Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 19)

- Advertisement -

TADABUR ayat al-Quran melalui juzuk 19 hari ini meneliti berkaitan jalinan persahabatan yang sewajarnya dibina. Kehidupan ini sudah tentu memerlukan kepada rakan taulan untuk berkongsi aktiviti malah sebagai tempat berbincang serta menyelesaikan masalah. Oleh itu, sekiranya kita mengambil orang jahat dan tidak bertanggungjawab sebagai teman, dia pasti mengajak kepada kejelekan serta menyesatkan kita daripada jalan yang benar. Hal ini telah diperingatkan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

- Advertisement -

یَـٰوَیۡلَتَىٰ لَیۡتَنِی لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِیلࣰا. لَّقَدۡ أَضَلَّنِی عَنِ ٱلذِّكۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَاۤءَنِیۗ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِلۡإِنسَـٰنِ خَذُولࣰا

“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku daripada jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”

[al-Furqan: 28-29]

Nabi S.A.W amat mementingkan soal ikatan ukhuwah yang kukuh dan dibina di atas asas iman dan takwa. Kekuatan ukhuwah ini akan menatijahkan kekuatan kesatuan dan tindakan, serta saling berkorban antara satu sama lain. Ketika Abu Sufyan belum memeluk Islam, dia hairan melihat keutuhan persahabatan Rasulullah S.A.W dengan para Sahabatnya yang saling berkasih-sayang kerana agama Allah sehingga keluar ungkapan melalui mulut Abu Sufyan:

مَا رَأَيْتُ مِنَ النَّاسِ أَحَدًا يُحِبُّ أَحَدًا كَحُبِّ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ مُحَمَّدًا

“Aku tidak pernah lihat daripada kalangan manusia yang kasih akan seseorang sepertimana kasihnya para Sahabat Muhammad kepada Muhammad.”

Rasulullah S.A.W telah mengikat hati mereka dengan roh keimanan dan setelah Sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Anshar dipersaudarakan, masing-masing terus mengorbankan harta dan kesenangan yang dimiliki untuk membantu saudara taakhinya. Sesungguhnya berkawan dengan orang yang beriman lagi bertakwa akan meninggalkan kesan yang sangat manis dan turut merasai kebahagiaan hidup. Sebaliknya jika rakan kita itu seorang penjenayah atau penentang kebenaran, kelak kita hanya menerima sisa kejahatannya dan dia sama sekali tidak boleh menyelamatkan kita. Firman Allah S.W.T:

وَمَاۤ أَضَلَّنَاۤ إِلَّا ٱلۡمُجۡرِمُونَ. فَمَا لَنَا مِن شَـٰفِعِینَ. وَلَا صَدِیقٍ حَمِیمࣲ

“Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa. Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan. Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.”

[al-Shu’ara: 99-101]

Mempunyai kawan yang jahat adalah suatu ibtila’ kepada kita. Ketika di dunia, boleh jadi dia akan membebankan hidup kita dengan meninggalkan segala macam permasalahan termasuklah mencemarkan imej dan wibawa kita. Manakala di akhirat kelak, dia langsung tidak dapat membantu bahkan berkemungkinan menarik kaki kita untuk bersamanya menerima azab sengsara, wal’iyazubillah. Oleh yang demikian, Imam Harith Al-Muhasibi ketika menyatakan gerangan siapakah kawan yang perlu ditinggalkan, katanya:

“Semua orang yang bersahabat dengan kamu, tetapi tidak pernah menambahkan kebaikan sedikitpun kepadamu pada setiap hari, maka tinggalkan bersahabat dengannya.”

Suatu kata-kata yang dapat menjadi garis panduan dalam memilih sahabat demi kelangsungan hidup yang penuh ketenangan dan kebaikan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
19 Ramadan 1441 / 12 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -