Jenazah TG Ismail Kamus selesai dikebumikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jenazah Almarhum Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Keramat, jam 11 pagi, hari ini.

- Advertisement -

Almarhum yang banyak berjasa dalam dunia dakwah di Malaysia dan negara serantau menghembuskan nafas terakhir beliau pada jam 12.30 tengah pagi tadi di kediaman beliau.

Ramai orang berkerumun untuk menghantar beliau pergi di Masjid Assobirin, AU5 Keramat dan solat jenazah dilakukan secara bergilir-gilir dengan mengikuti panduan dan penjarakan sosial.

Turut mengimamkan solat jenazah iaitu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang menemani Almarhum sejak semalam lagi dan berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, belia secara peribadi mempunyai banyak pengalaman bersama Almarhum selain memohon maaf kepada semua pihak bagi pihak Almarhum.

Tambah Dato’ Tuan, ini satu kehilangan besar buat umat sejagat dan beliau yakin, Tuan Guru Ismail Kamus meninggalkan ketiga-ketiga perkara untuk bekalan di alam selepas ini, iaitu anak-anak yang soleh dan solehah, sedekah amal jariah dan ilmu yang bermanfaat.

“Sebagai hamba Allah, beliau pergi pada malam jumaat dan ketika bulan Ramadan, mudah-mudahan Allah tempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba Allah yang soleh.

“Kepada rakan-rakan yang tidak sempat datang musim PKP ini kita minta supaya mereka mendirikan solat ghaib di tempat masing-masing. Apa yang penting, doa kita dimanapun sampai,” ujarnya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum.

Turut kelihatan sebentar tadi adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan juga Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad.

“Saya yakin ramai anak murid beliau yang mendoakan kesihatan beliau, hari ini kita terpaksa mengiktikad tidak boleh ramai hadir solat,” ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Sementara itu, Kamaruzaman Mohamad turut tidak melepaskan peluang mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tuan Guru Ismail Kamus.

Menurut beliau, sumbangan Almarhum kepada PAS sendiri sangat banyak dan kami sangat menghargai sumbangan yang beliau berikan.

Jelasnya, sumbangan Almarhum Ismail Kamus yang paling besar adalah mewarnakan urusan dakwah di Malaysia ini dengan begitu lama.

Malah, beliau menghabiskan hampir seluruh hidup beliau untuk menyebarkan kerja kerja dakwah baik di Malaysia dan juga negara-negara lain. – HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -