Pakej PRIHATIN: Kerajaan cakna, rakyat positif

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sifat bertanggungjawab dan prihatin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi cabaran suasana COVID-19, insentif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan pada 27 Mac lalu bagai bulan jatuh ke riba. Ia mendapat respon balas yang sangat positif daripada rakyat.

Dapatan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2), 98 peratus rakyat Malaysia menyatakan berpuas hati dan memperoleh manfaat daripada pakej PRIHATIN. Begitu juga 96 peratus menyatakan rakyat sangat berpuas hati dengan barisan hadapan dan kemudahan kesihatan yang disediakan pihak kerajaan.

- Advertisement -

Keutamaan kerajaan adalah untuk menjaga kesihatan dan ekonomi rakyat. Insentif ini bertujuan meringankan sedikit beban kewangan rakyat, dalam masa yang sama menjana semula ekonomi negara agar kekal stabil. Ada dalam kalangan responden menyatakan menerima sebanyak 3 jenis bantuan.

Namun, dalam satu kajian lain oleh Cent GPS Research, 30 peratus responden menyatakan simpanan hanya boleh bertahan selama sebulan sahaja, 44 peratus simpanan yang akan berakhir di antara satu hingga tiga bulan. Langkah kerajaan menimbangtara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi keperluan ekonomi rakyat adalah sangat wajar.

PAS menyatakan pencapaian awal kerajaan pada hari ini boleh dibanggakan dalam mengawal emosi dan kewangan rakyat terutama kepada golongan B40.

PAS berharap semua rakyat Malaysia membalas jasa kerajaan dengan mematuhi setiap arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengembalikan suasana kehidupan seperti sedia kala.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
7 Mei 2020 | 14 Ramadan 1441- HARAKAHDAILY 7/5/2020

- Advertisement -