Covid-19: 88 sembuh, 68 kes baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 88 kes telah pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj adalah sebanyak 4,864 kes iaitu bersamaan 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

- Advertisement -

Manakala kes positif yang dilaporkan pada hari ini adalah sebanyak 68 kes, melibatkan 57 kes adalah di kalangan bukan warganegara, ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes di negara ini.

Selain itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehanjangkitan Covid-19 adalah 1,564 kes, mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 4 adalah kes import warganegara yang pulang dari luar negara iaitu tiga daripada United Kingdom dan satu daripada Amerika Syarikat.

“Ini bermakna kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes, dimana sebanyak 3 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini seramai 18 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 7 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turt memaklumkan tiada kes kematian yang dilaporkan dan menjadikan keseluruhan kes kematian di negara ini kekal sebanyak 107 kes iaitu bersamaan dengan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -