Tabiat manusia terhadap perubahan fenomena global

- Advertisement -

MANUSIA menyerap perubahan

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai Digital Darwinism [1] yang dikaitkan dengan sifat kesemulajadian manusia yang boleh ‘menyerap’ perubahan sekeliling. Atau bahasa mudahnya, manusia itu boleh dibiasakan.

Inilah yang dikatakan sifat semulajadi manusia yang dikurniakan akal. Dalam artikel tersebut juga saya mengaitkan dengan Falsafah Ibnu Thufail mengenai Hayy Ibn Yaqazan yang menjadi rujukan Timur dan Barat.

(2) Hari ini kita berhadapan dengan realiti PKPB dan ada negara yang masih PKP dan ada negara yang sudah isytihar tamat PKP. Walau bagaimanapun, Amerika masih lagi berada di tangga tertinggi COVID-19.

Realiti ini memaksa manusia untuk ‘membiasakan’ diri dengan suasana perubahan. Iaitu daripada realiti bekerja, beroperasi, bergerak, kepada tidak bekerja, berhenti beroperasi dan tidak dibenarkan keluar rumah.

- Advertisement -

(3) Walaupun di peringkat awal memang tidak biasa dengan situasi ini, tetapi lama kelamaan menjadi biasa dan serasi. Bahkan apabila berhenti PKP, mungkin ada yang perlu membiasakan semula untuk bekerja dan beroperasi.

Bukan setakat itu, antara perubahan yang memang biasa dihadapi oleh manusia adalah proses kematangan, cabaran hidup, budaya, pemikiran dan banyak lagi. Semuanya boleh berubah-ubah.

(4) Di dalam Tauhid, hal ini dibicarakan dalam istilah العالم حادث وكل حادث متغير iaitu sifat semula jadi alam yang sentiasa berubah atau menerima perubahan. Perubahan alam ini hakikatnya menjadi bukti kekuasaan Allah S.W.T.

Begitulah yang cuba diterjemahkan oleh Ibn Thufail di dalam falsafahnya selain daripada penciptaan manusia yang ajaib, dan bagaimana manusia itu membesar dan memperolehi pengalaman daripada hidupnya.

Digital Darwinism

(1) Digital Darwinism cuba menggambarkan bahawa perubahan dunia ke dimensi digital. Perubahan ini dikaitkan dengan proses evolusi. Manakala proses evolusi ini sangat sinonim dengan Teori Darwin sekalipun teori itu sudah tertolak.

Digital Darwinism masih membincangkan dalam skop ekonomi. Menggambarkan kemajuan ekonomi yang sedang bertukar dimensi. Ia juga berkaitan dengan penggunaan mata wang masa depan.

(2) Saya pernah menulis mengenai fasa COVID-19 yang mungkin akan mengubah dunia dalam skala yang besar, antaranya dalam bab mata wang [2]. Khususnya apabila harga minyak menjunam teruk pada fasa COVID-19 ini.

Antara yang dijangkakan ialah mata wang akan beralih daripada USD yang bersandarkan kepada Petrodollar kepada Crypto Currency atau mata wang Digital. Ini juga kemungkinan satu perubahan yang mesti dihadap oleh manusia.

(3) Dari sudut alam sekitar, ia berubah ke arah yang lebih baik apabila kilang-kilang perindustrian berhenti seketika akibat COVID-19. Kembali kepada sistem kesemulajadian yang asal, walaupun tidak sepenuhnya.

Realiti perubahan ini memaksa manusia supaya serasi dengan suasana ini. Iaitu suasana ‘kurang bergerak’ dan ‘kurang beroperasi’. Akal manusia mula menghala ke arah dimensi digital, atau bahasa mudahnya online.

(4) Situasi ini sebenarnya lebih memberi saham yang tinggi kepada negara-negara yang mengusahakan telekomunikasi. Masing-masing melihat bahawa perlu bersaing dalam dimensi ini kerana ia adalah simbol kepada menguasai dunia.

Contohnya, selama ini kita mungkin berteori bahawa siapa yang menguasai petroleum, dia akan kuasai dunia. Maka, seluruh dunia berperang merebut kepentingan ini, dan tidak sikit nyawa yang terkorban.

Penurunan kadar keperluan petroleum

(1) Kita sudah saksikan betapa sejak zaman berzaman manusia itu berperang dan berpropaganda disebabkan minyak (petroleum). Amerika yang dikatakan menguasai dunia sejak 1945 pun bersandar kepada minyak.

Walaupun pada mulanya bersandar kepada emas, namun tak lama kemudian bertukar kepada petroleum. Maka, negara-negara yang kaya dengan petroleum pastinya menjadi buruan Amerika.

(2) Antara negara yang menjadi mangsa Amerika akibat kegilaan mereka untuk berkuasa dengan menguasai kepentingan minyak ialah negara-negara Afrika, khususnya Sudan. Boleh baca peristiwa Darfur [3].

Negara-negara di Benua Afrika majoritinya adalah negara Islam, dan hasil buminya sangat banyak (petroleum). Tetapi Islam tak jadi kuasa besar sepertimana Amerika. Kerana minyak-minyak itu dirembat oleh Amerika.

(3) Hari ini, sumber kuasa seolah-olah telah berubah ke arah dimensi telekomunikasi. Sebab itulah sudah wujud persengketaan dalam isu telekomunikasi ini, dan mungkin mengheret kepada pertembungan bersenjata [4].

Bahasa mudahnya, dunia ke arah kurang memerlukan kepada penggunaan minyak berbanding komunikasi. Cukup dengan ada komunikasi, tak perlu bersusah payah menghabiskan minyak untuk bergerak.

(4) Contoh yang lebih mudah, zaman dahulu apabila nak sampaikan satu mesej, perlu naik kuda dipacu dengan selaju lajunya supaya surat itu boleh sampai segera. Kemudian apabila munculnya telefon, pergerakan semakin kurang.

Hari ini, bukan sahaja telefon, malah sudah ada internet, dan pelbagai aplikasi. Tak perlu naik kuda untuk sampaikan mesej. Tak perlukan posmen untuk hantar surat atau kad raya. Semuanya cukup dengan handphone.

Peningkatan keperluan telekomunikasi

(1) Perubahan-perubahan ini memaksa manusia untuk berubah. Kalau sebelum ini, nak berniaga perlu ada kedai, atau paling kurang kiosk. Kemudian iklan ditempel di tiang-tiang, atau disebarkan secara manual.

Tetapi hari ini, sesiapa sahaja boleh berniaga secara online. Iklan juga secara online. Tak perlu kedai atau kiosk. Boleh dilakukan di rumah, kemudian penghantaran masih guna minyak dan pos.

(2) Ini menampakkan bahawa pergerakan operasi itu semakin kurang, dan pastinya penggunaan minyak juga semakin kurang. Manakala sektor telekomunikasi semakin panas bersaing. Jangan lupa, telekomunikasi perlukan satelit.

Saya pernah huraikan mengenai ‘Spacewar’ [5] yang dikaitkan dengan perang angkasa. Manusia bukan sahaja berebut laluan kapal untuk projek minyak, akan tetapi projek merebut angkasa untuk telekomunikasi.

(3) Kalau perebutan minyak sudah mengheret kepada pertembungan senjata, mungkin juga telekomunikasi ini akan mengheret kepada realiti yang sama. Bahasa mudahnya, senjata-senjata yang dibina untuk menembak satelit.

Orang zaman dahulu mungkin tak terfikir bagaimana perang skala besar yang mampu membunuh jutaan orang? Tetapi sejak zaman nuklear ditemui, ia tidak lagi menjadi perkara pelik. Apatah lagi hari ini.

(4) Kalau dahulu manusia menganggap telekomunikasi itu hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan, tetapi hari ini ia sudah menjadi keperluan yang besar. Sanggup berlapar dahaga kumpul duit beli Iphone.

Seolah-olah keperluan terhadapnya pada hari ini sudah menyamai keperluan makanan. Mungkinkah satu hari nanti keperluan terhadapnya melebihi keperluan manusia terhadap makanan?

Digital learning

(1) Kita boleh fikirkan jika masa depan keperluan alat telekomunikasi lebih diperlukan berbanding makanan. Contohnya, sekiranya semua kedai mengikut arus Digital Darwinism hingga berubah kepada pembelian online.

Maka ketika itu, siapa yang tiada peralatan telekomunikasi boleh mati kelaparan, atau terpaksa merompak rumah orang. Sebab itulah manusia itu sentiasa mengalami perubahan tanpa sedar.

(2) Apa yang perlu dibincangkan ialah bagaimana manusia itu mungkin akan berubah ke dimensi digital dalam dunia pendidikan. Apakah akan kosongnya bangunan-bangunan sekolah?

Pembelajaran secara online jika dilaksanakan pada hari ini, tidaklah dianggap pelik. Akan tetapi jika dilihat jauh ke depan, ia sangat luar biasa untuk difikirkan khususnya apabila pendidikan itu bergantung kepada online.

(3) Ya, hari ini sempena PKP kita boleh lihat ia sebagai fenomena yang normal. Tanpa sedar kita sedang diheret ke dimensi digital yang pastinya lebih sarat dengan cabaran.

Apabila pendidikan berubah kepada digital sepenuhnya, tiada lagi pelajar-pelajar akan ke sekolah. Tiada lagi guru di sekolah. Tiada lagi isu disiplin. Tiada lagi pak guard yang jaga pagar sekolah.

(4) Ya, manusia akan terbiasa dengan suasana itu. Sedikit demi sedikit. Kerana manusia mempunyai akal, yang dicipta oleh Allah S.W.T untuk menyerap suasana persekitaran dan membiasakan diri.

Sebab itulah dalam Siyasah Syarieyyah, Syeikh Yusuf al Qaradawi meletakkan ciri مراعاة التدرج dalam perbahasan Feqhut Taghyir (mengubah) kerana manusia itu memerlukan tahap untuk berubah.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3713032718738461/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3620770417964692/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3098324600209279/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3692038030837930/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3717765338265199/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 13/5/2020

- Advertisement -