Tiada caj tambahan ansuran sewa beli – MoF

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa pihaknya telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung pelupusan caj tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli (konvensional dan Shariah).

Menterinya, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Shariah) sepanjang tempoh pembiayaan tersebut.

Advertisement

“Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan).

“Sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing.

“Ia termasuk tambahan 6 bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan media Menteri Kewangan

Kata Zafrul, perkara ini merujuk kepada saranan kerajaan kepada semua industri perbankan supaya jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Shariah) sepanjang tempoh moratorium.

Beliau berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencabar ini.

Katanya, sebarang maklumat lanjut boleh didapati daripada bank masing-masing.- HARAKAHDAILY 6/5/2020