Solat berjemaah, Jumaat belum diputuskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa pelaksanaan solat berjemaah dan Jumaat masih belum diputuskan lagi, akan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan.

Katanya, perkara ini melibatkan keputusan besar yang melibatkan isu agama dan beberapa isu lain yang berkaitan.

- Advertisement -

Selain itu, jelasnya ia juga akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah pun membentangkan perkara ini pada mesyuarat pagi tadi.

“Oleh kerana keputusan ini membabitkan keputusan besar, melibatkan isu agama, jadi kita membuat keputusan untuk merujuk kepada Jawatankuasa Khas MKN.

“Selepas itu akan dibawa pula ke mesyuarat Kabinet. Jadi kita tunggulah selepas mesyuarat Kabinet buat keputusan. Insya-Allah akan diumun oleh Menteri Agama nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.- HARAKAHDAILY 9/5/2020

- Advertisement -