إنْ علِمْتُ أيَّ ليلةٍ ليلةَ القدرِ ما أقولُ فيها؟ قال: قولي: اللَّهمَّ إنَّك عفُوٌّ كريمٌ تُحِبُّ العفْوَ، فاعْفُ عنِّي

“Aku bertanya: Wahai Rasulullah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi S.A.W bersabda: Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Kelima: Mengejutkan ahli keluarga untuk turut melakukan ibadah bersama terutamanya yang dituntut untuk melalukan secara berjamaah

Ini berdasarkan Hadis Saidatina Aisyah yang lepas. Juga diriwayatkan oleh at-Thabrani, Saidina Ali mengatakan Baginda S.A,W mengejutkan semua ahli keluarga sama ada dewasa mahupun kanak-kanak yang mampu solat.

Imam Malik meriwayatkan bahawa Saidina Umar solat dahulu di awal malam. Apabila masuk tengah malam, beliau mengejutkan keluarganya dengan berkata “Solat! Solat! sambil membacakan ayat:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”

(Taha: 132)

Keenam: Mandi di antara Maghrib dan Isyak

Menurut Riwayat Ibn Abi Asim daripada Saidatina Aisyah, Rasulullah S.A.W akan mandi di antara Maghrib dan Isyak pada 10 malam terakhir. Sahabat R.A dan para Tabiin juga melakukannya dengan turut memakai wangian sebagai menyambut Lailatul Qadar.

Ketujuh: Mengurangkan tidur

Abu Nuaim meriwayatkan daripada Anas dengan sanad yang dhaif bahawa Nabi S.A.W mendirikan malam dan tidur di bulan Ramadan. Apabila masuk malam 24, Baginda S.A.W mengurangkan tidur. Ibn Rajab mengatakan Baginda S.A.W menghidupkan majoriti masa malamnya sahaja. Abu Jaafar al-Baqir mengatakan ia bermaksud menghidupkan separuh malam sahaja.

Walau bagaimanapun, tidaklah sampai tidak tidur langsung kerana ia telah menyalahi fitrah kejadian manusia. Tidak ada riwayat yang jelas mengatakan sedemikian kecuali yang dhaif.

Jadual cadangan norma baharu

Mungkin ramai terfikir bagaimana untuk mendapatkan manfaat yang optimum dengan mengerjakan kesemua ibadat yang disarankan pada malam yang terhad waktunya ini. Apatah lagi dalam keadaan PKP sekarang yang menghadkan solat di rumah, tentulah norma baharu dalam ibadat perlu dilaksanakan.

Di sini dicadangkan beberapa bentuk amalan yang boleh dilakukan mengikut jadual:

(1) Bermula dengan berbuka, kita makan 3 biji kurma dan segelas air lalu terus dirikan solat Maghrib dan Sunat Rawatib Ba’diah. Selepas itu barulah kita makan makanan berat. Walau bagaimanapun Nabi S.A.W menangguhkan makan berat ke waktu sahur menurut Aisyah seperti yang dinukilkan oleh Ibn Abi Asim.

(2) Selepas selesai mengemas, kita mandi, membersihkan diri serta berwangi-wangian sebagaimana sunnah dalam Hadis yang lalu. Jika masih ada waktu berbaki sebelum Isyak, penuhilah dengan mentadabbur ayat-ayat pilihan.

(3) Masuk waktu Isyak, terus solat Sunat Rawatib dan solat Isyak. Pastikan dikerjakan secara berjamaah. Imam Malik meriwayatkan bahawa Said Ibn Musayyab berkata sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar secara berjamaah akan beroleh kebaikannya.

(4) Kemudian, terus dirikan solat Sunat Tarawih. Kalau sekiranya mampu, kerjakan 20 rakaat dalam keadaan tidak tergesa-gesa untuk menghabiskannya. Boleh diselangi dengan rehat, sama ada untuk santapan ringan atau bersembang santai sesama ahli keluarga. Boleh juga sampaikan nasihat ringkas mengikut konsep usrah.

(5) Setelah selesai bertarawih, kita bertadarus mengikut kemampuan. Setiap ahli keluarga membaca beberapa potong ayat dan disambung orang seterusnya. Yang lain mendengar dan memperbetulkan sekiranya ada kesilapan.

(6) Setelah itu, terus tidur sekiranya tiada ada sebarang urusan penting. Boleh juga waktu ini digunakan untuk membasuh pinggan dan mengemas dapur. Ajak anak-anak membantu. Amalan ini juga boleh mendatangkan pahala. Sebaiknya tidur sebelum jam 11 malam.

(7) Bangun awal, seeloknya dua jam sebelum sahur. Mulakan dengan solat Sunat Tahajud. Kemudian solat-solat sunat lain diselangi dengan zikir dan doa.

(8) Ambil masa tidak lebih daripada 15 minit untuk menyiapkan juadah sahur. Seeloknya makanan yang ringkas sahaja, namun berkhasiat agar tidak memakan masa lama menyiapkannya. Sebaiknya semua ahli keluarga membantu bagi mempercepatkan urusan ini. Kemudian terus bersahur tidak lebih daripada 30 minit.

(9) Seeloknya berhenti bersahur 10-15 minit sebelum masuk waktu Subuh. Waktu tersebut digunakan untuk solat witir dan memanjatkan sebanyak mungkin doa sebelum berakhirnya malam dengan terbit fajar mentari.

(10) Pastikan urusan bukan ibadat khusus dilakukan di siang hari sama ada sebelum Maghrib atau selepas Subuh seperti mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk atau persiapan menyambut Syawal.

Jadual ini hanya sekadar cadangan. Boleh diubah suai mengikut kesesuaian setiap individu. Jika boleh dipanjangkan tempoh ibadat dan dikurangkan tidur, itu lebih baik bagi menepati Sunnah. Manakala waktu rehat pula boleh diganti pada siang hari selepas waktu Dhuha.

Kesimpulannya, kita perlu faham bahawa lebih baik seseorang itu beramal pada Lailatul Qadar dalam keadaan tidak menemui tandanya berbanding seseorang yang menemui tandanya, tetapi tidak beramal pun.

Nabi S.A.W melebihkan amalan di sepuluh akhir Ramadan sebagai dorongan untuk mengejar kebaikan. Ya, mengejar kebaikan itu adalah satu tuntutan yang tidak wajar diabaikan, apatah lagi apabila peluang itu dibentangkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman;

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Ali-‘Imran: 133)

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
Negeri Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -