Keputusan YDP Dewan Rakyat dialu-alukan

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Perkembangan politik dalam negara agak tenang akhir-akhir ini, di mana kebanyakan rakyat kurang berminat dengan sebarang konspirasi, provokasi dan langkah politik yang cuba di’panas’kan oleh mana-mana kepimpinan parti politik.

Ini berikutan krisis COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia. Krisis kesihatan ini telah memberikan kesan langsung kepada kehidupan setiap warga. Aktiviti ekonomi menjadi lebih perlahan dan aktiviti sosial seharian juga lebih terbatas.

Kepentingan Kerajaan yang berfungsi semasa krisis COVID-19

Kita bernasib baik kerana krisis politik yang dicetuskan oleh pergolakan dalaman PH, tidak berpanjangan. Krisis yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Pusat di Putrajaya berjaya diakhiri dengan cepat dan berkesan. Ia telah dinoktahkan oleh SPB YDP Agong dengan cara yang sangat berhemah dan demokratik.

- Advertisement -

Jika tidak, kita berhadapan krisis COVID-19 dan kelembapan ekonomi tanpa Kerajaan yang boleh berfungsi untuk menanganinya.

Muhyiddin dan Kerajaan PN menggalas tugas besar

Menguruskan krisis COVID-19 bukanlah mudah. Sehingga hari ini, banyak Kerajaan dunia yang masih terkapai-kapai dalam usaha menangani krisis tersebut. Ia melibatkan ‘musuh yang tidak dapat dilihat’ dan memerlukan dukungan padu seluruh rakyat.

Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN telah menggalas tugasan besar itu dengan membuat keputusan-keputusan besar yang tidak popular, tetapi penting bagi menangani krisis tersebut, seperti menguatkuasakan PKP. Pada peringkat awalnya, ia sukar untuk diterima oleh sebahagian rakyat negara kita.

Daripada segi percaturan politik, tindakan sebegitu boleh membahayakan hayat politik beliau dan Kerajaan PN yang baru saja bertapak. Tetapi itulah sifat kepimpinan politik yang bertanggungjawab. Langkah itu terpaksa dilakukan, walaupun berhadapan risiko mengundang kemarahan rakyat. Rakyat cuba difahamkan secara serius mengenai bahaya besar yang mereka sedang hadapi.

Alhamdulillah, mutakhir ini pengurusan krisis COVID-19 oleh Kerajaan Malaysia diakui oleh banyak pihak sebagai sangat sistematik dan berkesan. Walaupun kita masih belum menang sepenuhnya.

PH memikirkan mengenai survival politik mereka

PH memang rimas dan tidak puas hati dengan segala kerja buat Muhyiddin dan Kerajaan PN. Mereka terus melabelkan Kerajaan PN sebagai Kerajaan ‘pintu belakang’. Tidak sah. Tidak mendapat ‘mandat rakyat’.

Mereka tetap tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang dibuat oleh SPB YDP Agong. Mereka menganggap Tan Sri Muhyiddin menipu SPB YDP Agong. Sampai begitu sekali sangkaan buruk mereka.

Walaupun beberapa cadangan pimpinan PH berkaitan COVID-19 diterima dan dilaksanakan oleh Kerajaan, tetapi mereka tetap tidak berpuas hati. Mereka mendesak Kerajaan menerima cadangan baru mereka yang lain pula, yang bertentangan dengan cadangan awal mereka sendiri.

Dato’ Seri Anwar daripada awal lagi meminta Kerajaan segera mengadakan Sidang Parlimen untuk membincangkan krisis COVID-19. Bahkan beliau dilaporkan berkata, “Sidang Parlimen ini bukan untuk tolak PN”. Licik.

Dengan itu, sebarang kejayaan Tan Sri Muhyiddin dan pasukannya menangani krisis COVID-19 tetap dipandang sebagai liabiliti oleh kepimpinan PH. Jika dibiarkan, PH akan semakin dipinggirkan daripada arus perdana pemikiran rakyat.

PH akhirnya mengambil langkah drastik bagi memastikan agenda survival politik mereka.

Usul Undi Tidak Percaya terhadap Muhyiddin dalam Sidang Parlimen

Usul Undi Tidak Percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin dibuat oleh Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (Semporna) dan Tun Mahathir (Langkawi). Usul-usul mereka diolah dalam bentuk ayat yang sedikit berbeza, tetapi mempunyai maksud yang sama.

Usul-usul oleh Batu Sapi dan Semporna ditolak oleh YDP Dewan.

Tetapi pada 9 Mei 2020, YDP Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof melalui satu kenyataan media memaklumkan usul yang dikemukakan oleh Tun Mahathir di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa dalam Sidang Parlimen pada 18 Mei.

Usul berbunyi, “Mengemukakan resolusi untuk menetapkan ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat”.

Hati pimpinan PH berbunga.

PH kecewa sidang hanya sehari untuk Titah Diraja sahaja

Pada 13 Mei YDP Dewan Rakyat memaklumkan, Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei dipinda untuk Titah DiRaja Istiadat Pembukaan sahaja. Dan tiada sidang selepas titah DiRaja. Bunga-bunga harapan pun berguguran.

“Apa jenis Kerajaan ini?”, soal Tun Mahathir. “PN akan membayar harga yang mahal kerana merompak demokrasi”, kata Liew.

Sebelum ini, pimpinan tiga komponen utama pembangkang iaitu PH, BERSATU dan WARISAN juga mendesak sidang diadakan selama 14 hari.

“Kita nampak ini adalah secara terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi Parlimen”, kata Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh.

Keputusan yang tepat

YDP Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof telah membuat keputusan yang tepat untuk rakyat Malaysia. Menghadapi COVID-19 sambil dihantui oleh krisis politik baru pula, tentulah pilihan yang sangat ‘berhantu’ untuk rakyat Malaysia. Ia bukan mengenai jarak sosial antara Ahli Parlimen ketika sidang semata-mata.

Jika Parlimen bersidang selama 14 hari dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dalam Sidang Parlimen ini, negara kita akan kembali kepada ‘square one’ krisis politik yang tidak selesai.

Parlimen akan panas. Kehadiran akan penuh. Tapi tidak ada kebaikan untuk rakyat. Hilang semangat Ramadan dan Aidilfitri.

Ini kerana PN dan PH memiliki kekuatan yang hampir sama di Parlimen. Menang atau kalah hanya ditentukan oleh ‘beberapa Ahli Parlimen’ yang ‘bijak’ mengambil kesempatan.

Perjanjian damai sementara

Buat sementara waktu ini, semua pihak sepatutnya menjunjung keputusan SPB YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, iaitu Tan Sri Muhyiddin dan PN mempunyai keyakinan majoriti walaupun tipis.

Sekurang-kurangnya kita mempunyai Kerajaan yang berfungsi dengan baik ketika berhadapan dengan krisis COVID-19.

Tanpa menghormati keputusan itu ketika ini, negara akan menghadapi krisis ‘tiga serangkai’. Kesihatan, ekonomi dan politik.

Penutup

Setelah krisis COVID-19 ini berjaya ditangani, Parlimen akan kembali ‘panas’. Tidak mengapalah ketika itu. Semua pihak ingin menuntut hak mereka dalam ruang demokrasi berparlimen di negara kita.

Tan Sri Muhyiddin dan PN akan membuktikan beliau mempunyai keyakinan majoriti. Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar juga begitu.

Mungkin juga akan ada Pilihan Raya Umum yang baru, jika ia tidak selesai ketika itu. Tetapi tidak mengapalah. Sebab wabak COVID-19 sudah dalam keadaan terkawal ketika itu. Jika ada PRU pun, kita boleh turun mengundi dengan selamat. Saya secara peribadinya yakin PN akan dipilih oleh majoriti rakyat.

Namun begitu, mungkin ada antara kita yang masih rindukan PH? Jika PH kembali berkuasa, Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar sekali lagi terpaksa membincangkan ‘pelan peralihan kuasa’. Kembali kita ke ‘square one’ … Oh! Rindu yang tidak dirindukan!

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 14 Mei 2020 bersamaan 21 Ramadan 1441 H – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -