Kita perlukan ‘New Normal’ dalam melayani fitnah

- Advertisement -

KETIKA Nabi Musa menentang Firaun, baginda terpaksa menghadapi berbagai kejahatan lawannya yang diukirkan nama mereka dalam al-Quran sebagai manusia terburuk. Sehingga dikatakan syaitan juga terkejut dengan penabalan diri Firaun sebagai tuhan. Mahu sahaja dia mendirikan bangunan yang tinggi kerana ingin berjumpa sendiri Allah, tuhan Musa.

- Advertisement -

Antara lain taktik Firaun ialah melalui Qarun, iaitu menyuruh seorang perempuan lacur, melakonkan watak sebagai mangsa kerakusan seks oleh Nabi Musa. Namun apabila mahu sahaja diisytiharkan oleh pelacur itu akan perilaku Musa A.S, tiba-tiba Allah menurunkan bantuan-Nya dengan menggagalkan usaha itu. Pelacur itu menukar pengakuannya, menjadikan Musa tidak bersalah.

Maryam, wanita suci, anak kepada Imran, diusir dari biara oleh penduduk kerana dituduh berzina, apabila mengandungkan Isa A.S tanpa suami. Nabi Zakaria juga terkena percikan fitnah kerana baginda yang diamanahkan menjaga Maryam. Keluarlah Maryam mencari tempat bagi melahirkan Isa A.S. Dengan susah payahnya Mariam melahirkan Isa yang dikasihi Allah itu.

Walaupun Isa A.S dapat berkata-kata semenjak dari bayi lagi, bagi menafikan kelahirannya ke dunia itu adalah secara haram, namun tetap sahaja Bani Israel memanggil beliau sebagai anak tidak sah taraf, mengikut bahasa sekarang. Kekallah fitnah itu bersama Bani Israel. Malah dikejar dan diburu pula baginda untuk dibunuh.

Namun harus diingat bahawa, hanya ada satu sahaja Maryam yang diterima Allah melahirkan anak tanpa suami. Adapun ‘Maryam-Maryam celup’ yang ada sekarang juga melahirkan anak tanpa suami sah, kemudian sama ada dibuang atau dibela, tidaklah dikira sebagai wanita suci.

Nabi Luth juga menerima kecaman kerana difitnah menyimpan laki-laki ‘jambu’ tanpa dijemput penduduk negeri Sadum bagi dinikmati bersama. Fitnah itu datang dari isterinya sendiri, setelah melihat Luth menerima dua tetamu yang kacak. Maka berkerumunlah orang banyak di rumah Luth, menuntut untuk turut sama berkongsi. Mungkin rakyat Sadum ketika itu sudah mengamalkan konsep ‘sharing is caring’.

Fitnah ifk yang terkenal itu, ditakdirkan Allah mengenai isteri kesayangan Rasulullah S.A.W, iaitu Aisyah binti Abu Bakar. Ketika Rasulullah hebat menentang perzinaan, fitnah zina itu hadir kepada insan yang terdekat dengan baginda. Ia sukar untuk diterangkan, tiada bukti untuk menyelamatkan diri. Hanya mereka berdua di tempat kejadian. Bagaimana mungkin dilepaskan peluang berseronok itu, tuduh golongan munafik.

Maka tertawalah kaum munafik dengan girang akan kejayaan mengaibkan sosok yang paling dibenci mereka itu. Rasulullah dan semua yang beriman, terdiam bersedih dengan fitnah dan ujian ini. Apa yang terlintas di dalam kepala sang munafik, itulah yang disebut dan diulang-ulang supaya jika ada manusia yang hatinya ragu, akan menyetujui kata-kata mereka.

Mereka berkata sesuka hati mereka. Mereka mereka-reka ayat bagi menyedapkan cerita mereka, sedangkan yang ada pada tempat dan waktu kejadian hanyalah Aisyah, Safwan dan Allah sahaja. Tetapi kritikan-kritikan mereka membakar lagi perasaan supaya turut sama dengan mereka membunuh jiwa-jiwa suci tanpa belas. Akhirnya Allah menyucikan Aisyah dengan menurunkan wahyu dan menghina munafik.

Rupanya perangai, cara dan keadaan munafik itu saling tak tumpah dengan sebahagian netizen yang jahil dan jahat sekarang. Mereka menaip komen, mengikut apa yang mereka rasa. Mereka merasakan mereka menang apabila menyerang seseorang atau sesuatu isu itu secara beramai-ramai. Ramai maknanya betul. Lawan senyap tak mampu menangkis, tandanya salah. Itulah sifir mereka.

Apa sahaja isu, mereka akan masuk berkomentar, tanpa tahu apa asas sebenar. Tidak kurang yang memaki hamun, tidak sedikit juga yang menggunakan agama secara salah, kemudiannya menghina dan mengutuk lawannya menggunakan ‘dalil-dalil’ batil yang diceduk entah dari mana. Kepuasan mereka apabila melihat lawan tidak berdaya menentang kerana ramainya ‘tentera-tentera bawang’ yang bergabung menyerang.

Jika ada cerita sedih mengenai wanita yang kelihatan seperti menjadi mangsa rumahtangga, cukup, si suami atau sesiapa yang terlibat dengan drama itu, tidak perlu memberikan penjelasan kerana kesedihan lakonan itu sudah meresap ke dalam jiwa mereka. Lantas, satu gerakan dari ketumbukan askar akan memulakan serangan mereka, bagi ‘menuntut’ bela terhadap wanita yang kononnya menjadi mangsa itu.

Teringat saya akan satu kisah, ketika banjir melanda Kuala Krai Disember 2014 lalu. Satu cerita sedih berkenaan ‘seorang ibu’ yang terpaksa ‘menghanyutkan bayinya’ yang meninggal kerana tiada sampainya bantuan oleh Kerajaan Negeri. Maka makian segera merebak mengutuk kerajaan kerana tidak cakna akan kesusahan rakyatnya. Begitu bersemangat mereka mengalunkan fitnah kepada pihak kerajaan.

Kebebalan mereka itu jelas kerana langsung tidak memikirkan yang jika si ibu mempunyai data dan talian internet bagi mengarangkan cerita ketika itu, kenapa tidak sahaja dia meminta bantuan, berikan lokasi keberadaannya. Sehingga banjir surut, tiada satupun report diterima bagi kematian itu.

Tidak hanya netizen biasa, tetapi ahli PAS juga turut bersedih dan marah akan Kerajaan Negeri. Tapi fitnah tinggal fitnah. Kita menjadi pembantu mereka menyebarkan fitnah.

Tidak lupa juga terhadap fitnah RM90 juta yang terkenal itu dahulu. Bukan sahaja lawan yang galak menyerang, ahli PAS sendiri pun mempersoalkan integriti kepimpinan PAS. Konon bukti sudah jelas. Kemungkinan PH akan menang semula PRU jika diadakan amatlah tinggi dengan melihat sikap orang kita ini, yang amat gemar percaya kepada hantaran-hantaran fitnah dan merasakan semua tuduhan itu mesti dijawab. Kalau salah, sila saman. Semudah itu kiraan mereka berkenaan kebenaran.

Kesemua fitnah yang melanda para anbia itu diselamatkan Allah atas kesabaran mereka. Mereka semua insan terpilih, jadi bantuan Allah amat hampir. Kita mungkin tidak diberikan keistimewaan sebegitu, tetapi yang perlu kita tahu, jika bersabar atas fitnah-fitnah ini, maka ganjaran yang menanti, amat besar sekali.

Sekarang, kelihatannya fitnah semakin galak ditabur, apatah lagi kerana kini di Facebook telah mempunyai Jabatan Netizen. Apa sahaja yang mereka rasakan betul, walaupun salah, mereka akan serang atau pertahankan. Sungguh kata Rasulullah, akhir zaman, akan ada segolongan manusia yang sesat dan menyesatkan. Golongan itu digelar ‘ruwaibidhoh’. Adakah anda penyokong ‘ruwaibidhoh’?

Atau anda adalah yang mempertahankan kebenaran? Janganlah anda menjadi salah satu dari punca fitnah itu. Selamatkan diri kita dari terlibat dengan fitnah dengan menahan jari atau mulut untuk menaip dan menuturkan sesuatu yang tidak kita ketahui. Ia adalah ‘new normal’ untuk kita. Mungkin agak kekok pada permulaan, tapi insya-Allah akan menjadi biasa nanti. Elok dimulakan segera pada bulan yang mulia ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 10/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -