Kehilangan besar buat negara – Ustazah Nuridah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ustazah Nuridah Mohd Salleh menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal, Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus yang menghembuskan nafas kira-kira jam 12.30 pagi tadi.

- Advertisement -

Nuridah berkata, pemergian almarhum adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di negara ini yang sepanjang hayatnya aktif melakukan kerja-kerja dakwah dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang dikasihi Allah dan mudahan kita sentiasa mengingati serta mencontohi segala pesanan dan aktiviti keagamaannya yang sangat terserlah,” katanya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Dalam pada itu, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menzahirkan takziah kepada keluarga almarhum.

Beliau turut hadir ke kediaman almarhum Tuan Guru Ismail bagi memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Sedih dengan kehilangan – Menteri JPM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkongsi rasa sedih dan kehilangan atas pemergian almarhum.

“Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80an dan 90an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya.

“Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiap kali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Hal Ehwal Islam) di TV1.

“Celotehnya yang bersahaja disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut,” tulis Zulkifli di Facebooknya pagi tadi.

Ujar Zulkifli, kali terakhir beliau bertemu dengan almarhum adalah pada 17 Disember tahun lepas untuk makan malam bersama.

“Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut,” tulisnya lagi disusuli dengan doa dan ucapan takziah kepada keluarga almarhum.

Almarhum yang berusia 71 tahun merupakan veteran PAS telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada 26 April disebabkan kesihatannya yang merosot.

Jenazah almarhum dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan As-Sobirin selepas disolatkan di Masjid As-Sobirin. – HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -