Kepelbagaian produk liabiliti

- Advertisement -

KALAU saya masih kekal sebagai pensyarah, tentu tajuk tulisan saya ialah Kepelbagaian Produk Perbankan. Malangnya tulisan sebegitu tidak membantu pun masalah kewangan anda di musim PKP ini. Demi membantu anda lebih celik kewangan, saya memilih tajuk Kepelbagaian Produk Liabiliti.

Sembang kita masih belum habis mengenai liabiliti (hutang). Dalam tulisan lepas, saya sebut liabiliti umpama lampu ajaib Aladdin. Gosok saja lampu ajaib, hajat Aladdin akan tertunai. Macam itu jugalah anda. Asalkan ada slip gaji atau bukti pendapatan, bank akan berikan anda ‘lampu ajaib’ dan hajat anda akan tertunai.

- Advertisement -

Hidup tanpa liabiliti?

Saya tahu ada orang alergi dengan istilah hutang. Seboleh-bolehnya dia tak mahu ada hutang. Hutang yang ada pun akan dilangsaikan secepat mungkin. Saya hormat pendirian itu sekali pun ia bukan strategi kewangan yang saya praktik.

Benar, hutang termasuk dalam liabiliti. Tetapi liabiliti bukan semestinya hutang. Cuma setakat ini saya hadkan liabiliti bermaksud hutang supaya anda mudah hadam topik perbincangan.

Hidup mungkin sempurna tanpa hutang. Tetapi hidup tidak akan sempurna tanpa liabiliti. Sebab itu saya ilustrasikan ‘akaun bajet’ menggunakan perkataan ‘liabiliti’ bukannya ‘hutang’. ‘Akaun bajet’ kali ini juga berbentuk jingsaw puzzle. Sengaja saya lompongkan kepingan jingga untuk menunjukkan ketidaksempurnaan ‘akaun bajet’ tanpa liabiliti.

Apa hajat anda?

Suatu hari saya bertanya pelajar saya, ‘apa bisnes bank?’. Mereka diam tanpa jawapan. Saya jawab, ‘bisnes bank ialah duit’. Cuma dari sudut promosinya, bank pandai mempelbagaikan ‘produk’ mereka.

Barangkali anda sudah ada macam-macam perancangan untuk membeli itu dan ini tetapi anda tidak ada duit. Jadi bank tawarkan duit supaya anda boleh membeli itu dan ini.

Barangkali anda mahu melancong tetapi anda tidak ada duit. Jadi bank tawarkan ‘bayaran awal’ untuk segala kemudahan supaya anda boleh menikmati pelancongan itu.

Barangkali anda mahu sebuah kereta baru tetapi anda tidak ada duit. Jadi bank tawarkan ‘bayaran ansuran’ supaya anda boleh memandu pulang kereta baru itu.

Apa pun hajat anda, semua situasi itu sebenarnya menambah liabiliti anda. Jangan lupa, setiap kali liabiliti bertambah bermakna duit keluar juga bertambah. Sama ada keluar sekali atau keluar berkali-kali (ansuran).

Bermain jingsaw puzzle kewangan

Setiap kali anda membuat liabiliti, anda sebenarnya meletak 1 jingsaw puzzle jingga pada ‘akaun bajet’. Jangan lupa, anda juga sebenarnya menambah 1 lagi jingsaw puzzle merah. Jika jingsaw puzzle biru kekal 1, maksudnya duit keluar lebih banyak dari duit masuk.

Lalu kita akan tengok macam-macam strategi yang orang buat. Ada yang buat kerja part time untuk tambah jingsaw puzzle biru. Ada orang tambah jingsaw puzzle jingga yang baru untuk tutup jingsaw puzzle jingga yang lama. Ayat mudahnya, korek lubang kambus lubang.

Kalau pun jingsaw puzzle biru lebih banyak berbanding jingsaw puzzle jingga, anda tetap perlu bayar ansuran bulanan hingga selesai hutang.

Sebagaimana saya sebut dalam tulisan yang lepas, bahagian bawah ‘akaun bajet’ ialah bahagian yang paling kritikal. Ia bakal menentukan masa depan kewangan saudara. Ini kerana bayaran ansuran yang berpunca daripada liabiliti memakan masa bertahun-tahun.

Saya tidak mahu sentuh soal kerosakan sistem kewangan hari ini atau perbahasan ‘back door riba’ hingga menyebabkan fenomena berhutang ini berlaku. Sebab itu di luar fokus dan kawalan saya. Nasihat saya, kawal apa yang ada di tangan. Nanti anda mampu kawal apa yang bukan dalam tangan.

Seperkara lagi, sila pastikan liabiliti anda ialah liabiliti yang halal. Bukan liabiliti bank konvensional. Bukan Ah Long. Sila rujuk pakar fiqh muamalat untuk tentukan status liabiliti anda. Liabiliti yang haram hanya menambah masalah. Bukan menyelesaikan masalah.

Seni berurusan dengan bank

Di penghujung tulisan, suka saya kongsikan dua seni berurusan dengan bank:

(i) Bank bukan badan kebajikan. Bank ialah syarikat yang mahu untung. Anda berurusan atas nama duit bukan atas nama simpati. Walaupun ia perbankan Islam, duit tetap duit. Bayar tetap bayar.

(ii) Bank suka pelanggan yang aliran tunainya bagus. Kalau anda mahu langsaikan hutang, baiki aliran tunai. Kalau anda mahu tambah hutang, baiki aliran tunai. Aliran tunai ialah kata kuncinya.

Apabila Kerajaan mengarahkan bank supaya berhenti mengutip bayaran beberapa ansuran liabiliti (hutang), terus saya teringat ayat di bawah. Perhatikan maksud bagi perkataan yang terakhir. Aliran tunai juga ialah kata kuncinya:

وَاِنْ كَانَ ذُوْ عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ اِلٰى مَيْسَرَةٍ ۗ

“Jika (orang yang berhutang) dalam kesempitan, berilah tangguh sampai suatu waktu yang lapang (maisarah).”

(al-Taubah: 98)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 8/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -