Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 14)

- Advertisement -

PENGHAYATAN ayat al-Quran menerusi juzuk 14 lebih memfokuskan berkenaan ujian Allah S.W.T kepada manusia melalui rezeki yang dikurniakan. Rezeki manusia tidak sama di antara satu sama lain. Ada mereka yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan ramai juga yang kehidupannya melarat, kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Allah S.W.T menghendaki golongan yang senang dan kaya supaya dapat berkongsi nikmat yang diperolehi dengan golongan susah bagi menzahirkan kesyukuran supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan mereka yang kufur terhadap nikmat kurniaan Allah. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲ فِی ٱلرِّزۡقِۚ فَمَا ٱلَّذِینَ فُضِّلُوا۟ بِرَاۤدِّی رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُهُمۡ فَهُمۡ فِیهِ سَوَاۤءٌۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ یَجۡحَدُونَ

“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu?”

[al-Nahl: 71]

Manusia patut sedar bahawa segala perkara yang dimiliki adalah kepunyaan dan pemberian Allah. Dalam erti kata lain, kepunyaan kita hanyalah sementara dan akan hilang juga ketika berada di dunia ini. Hanya pemilikan di akhirat sahaja yang kekal abadi. Oleh itu, tidak perlu manusia bermegah dan berasa cukup dengan harta yang ada, sebaliknya hendaklah memanfaatkan harta tersebut serta berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Ketika kita masih berada dalam suasana wabak COVID-19 ini, hidup saling membantu perlu dijadikan keutamaan bagi meringankan beban mereka yang dalam kesusahan. Bagi mereka yang bersabar dengan ujian Allah ketika di dunia, akan diberi balasan sebaiknya di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T:

مَا عِندَكُمۡ یَنفَدُ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقࣲۗ وَلَنَجۡزِیَنَّ ٱلَّذِینَ صَبَرُوۤا۟ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

[al-Nahl: 96]

Sesungguhnya Allah memperluaskan wasilah pencarian rezeki kepada makhluk-Nya di langit dan bumi. Allah turut menegaskan kepada umat Islam agar berusaha mendapatkan rezeki yang halal lagi suci. Sumber Halalan Toyyiban mesti diberi keutamaan dalam kehidupan seseorang Muslim. Halalan Toyyiban bermaksud sumber yang diusahakan tersebut hendaklah halal, baik dan suci, tiada unsur haram, tiada unsur rasuah dan tiada syubhat. Kelima-lima perkara itu mestilah menjadi SOP setiap kali ingin memperolehi atau mendapatkan barangan atau makanan pilihan. Sumber halal walaupun sedikit akan merangsang pertumbuhan hati menjadi lebih bersih manakala sumber haram akan memberi kesan negatif kepada hati seseorang itu. Dengan demikian, Allah S.W.T memerintahkan orang-orang beriman agar menjadikan sumber halal sahaja sebagai asas dalam pemakanan, firman Allah:

فَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلࣰا طَیِّبࣰا وَٱشۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ إِیَّاهُ تَعۡبُدُونَ

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya.”

[al-Nahl: 114]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
14 Ramadan 1441 / 07 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 7/5/2020

- Advertisement -