Perginya jasad ulamak, berpanjanganlah pahalanya

- Advertisement -

JASAD telah dikebumi, teladan yang terus dicontohi

Setelah kematian para ulamak, tiada lagi kelihatan jasad mereka ke hulur hilir dalam berdakwah, menyampaikan ilmu dan berjuang di medan. Namun, imej dan aura ulamak tidak akan lenyap dengan kematian mereka.

Jasa mereka pasti diingati malah segar dalam pemikiran ummah akan gerak geri sosok tubuh yang namanya ulamak. Walaupun tanpa jasad, mereka tetap ‘hidup’ dalam kalangan masyarakat.

Mereka tidak kekal kerana itu lumrah makhluk yang dicipta oleh Allah yang Maha Kekal. Namun Allah kurniakan mereka pahala berpanjangan sehingga hari kiamat. Antaranya ialah menerusi teladan mereka yang dituruti oleh anak murid, masyarakat dan ummah.

- Advertisement -

Tidak pelik jika usia hidup mereka singkat namun usia pahala lebih panjang sebagaimana Imam al-Syafi’i dan Imam al-Nawawi. Walaupun usia mereka tidak mencecah 55 tahun namun usia pahala mereka mencecah ratusan malah mungkin ribuan tahun.

Teladan para ulamak pastinya mencerminkan akhlak yang mulia, keperibadian yang baik dan mujahadah yang dipuji. Ulamak berkata tidak hanya pada lisan tetapi menerusi teladan. Berkata dan melakukannya. Ini menjadikan teladan yang barakah.

Jarir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Barangsiapa yang membuat contoh yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang mencontohkan contoh jelek dalam Islam, maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi dosa-dosa mereka.”

(Riwayat Ibn Majah)

Denyutan telah berhenti, ilmu terus mengalir

Ulamak adalah pewaris Nabi. Mereka menyambung tugasan perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyeru manusia kepada jalan kebenaran dan mendidik ummah untuk mengamalkan cara hidup Islam.

Ulamak mengajak manusia kepada panduan wahyu, mencantikkan adat dan rutin kehidupan yang bersulamkan syariat, mempasak pemikiran dengan ikatan aqidah serta memperhiaskan tingkah laku dengan kemurnian tasawuf.

Ulamak sinonim dengan ilmu. Kalimah bahasa Arab perkataan ulamak dari terbitan perkataan ilmu. Ulamak merujuk mereka yang berilmu secara asasnya di samping beberapa sifat khusus sebagaimana jika dibaca dari beberapa ayat al-Quran dan Hadis Nabawi.

Sama ada ilmu para ulamak tersebut mengalir menerusi ceramah kuliah, penulisan kitab dan juga rakaman video, kesemuanya secara zahir menunjukkan ilmu mereka terus mengalir. Pandangan mereka menjadi perbahasan dalam merungkai persoalan baru dan semasa.

Ijtihad mereka diteladani. Yang menepati faktor kepada punca permasalahan diambil, yang tidak bersesuaian dengan punca semasa ijtihad mereka dihormati malah tidak pun tertolak. Ini kaedah fiqh menyatakan bahawa sesuatu ijtihad tidak tertolak dengan ijtihad lain yang baharu.

Malah ilmu yang terus mengalir itu menjadi sumber pahala mereka yang tidak putus. Segala amalan anak Adam waktu hidup akan terputus apabila meninggal, namun ilmu yang dimanfaatkan sama sekali terus mengalir. Selagimana ada yang mengamalkan dan menyebarkan serta dibincangkan maka ia terus mengalir.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

“Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali kerana tiga hal iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”


(Riwayat Muslim)

Tanpa bayang, kewujudan yang terus dirasai

Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah memberikan tazkirah bahawa manusia itu ada 3 macam iaitu:

(1) Hidup dirasai, perginya ditangisi. Ini jalan orang baik.

(2) Hidup dirasai, perginya disorak gembira. Ini jalan orang jahat zalim.

(3) Hidup tidak dirasai, perginya tiada apa-apa. Ini orang yang bersendiri dan tidak menyumbang untuk agama dan ummah.

Maka para ulamak adalah antara jenis manusia yang pertama. Sewaktu hidup, mereka berkorban untuk ummah. Berbakti kepada agama dan memimpin masyarakat. Hidupnya dirasai. Ummah mengenali dengan mendekati. Watak ulamak sedemikian, begitu dan begini. Walaupun tidak sama pada kerenah kemanusiaan namun sama pada imej ulamak itu iaitu berdakwah, berjuang, memimpin ummah dan menyampaikan ilmu.

Perginya mereka ditangisi kerana sedihnya ummah dan hibanya kehidupan tanpa sinaran ilmu dan kerahan mujahadah dari penangan mereka. Pemergian mereka tiada atau sukar dicari ganti.

Daripada Abu Darda’ berkata:

موتُ العالمِ مصيبةٌ لا تجبرُ، وثُلمةٌ لا تُسدُّ، ونَجمٌ طُمِسَ، موتُ قبيلةٍ أيسرُ من موتِ عالمٍ

“Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih ringan daripada mati seorang alim.”

(Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid)

Sedekahkan al-Fatihah buat para ulamak yang telah pergi meninggalkan kita semua menghadap Allah A.W. Semoga ditempatkan mereka di kedudukan yang tinggi di sisi-Nya.

Al-Fatihah khususnya kepada Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus yang telah meninggal dunia pada 12:30 pagi hari ini, 8 Mei, Jumaat, bulan Ramadan 1441H / 2020M.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -