Solat Jumaat: Tunggu perkenan Majlis Raja-Raja

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Muzakarah kebangsaan diadakan bagi membincangkan garis panduan pelaksanaan solat Jumaat sewaktu pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Marzuk Shaary berkata, menjadi keutamaan pihak kerajaan untuk menegakkan syiar Islam.

“Untuk menengakkan syiar Islam barangkali solat Jumaat yang akan dilakukan tidak jauh beza dengan solat fardhu pada hari itu iaitu solat fardhu Zohor cuma diubah kepada solat Jumaat, namun jemaah yang boleh bersolat amat terhad.

“Yang penting kita tegakkan syair Islam dan jika ada yang bertanya ada tak solat Jumaat dilakukan, kita boleh jawab ada,” katanya selepas menyampaikan bantuan bakul Ramadan peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini semalam.

Sebanyak 50 pek barangan dapur diserahkan kepada Yang Dipertua PIBG Sekolah Datuk Hashim 1, Dr Mohd Aziz Mohd Din.

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya berbincang di muzakarah kebangsaan pada Jumaat baru-baru ini yang melibatkan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Dato’ Dr Noor Hisham melalui teleconference.

Jelasnya, pada masa yang sama ia turut melibatkan pemegang taruh bersama mufti dan pihak berkuasa negeri-negeri.

Selain itu melibatkan pakar-pakar dalam bidang agama yang turut sama dijemput.

“Dalam perbincangan itu kita membuat kesimpulan setelah mendengar ulasan dan pandangan daripada pakar-pakar untuk kita membawa kesimpulan dan garis panduan kepada Majlis Raja-Raja untuk diteliti.

“Itu pun selepas dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), “ujarnya.

Menurutnya juga bidang kuasa bagi melaksanakan berkaitan agama tertakluk kepada raja atau sultan di negeri.

Marzuk memberitahu, tiada pengumuman boleh buat sebelum mendapat persetujuan dari Majlis Raja-Raja.

“Kita dah sediakan SOP yang sepatutnya dan kita jangkakan dalam minggu ini keputusan boleh diperolehi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -