Tindak luar biasa ekonomi era COVID-19

covid-19
- Advertisement -

COVID-19 mendorong kita untuk mengubah kebiasaan sosialisasi dengan mempratikkan norma baru dalam kehidupan bermasyarakat. Kita terpaksa meninggalkan banyak amalan atau tradisi lama bagi menyesuaikan keadaan hari ini dengan cara hidup dan budaya kita. Walaupun menjaga jarak sosial, adab dan nilai ketimuran tetap menjadi tunjang dalam kehidupan bermasyarakat.

Kesan COVID-19 tidak hanya mengubah cara kita bersosial, ia juga mengubah amalan-amalan kebiasaan dalam urusan jual beli dan ekonomi. Dalam terpaksa, amalan kebiasaan ekonomi masyarakat yang dahulunya banyak dilakukan secara bersemuka kini terpaksa diubah secara sepenuhnya kepada di atas talian. Untuk kekal lestari dan bersaing, peniaga wajib melaksanakan urusan perniagaan di atas talian dan tidak lagi mengharapkan urusan jual beli secara tradisi semata-mata.

- Advertisement -

Namun, walaupun hanya bersemuka secara maya, peniaga wajib mengekalkan aktiviti ekonomi yang berintegriti, jujur dan lebih bersifat ihsan dan tidak hanya meletakkan matlamat keuntungan semata-mata untuk kekal bersaing sepertimana yang dinyatakan oleh Moulaert dan Ailenei, (2005):

“Ekonomi tidak terhad kepada pasaran, tetapi merangkumi prinsip pengagihan semula dan timbal balik.”

Nilai-nilai ini perlu dikekalkan walaupun medium pelaksanaan ekonomi itu berubah. Falsafah sistem ekonomi Malaysia yang bertunjangkan sistem Kapitalis perlu diubah kepada konsep falsafah ekonomi yang lebih bertanggungjawab dan sejahtera.

Seruan dan saranan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam isu pemberian moratorium kepada pelanggan perbankkan di Malaysia adalah satu saranan yang bertepatan dengan konsep falsafah ekonomi yang sejahtera. Institusi kewangan wajib menyahut seruan ini terutamanya apabila kita berada di era COVID-19. Semua lapisan masyarakat terkesan dengan musibah ini.

COVID-19 bukanlah suatu musibah yang biasa. Ia adalah musibah yang luar biasa yang memerlukan kita bertindak di luar kebiasaan norma. Untuk itu, institusi kewangan di Malaysia perlu menunjukkan solidariti mereka dengan melaksanakan amalan di luar kebiasaan sistem sedia ada sepertimana saranan Menteri Kewangan Malaysia tersebut. Akhir kalam, COVID-19 ini memerlukan kita bertindak secara kolektif untuk kita membangunkan semula Malaysia yang lebih sejahtera.

NUR ATIKA ATAN
Calon PhD, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM
Master Kewangan Pengguna, UPM – HARAKAHDAILY 7/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -