Ziarah Muslimat erat Semarak Kasih Ramadan

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang telah menjayakan program Semarak Kasih Ramadan melibatkan lima kawasan iaitu Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Kepala Batas, di sini kelmarin

- Advertisement -

Ziarah kebajikan bersama NGO Muslim Care ini turut dihadiri Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Dr ‘Uyun Malek menyantuni masyarakat pelbagai kaum dalam kalangan miskin, sakit kronik, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

Kunjungan ini juga sebagai sokongan dan tanda prihatin sesama, di samping  membantu meringankan bebanan kewangan yang dihadapi golongan tersebut dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani wabak COVID-19 ketika ini.

Setiap yang diziarahi dititipkan kata-kata semangat, doa dan nasihat, selain diberikan sedikit sumbangan barangan keperluan, serta pesanan khas oleh Dr ‘Uyun mengenai penjagaan kebersihan dan kesihatan dalam menghindari jangkitan COVID-19.

Dalam lawatan khusus di DUN Penaga, delegasi telah menyampaikan sumbangan buat ibu tunggal keturunan India yang bekerja sebagai pencuci rumah, di mana diterima oleh anaknya, Mogenawali Goval, 24, kerana beliau keluar bekerja.

Turut dikunjungi adalah Aishah Osman, 82 yang merupakan ibu kepada mantan Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Rahmah Md Isa di mana mengidap strok dan terlantar sejak beberapa tahun, namun masih berupaya berbual-bual dengan rombongan.

Juga diziarahi adalah enam beradik yatim piatu yang baru kehilangan ibu, setelah ayah mereka juga telah meninggal beberapa tahun lalu di mana kini mereka bergantung hidup dengan mengusahakan bengkel motosikal di Kampung Pasir Gebu.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pulau Pinang, Zakiah Mohamad, ziarah seumpama akan dilanjutkan lagi bagi menyerahkan sumbangan keperluan menjelang Syawal nanti. – HARAKAHDAILY 13/4/2020

- Advertisement -