Speaker Dewan mesti berwibawa, dihormati

- Advertisement -

SPEAKER Dewan Negeri perlu ada wibawa dan dihormati serta mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan untuk membolehkan beliau mengendalikan sidang mengikut tertib pekerjaan dewan.

Dari segi protokol dalam majlis rasmi negeri, selepas MB akan diikuti dengan Speaker kemudian barulah Ahli Exco. Posisi Speaker tidak mempunyai kuasa Eksekutif dalam pentadbiran negeri sebagaimana MB dan Exco tetapi Speaker mengendalikan perjalanan Dewan Legislatif yang menggubal undang-undang bagi negeri. DUN Terengganu menggunakan panggilan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri. Ada negeri yang guna istilah Speaker.

Bila Speaker masuk Dewan untuk memulakan persidangan, semua Ahli Dewan mesti bangun dan tunduk hormat. Begitu juga bila Speaker bangun untuk meninggalkan Dewan selepas sidang ditangguhkan.

- Advertisement -

Ucapan Ahli Dewan sama ada untuk mengajukan soalan, menjawab soalan, mengemukakan Usul atau perbahasan mesti dirujuk kepada Speaker dengan panggilan seperti YB Tuan Yang Dipertua, YB Dato’ Speaker atau panggilan yang sewaktu dengannya.

Alhamdulillah, dalam masa 2 tahun ini, Dato’ Yang Dipertua DUN Terengganu sangat sporting dengan saya. Ruang sepenuhnya diberikan sama ada untuk menjawab soalan lisan atau menggulung perbahasan. Kalau ditegur pun sekadar tanya, “panjang lagi ke ucapan Yang Berhormat?”

Walaupun Speaker dilantik oleh parti pemerintah yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan tapi dari segi fungsinya Speaker perlu kelihatan neutral.

Sekadar paparan senario ringkas ini, kita boleh menilai sendiri sama ada wajar atau tidak untuk beberapa orang Speaker lantikan PH di beberapa buah negeri masih berkeras untuk kekal di kerusi Speaker walaupun parti yang melantiknya telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan. Mampukah seorang Speaker seperti ini berperanan dengan baik sedangkan beliau telah kehilangan wibawa dan tidak lagi dihormati?

Saya memang tak setuju main baling-baling kerana itu permainan budak-budak dan bukannya akhlak seorang ahli yang berada di Dewan yang mulia. Apatah lagi berlawan sumpah seranah. Apa yang perlu ialah, terimalah hakikat kuasa bukan lagi di tangan lalu berundurlah dengan hormat dan dihormati.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -