Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (51)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا

“Dia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.””

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا

“Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya. Kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.”

Ibrah akhir zaman

Dalam istilah hubungan Antarabangsa, sesebuah hegemoni dunia diletakkan dengan gelaran Pax. Ia berasal dari bahasa latin bermaksud keamanan (peace). Ini kerana mengikut falsafah politik, keamanan hanya akan dicapai jika terdapat kuasa unipolar yang mentadbir dengan satu sistem sahaja.

Namun semua itu indah khabar daripada rupa. Pax Romana yang pernah menguasai dunia dahulu gemar memerangi dan menindas Kerajaan kecil sekitar. Pax Britannica terkenal dengan Kolonialisme, menjajah tanah air dan menjajar sumber alam. Pax Americana hari ini pula sangat terkenal dengan jenayah perangnya dan campur tangannya di negara lain atas nama menjaga keamanan.

Ini berbeza dengan gambaran yang diberikan melalui dua ayat ini berkenaan sistem Pax-Islamica ataupun digelar oleh Syeikh Imran Hosein sebagai Pax-Qarnain. Kita boleh menggariskan beberapa prinsip pentadbiran Islam daripada dua ayat ini:

(1) Keterikatan dunia dan akhirat.

Menurut Ibn Khaldun, perbezaan utama antara sistem Khilafah dan Monarki adalah perspektif akhirat. Khilafah bermaksud sistem yang menggantikan sistem Nubuwwah tetapi wajib mengikut manhajnya iaitu mengikut syariat Islam yang menjaga maslahah dunia dan akhirat. Maka pada hakikatnya Khilafah adalah pengganti Rasulullah dalam memelihara agama dan menguruskan dunia dengannya. Manakala Monarki pula menguruskan dunia berdasarkan akal demi nafsu mereka.

Inilah prinsip yang ditunjukkan oleh Zulkarnain ketika menyatakan balasan terhadap orang zalim. Mereka akan diazab di dunia, sebelum diazab di akhirat. Menggambarkan keterikatan pentadbiran dunia dan akhirat. Tentu sekali berbeza dengan mana-mana sistem pemerintahan dunia yang berasaskan Materialisme dan Sekularisme.

(2) Pemisahan kuasa induk dan wilayah.

Zulkarnain merupakan pentadbir negara Media di Parsi. Walau bagaimanapun beliau keluar dari wilayahnya untuk memainkan peranan di Timur, Barat dan Utara. Walau bagaimanapun, Zulqarnain tidak berperanan sehingga ke tahap eksekutif dan administratif. Juga dilihat peranannya yang terhad di sesebuah kawasan.

Konsep khilafah Islamiah adalah melantik seorang pemimpin utama bergelar khalifah, kemudian melantik gabenor (wali) bagi setiap negara-negara di bawah pentadbiran khilafah. Setiap gabenor ini memiliki bidang kuasa tersendiri dan berbeza dengan bidang kuasa induk. Ia persis sistem Federalisme. Namun bezanya dengan sistem demokrasi Federalisme hari ini, khilafah boleh melantik dan memecat gabenor dengan kuasa mutlaknya.

(3) Mengiktiraf hak kedaulatan.

Negara yang tidak berlaku zalim, Zulqarnain membiarkan mereka terus mentadbir dengan mematuhi Undang-undang Antarabangsa yang umum (مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا). Ini juga bertepatan dengan prinsip Penentuan Nasib Sendiri (Self-Determination) yang diberikan oleh PBB kepada semua bangsa di dunia pra dekolonialisasi.

(4) Menjaga keamanan dunia.

Peranan khilafah Islam adalah menjaga keamanan dunia. Khilafah berkuasa untuk campur tangan dalam negara lain walaupun bukan di bawah kekuasaannya untuk menyelamatkan orang yang dizalimi (humanitarian intervention). Malah Dr Abdul Karim Zaidan menyatakan wajib bagi sesebuah negara Islam untuk menghapuskan kezaliman di negara lain sekiranya mereka mampu.

Ini bertepatan dengan falsafah politik Antarabangsa yang mendakwa dunia hanya akan aman di bawah satu kuasa unipolar. PBB mengiktiraf prinsip ini yang diistilahkan sebagai tanggungjawab untuk melindungi (responsibility to protect).

(5) Keutamaan terhadap ilmu.

Menurut pandangan Imam Mujahid, Zulqarnain akan mengajarkan ilmu-ilmu ketaatan terhadap Allah kepada negara di bawah naungannya. Menunjukkan khilafah Islam menitikberatkan soal pendidikan dan kemajuan ilmu. Inilah yang kita boleh lihat dalam sejarah kegemilangan Islam. Munculnya ilmu-ilmu astronomi, biologi, sosiologi, geografi, zoologi dan sebagainya daripada penemuan-penemuan Islam di zaman tersebut. Sehingga kini ia menjadi asas kepada tamadun moden.

(6) Kepelbagaian tamadun.

Kuasa yang Zulqarnain gunakan hanyalah dalam menghalang kezaliman daripada berlaku. Ia tidak sampai ke tahap menjadikan negara di bawah naungannya tunduk di bawah satu tamadun. Hal ini berbeza dengan Pax-Americana hari ini yang memaksa dunia mengikut satu tamadun sahaja iaitu tamadun Barat melalui agenda globalisasi.

Mengikut sejarah Islam, setiap tamadun dipelihara sebaiknya kerana Islam percaya setiap bangsa memiliki kelebihan tersendiri. Islam juga percaya integrasi antara tamadun perlu berlaku supaya meningkatkan lagi kemampuan manusia dari sudut teknologi inovasi. Lakaran Jam Gajah oleh Imam al-Jazari menggambarkan integrasi tamadun menjadi prinsip dalam peradaban Islam. Di sebalik kecanggihan mekanikal, jam tersebut juga adalah simbolik kepada tamadun India (gajah), China (naga), Greek (sistem hidro), Mesir (burung Phoenix), dan Arab (manusia berserban).

(7) Keadilan dan ketegasan melalui balasan.

Corak pentadbiran yang ditunjukkan oleh Zulqarnain adalah pentadbiran yang mendidik dan memotivasi. Negara-negara yang menghasilkan kebaikan diberikan ganjaran manakala negara yang berbuat salah akan dihukum. Sikap ini bukan sahaja akan membuatkan keamanan tertegak kerana negara-negara takut untuk melakukan kezaliman, bahkan kemakmuran juga akan terhasil kerana masyarakat akan berlumba meningkatkan kualiti dan produktiviti bagi memperoleh ganjaran daripada khilafah.

Maka umat Islam perlu meyakini dan meyakinkan dunia bahawa keamanan dan kemakmuran dunia hanya akan dapat dicapai di bawah pentadbiran Islam. Inilah yang disebutkan oleh Allah S.W.T:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

“Negeri yang baik (aman dan makmur) dan Tuhan yang Maha Pengampun.”

[Saba’: 15]

ALANG IBN SHUKRIMUN
18 Ramadan 1441
11 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -