Hanya tanggung kos kuarantin rakyat sahaja – Menteri

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto- Facebook Jabatan Perdana Menteri.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menanggung kos kuarantin wajib yang pulang dari luar negara hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.

- Advertisement -

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata terdapat pasangan dari warganegara Malaysia sama ada isteri ataupun anak yang berstatus permastautin tetap atau Permanent Resident (PR) dan juga pemegang pas lawatan sosial jangka masa panjang, yang balik mengikut suami atau isteri di kuarantin wajib dan mereka perlu menanggung sendiri kos hotel.

“Namun terdapat dalam kalangan mereka ini yang enggan membayar kos tersebut apabila mereka keluar daripada penginapan hotel mereka.

“Justeru itu, pagi tadi kita berbincang secara terperinci dan telah membuat keputusan bahawa mana-mana permastautin tetap atau pemegang pas jangka panjang ini yang berdegil untuk tidak membayar kos hotel dan sebagainya.

“Jabatan Imigresen diberikan kebenaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka ini, termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang di nikmati oleh mereka selama ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, tindakan tersebut bukan bermakna pembatalan status pemastautin tetap dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang.

“Cuma kelebihan diberikan kepada mereka akan ditarik balik seperti, sebelum ini mungkin dua atau tiga tahun sekali mereka perlu membuat pembaharuan. Akan tetapi, mungkin selepas ini tempoh memperbaharui dipendekkan kepada setiap tiga ke empat bulan sehingga mereka menjelaskan kos berkenaan.

“Jadi segala keistimewaan yang diberikan oleh jabatan Imigresen kepada mereka akan di tarik balik sehingga mereka membayar kos tertunggak tersebut,” jelasnya.

Malah, pejabat peguam negara juga akan meneliti perkara ini untuk mengambil tindakan undang-undang seterusnya.

“Peguam negara sedang meneliti bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil sehingga bayaran selesai,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -