Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (52)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا

“Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.”

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا

“Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapati ia terbit berdekatan suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.”

كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا

“Demikianlah halnya. Sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.”

Ibrah akhir zaman

Ayat ini menggambarkan bagaimana Zulqarnain yang memiliki kekuasaan dunia melayan golongan yang tidak bertamadun seperti orang asal atau primitif yang hidup jauh dari masyarakat moden. Ternyata perbezaan tersebut tidak membuatkan mereka dilayan umpama manusia kelas rendah, sebaliknya sama sahaja dengan layanan terhadap raja di Barat.

Syeikh Imran Hosein mengaitkan dengan situasi hari ini di mana terdapat tanah-tanah penempatan kaum primitif yang tidak memiliki sumber kehidupan; kering-kontang dan tidak memiliki kemudahan asas, tetapi kaya dengan sumber galian yang memenuhi keperluan industri. Tambah beliau, perkataan (كَذَلِكَ) bermaksud Zulqarnain meninggalkan mereka tanpa sebarang gangguan.

Maka kita melihat apa yang dilakukan oleh penguasa dunia hari ini sangat berbeza dengan etika Zulqarnain. Bukan sahaja etnik primitif seperti Red Indian dan suku-suku Afrika, malah bangsa bertamadun seperti Melayu dan India turut dijajah atas tujuan memperkayakan sektor pengindustrian mereka. Selepas berjaya mencetuskan revolusi industri pertama, kuasa-kuasa Eropah melancarkan penjajahan dan penerokaan di seluruh dunia bagi mencari bahan mentah. Mereka langsung tidak menghormati hak penduduk asal dan menyerang mana-mana kuasa yang tidak memberikan kerjasama.

Bukan itu sahaja, mereka turut mempergunakan kaum primitif sebagai hamba di lombong-lombong dan tapak-tapak pembinaan. Mereka dilayan umpama binatang, diikat di tengkuk dan di kawal menggunakan cemeti. Fenomena ini persis sabda Rasulullah S.A.W:

يَكونُ في هذه الأُمَّةِ في آخِرِ الزَّمانِ رِجالٌ معهم أسْياطٌ كأنَّها أذنابُ البَقرِ، يَغدونَ في سَخَطِ اللهِ، ويَروحونَ في غَضَبِه

“Akan muncul di akhir zaman, kalangan umat ini para lelaki yang bersama mereka cemeti-cemeti umpama ekor-ekor lembu. Mereka keluar pagi dan peluang petang dalam kemurkaan Allah.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Namun konsep Islam tidak sebegitu. Selain daripada pengharaman kezaliman, Islam juga mengiktiraf kedudukan golongan pedalaman atau luar bandar ini. Ibn Khaldun menerangkan bahawa tidak akan wujud bandar tanpa perkampungan. Kampung membekalkan keperluan asas kepada bandar seperti makanan dan bahan mentah. Bandar pula memproses bahan tersebut bagi mengeluarkan produk hiliran yang bersifat melengkapi.

Maka walaupun penduduk kampung tidak berada di kawasan bandar, tetapi mereka berhak terhadap bandar juga. Segala ketetapan politik, ekonomi dan budaya di bandar perlu mengambil kira pandangan kampung. Kerana itulah Islam mengharamkan berjual beli di luar bandar (talaqqi rakban) dan beberapa hukum melibatkan muamalat antara penduduk bandar dan kampung. Kerana itu jugalah ijtihad politik kontemporari Tuan Guru Abdul Hadi tidak membenarkan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan diadakan di kalangan penduduk bandar sahaja.

Simbolik kezaliman dengan cemeti disebutkan lagi dalam sebuah Hadis yang disertakan dengan suatu lagi fenomena. Sabda Rasulullah S.A.W:

صِنْفانِ مِن أهْلِ النَّارِ لَمْ أرَهُما قَوْمٌ معهُمْ سِياطٌ كَأَذْنابِ البَقَرِ يَضْرِبُونَ بها النَّاسَ ونِساءٌ كاسِياتٌ عارِياتٌ مُمِيلاتٌ مائِلاتٌ رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ البُخْتِ المائِلَةِ لا يَدْخُلْنَ الجَنَّةَ ولا يَجِدْنَ رِيحَها وإنَّ رِيحَها لَيُوجَدُ مِن مَسِيرَةِ كَذا وكَذا

“Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang mana aku tidak sempat melihat mereka. (Pertama) golongan yang memegang cemeti seperti ekor lembu, digunakan untuk memukul manusia. (Kedua) perempuan berpakaian tetapi bertelanjang. Melenggang lenggok tubuh menggoda. Kepalanya umpama bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga, malah tidak dapat menghidu harumnya, walaupun baunya syurga itu dapat dihidu dari jauh.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Hadis ini turut menggambarkan, akhir zaman ini bukannya wanita tidak memiliki cukup kelengkapan untuk membuat pakaian, tetapi mereka sengaja tidak mencukupkannya sebagai fesyen. Berpakaian tetapi ketat dan terdedah seolah-olah tidak berpakaian.

Jika diharmonikan dengan ayat surah al-Kahfi, Hadis ini juga berkait dengannya. Intipati makna-makna (سِتْرًا) menunjukkan penilaian ketamadunan diukur melalui sejauh mana manusia itu memiliki kelengkapan untuk melindungi tubuh badan mereka daripada terdedah. Semakin diri mereka dapat dilindungi, semakin tinggilah ketamadunan itu.

Namun suasana akhir zaman seperti yang Rasulullah S.A.W nyatakan sekali lagi menunjukkan realiti berbeza. Manusia sudah rosak pertimbangan akal sehingga menilai pakaian dengan persepsi yang terbalik. Golongan yang bertudung litup dan menutup aurat dianggap terkebelakangan, tidak bersama arus kemodenan sedangkan yang mendedahkan sana sini dianggap mencapai ketamadunan yang tinggi.

Wabak hari ini cuba menyedarkan manusia bahawa penilaian mereka sudah terbalik. Hakikatnya menutup aurat bukan sekadar tuntutan beragama yang kosong atau menjadi lambang penghormatan semata-mata, malah ia juga satu bentuk penjagaan kesihatan. Virus COVID-19 menjadi tentera Allah dalam menyedarkan manusia keunggulan syariat Islam ini. Sut kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang terpaksa digunakan seluruh dunia untuk mencegah jangkitan kepada skuad barisan hadapan (frontliners) adalah tempelak Ilahi buat mereka yang memperlekeh syariatNya.

ALANG IBN SHUKRIMUN
19 Ramadan 1441
12 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -