PKP: Meninjau pekerjaan, perniagaan, pendidikan

- Advertisement -

PEKERJAAN, perniagaan dan pendidikan (3P) adalah tiga ‘kesan sampingan’ daripada COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

- Advertisement -

Pengangguran meningkat.

Jumlah penganggur pada bulan Mac 2020 meningkat 17% kepada 610,500 orang, menjadikan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9%.

Daripada jumlah tersebut, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3%. Manakala penganggur belia (15-30) tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9%.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran yang tinggi pada bulan Mac dipengaruhi oleh impak negatif PKP ke atas pasaran buruh.

Dianggarkan jumlah penduduk bekerja pada bulan Mac 2020 ialah 15.2 juta orang, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.8 juta orang adalah bekerja sendiri seperti peniaga/pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/ pasar malam/ katering/ freelancer) dan seumpamanya.

Mereka ini terdedah kepada risiko pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan semasa tempoh PKP kerana sebahagiannya tidak dapat bekerja.

Setakat ini, Bank Negara dan IMF mengunjurkan pengangguran pada kadar 4.0% dan 4.9% bagi tahun 2020, manakala semakan terkini MIER menjangkakan jumlah penganggur boleh mencecah 1.46 juta pada tahun ini, berbanding anggaran asal 2.4 juta sebelum Pakej PRIHATIN diumumkan oleh pihak Kerajaan.

Perniagaan merosot.

Dapatan survey khas Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati, sejumlah besar syarikat menghadapi cabaran dalam menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP ini.

Pembayaran gaji pekerja mendominisasi isu yang dihadapi oleh syarikat, dengan 76%, diikuti dengan ketiadaan pelanggan sebanyak 65%.

Melihat kepada kesan terhadap perniagaan, lebih separuh responden (53%) menyatakan hanya mampu bertahan 1 hingga 2 bulan sahaja sekiranya kemudahan cuti bergaji penuh/separuh gaji diberikan kepada pekerja semasa PKP.

Kajian juga mendapati 67% responden menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP, manakala 12% syarikat memperoleh pendapatan melalui jualan atas talian dan 9% daripada jualan di premis kedai.

Sebanyak 42% responden menganggarkan tempoh lebih daripada 6 bulan diperlukan bagi syarikat mereka untuk kembali pulih seperti biasa sekiranya COVID-19 berjaya dibendung. Manakala 28% responden menganggarkan tempoh 4-6 bulan diperlukan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, dua bantuan utama yang diperlukan oleh syarikat adalah bantuan kewangan / subsidi daripada Kerajaan (83%) dan pengurangan cukai syarikat (67%).

Pendidikan tergendala.

Paling dibimbangi adalah kesan PKP terhadap proses pembelajaran dan pengajaran.

Menurut Menteri Pendidikan, sesi persekolahan hanya akan dibuka selepas pihaknya yakin keadaan kembali pulih dengan pengumumannya akan dibuat dua minggu lebih awal.

Bagaimanapun pembukaan sekolah ketika ini hanya membabitkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara.

Kementerian Pendidikan juga sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP, dengan keutamaan terhadap aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuk amalan penjarakan sosial.

Sehingga kini, tiada sebarang pemakluman baharu berkaitan tempoh masa dan bagaimana sesi persekolahan akan dibuka kepada semua pelajar, walaupun tempoh PKPB telah dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Keupayaan Malaysia untuk melaksanakan sistem pembelajaran secara atas talian juga adalah terbatas, yang berdepan dengan akses internet dan pemilikan gajet yang rendah, serta suasana pembelajaran di rumah yang tidak kondusif samada di bandar mahupun di luar bandar.

Setakat ini beberapa negara telah membuka sesi persekolahan secara berperingkat, antaranya Taiwan, Vietnam, China, Jerman, Sweden, Denmark dan Norway, mengikut beberapa kaedah dan syarat yang berbeza.

Dendang perantau, tidak boleh balik kampung.
Dendang pelajar, cuti sekolah masih disambung.

SYAHIR SULAIMAN – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -