COVID-19: 40 kes baharu dicatatkan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila mencatatkan sebanyak 40 kes hari ini.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 40 kes baharu telah dilaporkan, dan 31 daripada jumlah tersebut adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes import dilaporkan pada hari ini.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah positif virus itu sebanyak 6,819 kes.

Menurutnya, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 4 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat sebanyak 70 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 5,351 kes iaitu daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kes kematian Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 112 kes.

Kes kematian ke-112 (kes ke-6780) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun.

Beliau mempunyai sejarah penyakit injap jantung, serta kemalangan pada awal tahun mengakibatkan beliau patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Mei 2020 jam 9.52 malam di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang, katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -