COVID-19: Pendekatan kerajaan bawa impak positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes baharu positif Covid-19 susulan pendekatan tertumpu yang agresif dan proaktif oleh kerajaan yang telah menunjukkan keberkesanan yang positif.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terkini peningkatan kes baharu positif Covid-19 daripada warga asing serta kes yang dikesan telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Hasil pendekatan ini kata Dr Noor Hisham telah menunjukkan impak yang positif dalam mengesan dan mengenal pasti lebih banyak kes Covid-19.

Sehingga 10 Mei 2020, KKM telah mengenal pasti beberapa kumpulan sasar.

- Advertisement -

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 67 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan.

Katanya, 49 kes daripada jumlah kes baharu positif Covid-19 adalah dari kalangan warga asing.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,656 kes manakala tiada kematian direkodkan pada hari ini iaitu kekal dengan jumlah 108 kematian dan jumlah kumulatif kes aktif Covid-19 seramai 1,524 kes.

Seramai 18 pesakit Covid-19 sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Seramai 96 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 5,025 kes.

Walaubagaimanapun, Dr Noor Hisham mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mempunyai disiplin tinggi dalam menjaga kawal kendiri iaitu sentiasa menjaga jarak satu meter dan keluar rumah apabila ada keperluan.- HARAKAHDAILY 10/5/2020

- Advertisement -