Berpolitik untuk bekalan mati

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. RamadanKariim! Apa khabar semua? Suhu politik negara seminggu dua ini agak panas. Jika diukur dengan termometer politik semata-mata ianya tentu boleh menyebabkan selesema kebencian dan batuk kemarahan. Namun jika kita melihat ianya melalui kanta siyasah Islamiyah dan demi khidmat, maka akan kebah segala virus kecewa dan penyakit putus asa.

Dalam Usrah Online PAS Sarawak baru-baru ini, Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Al-Fadhil Ustaz Idris Ahmad yang menjadi Naqib kami menyebut: “Kita berpolitik ini untuk mengumpul bekalan mati, bukan politik untuk bekalan hidup. PAS ada prinsip, PAS ada dasar, PAS ada pegangan. PAS melakukan suatu anjakan dalam berpolitik dengan meletakkan Islam di hadapan.

Kalau politik kata rugi, Islam kata untung, kita ambil Islam walaupun terpaksa mengalami kekalahan. Kita nak Islam menang dan menang dengan Islam. Kita berpolitik untuk menjadikan salah satu daripada amal kita untuk bertemu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Bukan kita berpolitik untuk semata-mata hendak dunia tanpa mengira soal halal haram, dosa pahala dana larangan suruhan.”

- Advertisement -

Sahabat-sahabat seperjuanganku, motivasi terunggul seorang manusia ialah Allah. Iman adalah pendorong utama dalam mencapai kejayaan dunia menuju Akhirat. Bahkan dengan rahmat Allah, iman dan amallah penentu utama kebahagiaan dan prasyarat ke Syurga.

Sheikh Dr. Yusof Al-Qardhawi di dalam bukunya Al-Iman Wal-Hayat (Iman dan Kehidupan) menukilkan;

“Sesungguhnya masalah “iman” itu, bukanlah sesuatu yang sifatnya tambahan dalam wujud ini, yang boleh kita abaikan atau kita anggap ringan, atau kita tinggalkan untuk dilupakan. Ia merupakan “masalah penentuan nasib hidup” yang paling penting bagi manusia. Ia boleh membawa manusia kepada kebahagiaan yang abadi atau kepada kecelakaan yang abadi, sebagaimana iapun boleh membawa manusia masuk ke dalam Syurga atau terjerumus ke dalam neraka.”

Penunjuk prestasi sebenar manusia ialah di Akhirat nanti. Orang yang berjaya ialah mereka yang dimasukkan ke dalam Syurga dan terlepas dari api neraka. Orang yang gagal pula ialah mereka yand dicampakkan ke dalam neraka jahannam dan dinafikan Syurga.

Iman sumber kebahagiaan. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

“Hanyalah keimanan yang dapat memancarkan ke dalam hati manusia sumber-sumber kebahagiaan, yang dirindukan oleh setiap orang. Kebahagiaan baru menjadi suatu kenyataan yang dapat dirasakan, hanyalah jika ada ketenangan, ketenteraman, keamanan batin, pengharapan, kepuasan, cita-cita dan kasih sayang. Untuk semua itu, iman yang menjadi sumbernya. Tanpa ada keimanan, hal-hal di atas hanyalah dapat menjadi sebutan dan harapan kosong belaka. Dengan iman, tercipta kebahagiaan zahir dan batin.”

Maka oleh itu, adalah suatu keperluan yang mendesak bagi setiap insan yang mempunyai akal fikiran untuk memikirkan lantas bermujahadah agar dirinya mampu memperolehi ketenteraman jiwa dengan iman dan hakikat amal yang sebenarnya. Justeru, marilah kita bina kembali tugu sasa agama dengan menanamkan taqwa dan membangunkan kesedaran di dalam diri.

Mari bersama kita merenung Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Aku tidak bimbang kamu ditimpa kefakiran, akan tetapi aku amat bimbang dunia ini terbuka luas bagi kamu sebagaimana ia telah terbuka luas bagi umat sebelum kamu, maka kamu akan berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana umat terdahulu telah mengejarnya, dan akhirnya, dunia membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Siiru ‘ala baratillah, teruskan perjuangan kerana Allah!

Wallahu a’lam bissawab.

Saudaramu;
MUHTAR SIHAILI AS-SARAWAKI
Rumah Hijau, Pujut 9, Miri, Sarawak.- HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -