Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (54)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

“Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu). Maka bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.”

Ibrah akhir zaman

(1) Konsep percukaian

Menurut Ibn Kathir dalam tafsir ayat 94, penduduk dua gunung tersebut mahu mengumpulkan wang mereka untuk diserahkan kepada Zulqarnain, sebagai balasan pembinaan tembok yang mereka pinta. Ini merupakan konsep percukaian moden hari ini. Cukai dikutip oleh Kerajaan terhadap rakyat atas tujuan menyediakan keperluan masyarakat secara umum seperti kemudahan awam, khidmat perubatan, pendidikan dan sebagainya.

Ibn Arabi menyatakan, Kerajaan wajib menjaga kebajikan rakyat dengan harta yang mereka ada terlebih dahulu. Sekiranya tidak mencukupi, mereka perlu meminta bantuan tenaga terlebih dahulu. Akhir sekali barulah diambil cukai daripada rakyat. Syaratnya ia mestilah diambil dengan pengetahuan rakyat, diuruskan dengan adil serta setelah menerima pandangan ramai.

Cukai menjadi sumber penting kepada pendapatan negara. Kebanyakan negara yang tidak memiliki hasil bumi yang banyak, hampir kesemua pendapatan negara datangnya dari cukai. Lebih daripada separuh pendapatan Malaysia bergantung kepada hasil cukai. Begitulah keadaannya di mana-mana negara hari ini yang mengamalkan dasar ekonomi fiskal.

Menurut Ibn Khaldun, konsep ekonomi berasaskan percukaian boleh menjahanamkan negara di akhirnya. Berasaskan pemerhatian beliau, semakin lama sesebuah negara ditadbir, semakin besarlah kebergantungan mereka terhadap cukai. Ini mengakibatkan kadar akan sentiasa meningkat dari masa ke masa.

Akibat peningkatan cukai, rakyat semakin hilang motivasi untuk bekerja dan berniaga kerana hasil yang mereka perolehi tidak berbaloi dengan penat lelah yang dikeluarkan. Akhirnya apabila rakyat mula meninggalkan kerjaya dan perniagaan, negara tidak cukup hasil untuk menampung keperluan yang semakin banyak. Lalu ditingkatkan lagi cukai. Semakin tinggi cukai, semakin kecillah produktiviti rakyat. Akhirnya jahanam negara.

Perkara ini diperhatikan oleh Ibn Khaldun dalam pemerintahan Abbasiyyah dan Fatimiyyah sehingga ibadat haji juga dicukaikan. Salahuddin al-Ayubbi datang menghapuskan sekali gus. Ia juga berlaku di Andalus sebelum dihapuskan oleh Yusof bin Tashfin, pemerintah dinasti Murabitun.

Apa yang diperkatakan oleh Ibn Khaldun berlaku dalam realiti hari ini. Negara paling secocok untuk dijadikan contoh adalah Greece. Antara punca mereka bankrupt adalah cukai GST (VAT) mereka terlalu tinggi iaitu 26 peratus sehingga menghilang motivasi kerja rakyat kerana melihat Kerajaan masih berjoli-joli dengan wang mereka.

Sebenarnya konsep Islam dalam membangunkan negara tidak bergantung tinggi kepada cukai. Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Islamic Research and Training Institute (IRTI) di Arab Saudi, sumber perolehan Kerajaan terhad kepada zakat, ghanimah, fai’, sedekah dan pinjaman sahaja. Daripada fai’ itu termasuk segala bentuk percukaian seperti Jizyah, Kharraj dan Usyur.

Cukai berbentuk Kharraj dan Ushur diperkenalkan di zaman Saidina Umar bagi memenuhi keperluan pentadbiran Kerajaan. Walau bagaimanapun, ia memiliki prinsip percukaian khusus yang perlu dipatuhi seperti berikut:

1. Ambil daripada yang mampu.

Cukai tidak boleh dikutip daripada semua rakyat secara umum. Ia hanya dikenakan kepada rakyat yang memiliki keupayaan untuk membayar sahaja.

Justeru cukai seperti GST dan SST yang dikenakan terhadap semua rakyat secara umumnya adalah bercanggah dengan prinsip Islam. Dengan prinsip ini, rakyat marhaen tidak akan terbeban dan kuasa beli rakyat teramai akan bertambah.

2. Memiliki pengkhususan perbelanjaan.

Hasil cukai tidak boleh dikumpulkan dalam tabung yang sama. Ia mesti dibahagikan mengikut akaun yang berbeza dari sudut sumber dan juga perbelanjaannya. Zakat hanya boleh dibelanjakan kepada asnaf sahaja. Cukai yang dikutip daripada aktiviti haram seperti penjualan babi dan arak tidak boleh dibelanjakan untuk kepentingan orang Islam.

Dengan prinsip ini, rakyat jelas ke mana wang mereka mengalir. Ini memberikan motivasi untuk terus membayar cukai jika mereka tahu ke wang mereka dimanfaatkan secara optimum.

3. Dikenakan jika memerlukan sahaja.

Cukai tidak dikenakan secara tetap. Ia dikenakan mengikut keperluan perbelanjaan Kerajaan sahaja seperti membina sekolah. Sekiranya pembinaan berakhir, maka cukai tersebut perlu dihentikan melainkan untuk belanja pengurusan sekolah sahaja.

Prinsip inilah yang diamalkan oleh Zulqarnain apabila tidak mengambil cukai walaupun tembok dibina atas kepentingan penduduk kawasan tersebut juga. Ringkasnya, cukai jalan terakhir.

4. Kerajaan sebagai perantara.

Cukai bukan harta Kerajaan. Ia adalah harta rakyat. Kerajaan bertindak sebagai pengurus sahaja. Dibenarkan Kerajaan menggunakan sebahagian daripada harta tersebut untuk belanja pengurusan seperti emolumen dan sebagainya, tetapi tidaklah menjadikan ia sebagai belanja utama. Di dalam prinsip zakat, amil hanya memperolehi 1/8.

(2) Negara Berkebajikan

Antara pendekatan bernegara yang turut ditunjukkan oleh Zulqarnain adalah konsep Negara Berkebajikan. Konsep ini berbeza dengan konsep negara kebajikan (welfare state) yang dipopularkan oleh Barat. Walaupun Kerajaan wajib menjaga kebajikan rakyat, namun Islam memperkenalkan konsep kerjasama dan tolong menolong tidak kira sesama individu, antara individu dan Kerajaan mahupun Kerajaan sesama Kerajaan. Firman Allah S.W.T:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

“Bertolong-menolonglah dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.”

[al-Maidah: 2]

Dr Abdul Fattah al-Khalidi menyatakan sikap yang digambarkan oleh Allah terhadap kaum di pergunungan tersebut adalah pemalas kerana hanya mahu mengeluarkan harta sahaja kepada Kerajaan. Menurut welfare state, perangai inilah yang akan lahir di kalangan masyarakat. Perangai ini jugalah yang lahir di kalangan bangsa Arab. Oleh kerana mereka banyak duit, mereka hanya membayar negara-negara Islam lain untuk menyelesaikan masalah di rantau sendiri seperti di Palestin. Hanya berkokok di persidangan Antarabangsa, tetapi tiada setitik peluh pun yang pernah gugur di bumi jihad itu.

Walau bagaimanapun, Zulqarnain menunjukkan sikap sebagai sebuah Kerajaan Islam. Beliau bijak memanfaatkan modal yang ada. Ibn Juraij menafsirkan perkataan (بِالقُوَّة) dengan maksud tenaga kerja (manpower). Ar-razi pula menambah maksud peralatan (material) manakala al-Alusi turut memasukkan pembuatan (machine). Ini merupakan antara elemen utama produksi.

Zulqarnain bijak memanfaatkan tenaga kerja mengikut kepakaran masing-masing. Al-Khalidi menyatakan, hanya tujuh orang sahaja yang membantunya. Namun kesemuanya efektif. Negara Berkebajikan perlu melihat potensi rakyat dan membuka peluang perkhidmatan berdasarkan kepakaran yang ada.

Zulqarnain juga pandai membahagikan tugas mengikut kepakaran bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Dengan hanya tujuh orang, sudah tentu masing-masing punya peranan tersendiri. Maka begitulah Kerajaan, perlu mengoptimumkan guna tenaga rakyat agar memperolehi hasil yang maksimum.

Selain itu, Zulqarnain turut mengajar cara mendidik rakyat. Walaupun hakikatnya Zulqarnain mampu membina sendiri tembok dengan kekuasaan yang dimiliki, namun beliau sengaja mahu melibatkan penduduk setempat agar mereka boleh berdikari selepas ini. Menurut as-Syaarawi, Zulqarnain ingin mengajar rakyat kemahiran membina tembok dan pengurusan yang berkaitan. Bak kata sesetengah orang:

“Jangan beri ikan, tapi ajarlah cara mengail.”

Penglibatan rakyat dalam menguruskan negara adalah suatu faktor yang penting bagi meningkatkan kemakmuran. Manusia secara fitrahnya diciptakan kasih kepada bangsa dan tanah air sendiri. Sekiranya mereka diberi peluang untuk berkhidmat, sudah tentu mereka akan memberikan partisipasi yang baik walaupun secara sukarela. Ia juga akan meningkatkan rasa kepunyaan (sense of belonging) yang membuatkan mereka lebih kasih dan setia kepada negara, sekali gus mencetuskan rasa patriotik. Mereka juga akan rasa diri sebagai tuan tanah dan bertanggungjawab penuh terhadap negara. Jika ada ancaman, mereka akan turut mempertahankannya.

Kata Buya Hamka dalam menafsirkan ayat ini:

“Dengan sambutan yang demikian nampaklah bahawa ‘Yang Empunya Dua Tanduk’ membawa rakyat itu bekerjasama dan menanamkan dalam diri mereka rasa tanggungjawab, sehingga jangan sampai merasa bahawa kalau upeti telah dibayar tiap tahun, kewajiban menjaga negeri tidak ada lagi pada mereka, cukup pada bala tentera Baginda saja.”

Ayat ini memberikan kepada kita suatu ‘ilmu politik’ pemerintahan tertinggi, bahawa sesuatu kekuasaan tidaklah akan tegak kalau sekiranya rakyat yang telah mengakui tunduk dan takluk tidak dibawa ikut serta bertanggungjawab, yang dalam percakapan Indonesia moden dinamai partisipasi.

Apa yang berlaku dalam dunia moden hari ini, rakyat dianggap hanya sekadar alat bagi mencapai keuntungan. Keuntungan pula dibolot sama ada oleh pemodal mengikut sistem Kapitalisme, atau pemerintah mengikut sistem Sosialisme. Rakyat tidak merasa apa-apa sensitiviti terhadap negara.

Rakyat akan menjadi pentingkan diri, dan akhirnya melahirkan rakyat yang hanya tahu menuntut hak sahaja, tanpa mempedulikan tanggungjawab. Inilah yang terjadi di seluruh dunia, baik negara Liberalis mahupun Sosialis. Peraturan tidak dihormati. Kerajaan dibenci. Dituruti pun hanya kerana takutkan mereka seperti sabda Rasulullah S.A.W dalam menghitung tanda-tanda kiamat:

أُكْرِمَ الرجلُ مخافةَ شرِّهِ

“Dimuliakan seseorang hanya kerana takutkan kejahatannya.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, pendekatan welfare state hanyalah wayang. Ini kerana hakikatnya Kerajaan mengenakan cukai yang sangat tinggi kepada rakyat. Oleh kerana itulah PAS mempopularkan konsep Negara Berkebajikan sejak zaman Presiden Ustaz Fadzil Noor lagi serta turut menentang GST. Beliau turut memetik kata-kata An-Nadawi, bahawa konsep Islam adalah negara ‘hidayah’ sedangkan Barat negara ‘jibayah (cukai)’.

ALANG IBN SHUKRIMUN
21 Ramadan 1441
14 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -