18 Mei: Pengiktirafan rakyat terhadap PN

- Advertisement -

MENJELANG sepuluh terakhir Ramadan dan perkembangan peperangan menentang wabak COVID-19 yang semakin berjaya dan positif, tumpuan rakyat dan negara teralih pula ke tanggal 18 Mei. Pada hari berkenaan akan dilangsungkan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang sehari.

Ia akan menjadi persidangan Parlimen yang pertama buat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri (PM) ke-8 dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) roboh apabila Perdana Menteri ke 7 Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM pada 24 Febuari lalu dan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM baru pada 1 Mac.

Persidangan kali ini yang sepatutnya menyaksikan pembentangan Kerajaan berhubung perkembangan COVID-19 tiba-tiba menjadi tumpuan berikutan laporan bahawa satu Usul Undi Tidak Percaya telah dibawa oleh Tun Dr Mahathir selaku Ahli Parlimen Langkawi dan diluluskan oleh Yang Dipertua Dewan.

- Advertisement -

Ternyata pihak pembangkang tidak dapat menerima pembentukan Kerajaan baru di bawah Muhyiddin dan terus berusaha untuk mencabar kesahihannya. Tun dan Anwar ke hadapan selaku kuda tunggangan untuk mencetus kontroversi sedang DAP yang mewakili parti dengan perwakilan terbesar di Parlimen iaitu 42 kerusi, sepi membisu barangkali tersengeh beronggeng di belakang tabir.

Tun yang sebelum ini digantikan oleh Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah partinya BERSATU meninggalkan PH, mempunyai hubungan pasang-surut dengan Anwar.

Sejurus beliau meletak jawatan PM beliau antara lain telah mengkritik Anwar sebagai salah satu puncanya dan menyatakan bahawa dengan rekod peribadi dan sikapnya yang Liberal Anwar tidak sesuai menggantikan beliau sebagai PM.

Malah kini kedudukan Tun dalam partinya sendiri masih pekat dengan tanda tanya, Muhyiddin selaku Presiden BERSATU dan Pemangku Pengerusi dilaporkan disokong oleh 32 Ahli Parlimen dan sebahagian besar Ketua-ketua Bahagian BERSATU, manakala Tun cuma punya 5 termasuklah beliau sendiri dan anaknya Mukhriz. Adakah Tun boleh mewakili BERSATU lagi atau bagaimana kedudukannya?

Dan terbaru pula, demi menghadapi persidangan Parlimen 18 Mei ini, Tun dan Anwar yang tidak sehaluan itu tiba-tiba boleh mengeluarkan kenyataan bersama akan menentang Kerajaan PN yang mereka anggap tidak sah kerana tidak mendapat mandat rakyat. Mereka mendesak agar mandat rakyat dikembalikan semula kepada pihak yang sepatutnya. Adakah rakyat bersedia mengembalikan DAP berkuasa?

Menarik, dalam pada Kerajaan PN menempa kejayaan menghadapi krisis wabak COVID-19 ini dengan sokongan dan dukungan rakyat, Tun dan Anwar serta gerombolan pembangkang dibayangi PH pula semakin kucar-kacir, berbolak-balik dan langsung tidak mampu memberikan keyakinan bahawa mereka punya kudrat untuk mengambil-alih Kerajaan.

Status Tun sebagai Pengerusi BERSATU dipertikaikan, manakala PH telah pun isytiharkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, dalam keadaan celaru itu tiba-tiba mereka bernafsu mahu menjatuhkan Kerajaan sedia ada, adakah mereka mampu? Berapa ramaikah anggota Parlimen bersama mereka?

Parlimen Malaysia punya 222 ahli, untuk mencabar kesahihan Kerajaan, pihak pembangkang perlu punya paling kurang 112 Ahli Parlimen yang bersetuju bersamanya, adakah mereka punya cukup bilang?

Malah di hari Yang Dipertua Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan menerima Usul Tun, Tun sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa usul beliau itu tidak akan berjaya kerana pembangkang tidak mempunyai cukup bilangan.

Jika demikian keadaannya, mengapa perlu mencetuskan huru-hara, mengganggu proses Parlimen sedang mereka sendiri tahu mereka tidak cukup bilang dan akan gagal? Inilah wajah Tun, Anwar dan pembangkang yang sebenar yang perlu diketahui rakyat.

Sedang kita semua mengharungi kesan serangan wabak COVID-19 ini, patuh dan taat pada segala arahan dan perancangan Kerajaan dan pihak berkuasa demi mahu memulihkan negara, mereka ini lebih bernafsu mahu merobohkan Kerajaan dan mengutamakan perjuangan serta agenda peribadi masing-masing.

Sama ada Usul Tun itu akan dibahas dalam persidangan 18 Mei ini atau ditangguhkan kerana mengutamakan urusan Kerajaan, sama-sama kita ikuti nanti. Yang pastinya Kerajaan PN dan kesemua penyokongnya akan ditempatkan di bangku Kerajaan 18 Mei ini, manakala Tun, Anwar dan blok pembangkang di bangku pembangkang. Mustahil bangku Kerajaan menempatkan Ahli Dewan kurang dari 112 ahli 18 Mei nanti. Tun, Anwar dan PH sesungguhnya mahu mencari publisiti murahan setelah mereka hilang kuasa apabila cuma mampu memerintah selama 22 bulan.

Jika rakyat benar-benar bersama mereka lagi sudah pasti peralihan kuasa seumpama ini mencetuskan huru-hara dan ketegangan, akan tetapi sejak Muhyiddin mengangkat sumpah dan Kerajaan PN terbentuk semuanya tenang dan kini setelah 2 bulan lebih memerintah, rakyat langsung tidak merungut malah memberi sokongan dan pengiktirafan padu khasnya apabila melihat Kerajaan ini berjaya menguruskan negara dengan baik walaupun berhadapan ancaman besar COVID-19.

Tun dan Anwar jangan lupa, walaupun mereka menang dan membentuk Kerajaan dalam PRU14 lalu akan tetapi 22 bulan pemerintahan mereka cukup memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Melayu dan Bumiputera.

Kegagalan mereka menepati janji sebagaimana terkandung dalam Manifesto PH, membangkitkan kemarahan rakyat kerana menganggap mereka telah ditipu hidup-hidup.

Tanpa kuasa politik Melayu yang kukuh dalam Kerajaan serta kemunculan dominasi DAP yang kuat, umat Melayu Islam merasa begitu terancam dan ternyata DAP lebih mengutamakan agenda ‘Malaysian Malaysia’ mereka.

Tun dan Anwar perlu sedar, lantaran kebencian dan kemarahan rakyat itulah apabila Kerajaan PH jatuh roboh angkara peletakan jawatan Tun rakyat sebenarnya tidak gusar. Malah apabila naiknya Kerajaan PN yang mewakili kuasa politik Melayu rakyat langsung tidak protes malah semua pihak menerimanya dengan perasaan lega dan terharu.

Sedarlah bahawa rakyat inginkan kestabilan dan kesejahteraan. Bukannya Kerajaan yang Liberal, rasis, dan menolak segala kontrak sosial yang telah dibina sejak negara Merdeka dahulu.

Malah Tun sendiri pernah berkata bahawa orang Melayu cuma ada kuasa politik dan tidak yang lain dalam negara. Kerana itu Kerajaan yang stabil mestilah diwakili oleh blok yang didukung kuasa politik Melayu iaitu penduduk majoriti dalam negara.

Apapun sama-samalah kita berdoa agar persidangan Parlimen 18 Mei ini terus berjalan lancar dan Ahli-ahli Parlimen yang rasional, matang dan waras akan menyokong dan memberi keyakinan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN, biar kita bina kembali negara kita dengan aman dan tenang ikut cara kita sendiri.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/5/2020

- Advertisement -