LCS: Jelas siapa kawan, siapa lawan

- Advertisement -

INI bukti terbaru yang mengesahkan Kapal Tentera Amerika sekali lagi memberi sokongan kepada Malaysia daripada gangguan China yang menceroboh perairan kita.

Jelas kelihatan kapal USS Gabrielle Giffords (LCS 10) belayar berhampiran West Capella yang dikontrak Petronas yang baru menyempurnakan misi eksplorasi di Blok ND2 (Lala-1) semalam iaitu pada 12 Mei 2020.

Komander Armada Ketujuh Amerika, Laksamana Madya Bill Merz menegaskan bahawa operasi ini membuktikan bahawa Amerika menyokong usaha negara sekutu mereka untuk memanfaatkan sumber ekonomi di rantau ini, sambil mengulangi amaran kepada tindakan Komunis China yang melanggar Undang-undang Antarabangsa.

- Advertisement -

Untuk rekod, ini ialah kapal keenam Amerika yang menyokong usaha eksplorasi kita daripada gangguan China. Sebelum ini Amerika Syarikat telah mengerahkan Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52), ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52 pada April.

Ini diikuti pula dengan kapal Littoral Combat Ship USS Montgomery (LCS 8) dan kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14) kelas Lewis dan Clark pada awal Mei lalu bagi menyokong usaha eksplorasi kita dan sebagai isyarat kepada China.

Sekali lagi ditegaskan, kita wajib menyedari bahawa kedua-dua kuasa besar ini sama ada Amerika mahu pun China masing-masing memiliki kepentingan mereka yang tersendiri di rantau ini. Apa yang pasti, kejayaan kita menyempurnakan misi eksplorasi pada 12 Mei 2020 cukup signifikan untuk prospek tiga perkara: dari segi perundangan Antarabangsa, ia memberi impak positif dengan menguatkan tuntutan Pentas Benua kita; dari segi eksplorasi di Laut China Selatan pula, ia membuktikan bahawa Petronas benar-benar menyumbang secara positif ke atas geopolitik dan geoekonomi kita, manakala buat angkatan tentera kita pula ia memberikan pengalaman imbangan ancaman (Balance of Threat) dan imbangan kuasa (Balance of Power) antara kuasa besar di Indo-Pasifik.

Sekali lagi, Tahniah TLDM. Tahniah Maritim Malaysia. Tahniah Petronas.

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 13/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -