PH perlu akur keputusan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat adalah sangat tidak wajar memandangkan keadaan negara sedang berdepan wabak Covid-19

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata sepatutnya Pakatan Harapan (PH) tidak bermain politik dalam keadaan sekarang dan lebih menumpu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Tidak sepatutnya berlaku ‘politiking’ dalam masa sekarang ini. Tumpuan yang lebih penting sekarang ini adalah meletakkan keselamatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan,” katanya kepada HarakahDaily.

- Advertisement -

Pada 4 Mei lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan usul tersebut diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, Jumaat lalu.

Menurut beliau, seharusnya semua pihak menyokong langkah kerajaan dalam mengekang Covid-19 meskipun baru 2 bulan lebih kerajan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Jelasnya, kerajaan PN terbentuk melalui perkenan Yang Di-Pertuan Agong apabila mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Seharusnya PH akur dengan keputusan Yang Di-Pertuan Agong. Bagi saya tindakan ini mengambarkan PH tidak hormat kepada keputusan yang telah dibuat dalam erti kata lain telah ‘derhaka’ kepada Yang Di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, katanya 18 Ahli Parlimen PAS akan terus memberi sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui pentadbiran negara.

Beliau berharap semua Ahli Parlimen dapat membuat penilaian secara matang dengan melihat kejayaan kerajaan PN memerintah meskipun tidak sampai 3 bulan tetapi banyak kejayaan dan usaha telah dilaksanakan sekiranya hendak dibandingkan dengan 22 bulan PH memerintah.

Tambahnya, kerajaan PN lebih fokus kepada kepentingan rakyat daripada terus berpolitik seperti PH dahulu yang terus meletakkan semua kesalahan kepada BN.- HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -