Zailah kongsi rasa kehilangan Koperal Safwan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff turut berkongsi perasaan kehilangan yang dialami keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

- Advertisement -

Diiringi Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Mohd Salleh Said dan Ketua Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusoff, beliau hadir menziarahi dan menzahirkan takziah kepada keluarga tersebut di Tanjung Rambutan, kelmarin.

Selain sedikit sumbangan, Siti Zailah juga menitipkan kata-kata semangat agar kedua ibu bapa arwah iaitu Sarjan (B) Muhammad Ismail Othman dan Norriza Mat Sani terus tabah menerima ketentuan Allah S.W.T itu.

Anggota polis yang merupakan petugas barisan hadapan negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu terbunuh dirempuh pacuan empat roda di Sekatan Jalan Raya Ops COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS.

Tragedi jam 2:00 pagi 3 Mei itu dipercayai berpunca kerana pemandu kenderaan tersebut yang berada dalam keadaan mabuk telah gagal mengawal kelajuan kenderaannya lalu terbabas dan melanggar mangsa dan beberapa kenderaan.

Jenazah Allahyarham selepas selesai bedah siasat dimandi, dikafan dan disolatkan di Hospital Serdang telah dibawa pulang ke Tambun diiringi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dan disemadikan mengikut istiadat polis. – HARAKAHDAILY 6/5/2020

- Advertisement -