Daging haram di 10 malam akhir Ramadan

- Advertisement -

SEPASANG suami isteri mempunyai anak perempuan, kemudiannya bercerai. Si suami begitu marah kepada isterinya, meninggalkannya bersama anak-anak yang tidak mengetahui apa-apa. Si isteri meneruskan hidup, begitu juga sang suami. Hampir puluhan tahun tidak berhubung. Sampai waktu, si anak disunting orang untuk dijadikan isteri.

- Advertisement -

Mahu tidak mahu, terpaksa mencari si ayah bagi menjadi wali. Berjumpa mereka dengan si ayah yang sudah berkeluarga lain, lalu memohon restu untuk pernikahan itu. Si ayah setuju dengan mewakilkannya kepada kadi. Berkahwinlah anak itu, tanpa kehadiran si ayah yang sudah tidak mahu bertemu dengan bekas isterinya. Takdir Allah, si suami kemudiannya meninggal dunia.

Anak dari ibu yang lain itu, menguruskan harta, tanpa memberikan hak kepada si kakak, kerana berfikir harta itu milik mutlak mereka. Hiduplah mereka dengan memakan harta yang ada sebahagiannya hak kakaknya itu. Tiba masa, si kakak pula meninggal, tanpa mempunyai anak. Diambil pula harta itu oleh si ibu dan suami, tanpa berkongsi dengan adik-beradik berlainan ibu tadi.

Dua beradik lelaki berkelahi besar. Hanya ada ibu, bapa, saudara perempuan dan mereka pula telah meninggal. Diwasiatkan oleh si adik, jika aku mati, aku berikan semua hartaku kepada anak saudara ku, anak kepada arwah kakak. Sungguh, dia mati. Tanpa meminta persetujuan waris tunggal yang masih hidup itu, anak saudara membolot semua dua pertiga lagi harta si mati kerana ‘wasiat’ itu tadi, termasuklah abang ipar si mati, suami kepada arwah kakaknya, yang langsung tiada talian darah, mendapat ‘wasiat’.

Seorang peniaga, mempunyai rangkaian kedai yang agak banyak. Perniagaannya berjalan dengan jayanya. Suatu ketika, keadaan iktisad menjadi goyang. Maka banyaklah perniagaan-perniagaan yang tewas dan terpaksa ditutup. Ia termasuklah juga perniagaan peniaga ini. Bagi menguatkan kembali perniagaan itu, pinjaman haruslah dibuat bagi menangani krisis.

Beliau memilih meminjam dari syarikat kewangan konvensional kerana bunga yang dikenakan adalah rendah berbanding dengan pinjaman secara Islam. Dia juga ada berhutang dengan kawan-kawannya yang lain. Kemudiannya perniagaan beliau bertahan dan seterusnya semakin maju dan maju, kembali ke landasan seperti asal. Dia merasa amat gembira kerana dapat bertahan dalam kegilaan amukan badai ekonomi itu. Dia berdisiplin membayar hutang bank riba tetapi ‘terlupa’ membayar hutang kawannya, nombor telefon sehinggakan berjumpa pun ‘terlupa’ nak bertegur sapa.

Satu keluarga menghadapi sedikit masalah bekalan makanan ketika wabak melanda. Keluarga yang lain pula menghadapi risiko kebuluran kerana keadaannya lebih teruk dan tiada sumber lain. Keluarga pertama mencari helah dengan membuat cerita mengenai kesusahannya kepada umum dan menekan pihak penyumbang untuk memberikan bekalan kepadanya.

Akhirnya bekalan bertukar tangan hasil dari kelicikannya bermain emosi bagi kepentingan dia dan keluarga, tanpa memperdulikan hak orang yang telah diambilnya itu. Mereka merasa sungguh puas kerana tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, sedangkan orang lain merana kerana bekalan tidak mencukupi bagi semua. Kesemua mereka yang disebutkan di atas ‘bersyukur’ dengan ‘nikmat’ yang Allah kurniakan. Bagi mereka itu adalah ‘keberkatan’ dalam hidup.

Cerita sebegini adalah antara secebis kisah benar yang melintasi hidup. Setelah 20 hari Ramadan berlalu, kini tibalah masanya untuk meraih kebaikan pada 10 malam terakhir. Semua yang disebutkan di atas amat teruja dan bersungguh-sungguh mahu mendapatkan sebanyaknya pahala disamping merebut kelebihan malam al-Qadar, mengikut apa yang Rasulullah sarankan.

Mereka berdoa bersungguh-sungguh, khusyuk, tawaduk, mengharapkan keredaan Allah, mencari keampunan-Nya, ikhlas, menangis dalam berdoa. Tetapi, apakah doa mereka diterima? Daging mereka tumbuh dari harta haram. Sedangkan Rasulullah memisalkan kejadian seorang musafir yang dalam keadaan kusut masai, berdoa di tengah padang pasir, tetapi baju, darah dagingnya dari sumber haram.

Bagaimanakah doa kita akan diterima? Walaupun pada 10 malam terakhir, dijanjikan berbagai keberkatan, keampunan, kerahmatan dan segala-galanya, namun yang meminta itu tidak mensucikan diri mereka dengan taubat, iaitu mengembalikan hak orang yang mereka ambil. Alhamdulillah jika Allah sedarkan mereka dengan membuka jalan kepada keinsafan.

Akan tetapi amat malang jika mereka kekal dalam kelemasan istidraj iaitu umpanan dari Allah kepada orang yang dibenci-Nya. Bila-bila masa, ia akan disentap dengan kasar, yang bakal membeliakkan mata bagi yang terkena azab tidak terperi sakitnya. Bukanlah yang menulis ini suci dari dosa, mungkin diri ini lebih jauh terperosok dalam lembah kehinaan. Namun, ia adalah satu nasihat, cerminan buat diri dan juga kepada semua yang membaca dan mahu mengambil ibrah.

Kita tenggelam dalam keegoan. Kejahilan kita menyebabkan kita berdosa. Dosa kita memberatkan tubuh kita untuk beramal. Amal kita yang sedikit itu pula, tidak diterima Allah. Tinggallah kita dengan angan-angan bahawa Allah akan menyediakan syurga buat kita, tanpa kita sedari, daging haram yang ada dalam tubuh badan kita, sebenarnya memandu kita ke neraka. Semoga kita mendapat ampunan Allah pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Amiin ya Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 12/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -