Takziah keluarga Almarhum Ismail Kamus – Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Dato’ Ustaz Ismail Kamus berikutan pemergian beliau ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi tadi.

- Advertisement -

“Rasa sedih menyelubungi suasana tengah malam ini di bulan Ramadan al-Mubarak, tatkala mendapat perkhabaran pemergian Ustaz Dato’ Ismail Kamus ke rahmatullah.

Tuan Guru Abdul Hadi mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak murid almarhum serta mengharapkan semoga sabar dan redha atas ujian ini.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” kata beliau dalam ucapan takziahnya pada pagi ini.

Ziarah Almarhum Ustaz Ismail Kamus

Tuan Guru Abdul Hadi juga telah menziarahi almarhum Ustaz Ismail Kamus buat kali terakhir di kediamannya pagi ini.

Ustaz Ismail Kamus dilahirkan pada 2 Disember 1948 di kampung Batang Rening, Ulu Selangor, dalam keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran Islam.

Almarhum juga mendapat pendidikan menengah agama di Ma’ahad Hisyamuddin, Klang.

Beliau juga mendapat sentuhan didikan ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan kemudiannya mendapat pendidikan tinggi di UKM Bangi di Fakulti Pengajian Islam.

Pada tahun 1976, beliau menamatkan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga pernah menuntut ilmu di Beaver College Pennsylvenia, Amerika Syarikat.

Selain dikenali sebagai panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang menjadi fenomena, Ustaz Ismail juga adalah Pengasas dan Penasihat Pusat Perubatan Darussalam di Gombak, dan melahirkan ribuan murid dalam pengubatan Islam.

Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia mewakili PAS pada tahun 1999 hingga 2004 selepas menang pada Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Tokoh pendakwah ini juga pernah menjawat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor serta Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -