Peristiwa penting Ramadan yang menjadi iktibar

ramadan
- Advertisement -

RAMADAN merupakan bulan untuk menguji kekuatan iman umat Islam. Dalam sirah dan sejarah Islam, terdapat beberapa peristiwa penting yang menjadi satu pengajaran dan pengiktibaran kepada umat Islam sepanjang zaman, antara peristiwa penting tersebut ialah:

(a) Penurunan al-Quran.
(b) Tahun Kesedihan dan pemergian Sahabat-sahabat besar.
(c) Peperangan dan pembukaan Islam.

- Advertisement -

Penurunan al-Quran

17 Ramadan merupakan tarikh Nuzul al-Quran, yang dikenali Lailatul Qadar. Pada 21 Ramadan, wahyu yang pertama diturunkan ialah اقرأ yang mengandungi maksud yang cukup hebat. Peristiwa ini digambarkan di dalam Hadis yang panjang كتاب بدء الوحي di dalam Shahih Bukhari. Ini juga disebut dalam surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekali manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk yang memandu manusia kepada hala tuju yang jelas dan nyata.

Tahun Kesedihan dan pemergian para Sahabat besar

Bulan Ramadan juga memaparkan ujian berat yang ditanggung oleh Rasulullah S.A.W pada era Makkiyah dengan pemergian dua individu penting iaitu pemergian isteri Baginda S.A.W, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tak lama kemudian pemergian bapa saudara Baginda S.A.W, Abu Thalib. Tahun ini dinamakan عام الحزن Tahun Kesedihan. Kedua-dua individu inilah yang banyak menyokong perjuangan Nabi menyebarkan Islam kepada masyarakat dengan menggunakan harta dan pengaruh. Pemergian mereka memberi kesan yang agak mendalam buat Rasulullah S.A.W.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan di dalam Feqhul Harakah bahawa pemergian dua individu ini dalam hidup Baginda S.A.W, sebagai bukti bahawa perjuangan Baginda S.A.W diserahkan bulat-bulat kepada Allah S.W.T. Bukan semata-mata mengharap bantuan manusia.

Antara lain juga, Ramadan juga menyaksikan pemergian beberapa orang yang penting dalam sejarah Islam, antaranya pemergian Saidina Ali R.A pada 17 Ramadan 40 Hijrah, pemergian Saidina Amru Al-Ash pada 30 Ramadan 43 Hijrah, dan pemergian Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah R.A pada 17 Ramadan 58 Hijrah.

Peperangan dan pembukaan Islam

Ramadan adalah bulan perjuangan. Selain daripada penurunan al-Quran, bulan Ramadan menyaksikan beberapa peristiwa peperangan dan pembukaan Islam sama ada berlaku pada zaman Nabi S.A.W mahupun di zaman para Khulafa’ Ar-Rasyidin.

Antara peristiwa peperangan dan pembukaan yang berlaku di zaman Nabi ialah:

(1) Peperangan Badar.

Peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun 2 Hijrah yang merupakan peperangan pertama yang terjadi dalam Islam. Pada 29 Ramadan tahun yang sama, Allah S.W.T menceritakan pensyariatan perang di dalam al-Quran:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah: 216)

Peperangan yang memaparkan jumlah bilangan dan kekuatan yang begitu berbeza di antara tentera Islam dan tentera Musyrikin. Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang dengan kelengkapan yang serba kekurangan sementara tentera Musyrikin berjumlah 1,000 orang dengan kelengkapan yang lengkap. Namun semua ini tidak mematahkan semangat Nabi S.A.W dan orang Islam untuk terus berhadapan dengan musuh.

Dalam hal ini Nabi S.A.W telah merancang pelbagai strategi seperti pemilihan tempat yang strategik, penyusunan tentera yang tersusun dengan pelbagai peranan di samping pengaduan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Akhirnya umat Islam diberikan kemenangan oleh Allah S.W.T dengan kemenangan yang penuh gemilang.

Peperangan ini juga memaparkan bahawa setiap perjuangan menegakkan Islam pasti akan diuji oleh Allah S.W.T sama ada sebelum mencapai kemenangan, mahupun selepas mencapai kemenangan. Bahkan selepas mencapai kemenangan, cabaran dan ujian akan bertambah berat dari semasa ke semasa.

(2) Pembukaan Makkah.

Pembukaan Makkah yang berlaku Pada 21 Ramadan tahun 8 Hijrah bersamaan 630 Masihi. Peristiwa ini disebut oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2)فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3)”

Pembukaan Kota Makkah berlaku selepas pengkhianatan terhadap Perjanjian Hudaibiyyah yang dimulakan daripada pihak Quraisy. Nabi S.A.W mula menggerakkan tentera ke Makkah tanpa menyebut sebarang tujuan bagi memastikan operasi Baginda S.A.W tidak terbongkar.

Menurut Dr Ali Muhammad Sollabi, Nabi S.A.W amat merahsiakan operasi pembukaan Makkah sehingga semua Sahabat dan keluarga Nabi S.A.W yang terdekat tidak mengetahui operasi pada kali ini. Ini juga menunjukkan kepimpinan mesti merahsiakan strategi daripada diketahui oleh orang lain termasuk isterinya sendiri. Sebarang rahsia yang didedahkan walaupun dengan niat yang baik boleh menyebabkan rahsia terbocor dan perancangan menemui kegagalan.

Nabi S.A.W memasuki Kota Makkah dalam keadaan menundukkan kepala sambil membaca surah al-Fath sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kemenangan dan pembukaan yang besar. Apabila sampai di sisi Kaabah, Baginda S.A.W terus bertawaf dalam keadaan di tangannya memegang busur panah, lantas Nabi S.A.W menghancurkan dengan berhala-berhala di sekeliling Kaabah dengan busur tersebut sambil membaca ayat 81 surah al-Isra’ dan ayat 49 Surah Saba’;

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan Syirik); Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”

(al-Isra’: 81)

قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ

“Katakanlah telah datang kebenaran (al-Quran yang memberi segala kebaikan) dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.”

(Saba’: 49)

Dalam keadaan begitu, golongan Musyrikin berkumpul di Kaabah sambil menunggu-nunggu hukuman daripada Nabi S.A.W di atas perbuatan mereka selama ini kepada Baginda S.A.W dan orang Muslimin, khususnya ketika mereka berada di Makkah pada Era Makkiyah. Ketika itu Nabi S.A.W bersabda;

ما تظنون أني فاعل بكم؟و فقالوا : خيرا, أخ كريم وابن أخ كريم فقال : لا تثريب عليكم اليوم، يغفر الله لكم

“Menurut sangkaan kamu semua, tindakan apa yang aku akan lakukan kepada kamu? Mereka menjawab (dengan nada merayu): kebaikan wahai saudara yang mulia, anak kepada saudara yang mulia,” lantas Nabi bersabda “Jangan kamu berkeluh kesah, sesungguhnya Allah mengampunkan kamu (kamu akan dibebaskan).”

(Riwayat al-Baihaqi di dalam الدلائل)

Pembukaan Makkah memberi begitu banyak pengajaran kepada umat Islam khususnya berkenaan dengan Feqh kemenangan Islam. Kemenangan Islam mesti disambut dengan penuh tawaduk dan rasa bersyukur, bukannya dengan rasa riyak dan takabbur dengan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama Islam mendahulukan perdamaian dan kemaafan daripada permusuhan dan balas dendam. Dengan sebab itu, golongan Musyrikin Makkah masuk ke dalam Agama Islam dengan berbondong-bondong. Ini mesti menjadi pegangan Umat Islam pada hari ini dalam menyambut kemenangan sebagaimana yang diajar oleh Nabi S.A.W.

(3) Peperangan Tabuk.

Antara peperangan yang terakhir yang berlaku pada bulan Ramadan (mengira perjalanan Nabi S.A.W pada bulan Rejab dan pulang ke Madinah pada 26 Ramadan) di zaman Nabi S.A.W ialah Peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun 9 Hijrah. Ini merupakan pertembungan pertama berlaku dalam menentang kuasa besar dunia iaitu Empayar Rom Byzantine.

Perang Tabuk juga dikenali dengan (غزوة العسرة) ‘Perang Kepayahan’ kerana perang ini berlaku dalam musim yang panas dan tempat peperangan yang jauh, iaitu sekitar 778 km (mengikut jarak jalan yang ada zaman sekarang). Peperangan ini juga berlaku dalam keadaan kekurangan bekalan dan binatang perang. Sudah tentu ini semua membawa kepada kepayahan dan ujian yang amat hebat kepada umat Islam.

Peperangan Tabuk juga di kenali sebagai غزوة الفاضحة iaitu ‘Perang Pembongkaran’. Menurut al-Zurqoni dalam kitabnya (شرح المواهب اللدنية) perang ini dinamakan sebagai perang pembongkaran kerana dalam perang ini terdedahnya hakikat golongan Munafik, termasuk perancangan, tipu daya dan jenayah mereka terhadap Nabi S.A.W dan orang Islam.

Peperangan ini berlaku selepas Nabi S.A.W mendapat perkhabaran bahawa Tentera Rom sedang mengumpulkan bala tentera untuk menyerang Madinah. Dengan sebab itu, Nabi S.A.W bersegera menyiapkan bala tentera menyerang dahulu mereka sebelum Rom menyerang orang Islam.

Menurut Mohd Fadhli Ghani sejumlah 30,000 tentera Islam, termasuk 10,000 tentera berkuda telah bergerak ke Tabuk dengan dipimpin sendiri oleh Nabi S.A.W. Perjalanan sejauh 800 km ini mengambil masa 20 hari untuk sampai di Tabuk. Pasukan Rom yang dipimpin oleh Satria Hercules bergerak ke kawasan tersebut dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan. Kedua-dua pasukan walau bagaimanapun tidak bertembung ekoran tindakan pasukan Rom berpatah ke Utara setelah menyedari kekuatan sebenar pasukan Islam.

Perjalanan yang sangat panas ini dibantu oleh Allah S.W.T dengan hujan lebat. Ketika sampai di Tabuk, Allah S.W.T mendatangkan rasa takut di hati musuh sehingga mereka tidak berani menghampiri pasukan Islam kerana dikatakan melihat 100,000 tentera malaikat yang berada dalam pasukan Islam.

Setelah itu, pemimpin Ilyah, sebuah kota berdekatan Tabuk, Yuhana bin Ru’bah telah datang kepada Rasulullah S.A.W untuk berdamai, diikuti oleh penduduk Jarba dan Azruh. Mereka bersedia membayar Jizyah dan tunduk kepada Islam. Dengan bertambahnya kekuatan Islam, pasukan Rom telah berundur dan kemenangan dicapai pada 27 Syaaban 9H tanpa sebarang pertempuran.

Ini antara tiga peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadan pada zaman Nabi S.A.W. Manakala pembukaan yang berlaku di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin pada bulan Ramadan ialah:

(1) Perang Faradh yang dipimpin oleh Khalid al-Walid berhadapan Rom Byzantine pada Ramadan 12 Hijrah bersamaan 633 Masihi. Pada Ramadan 13 Hijrah pula berlakunya pertempuran Islam berhadapan Parsi sehingga membuka Kota Iraq (Sassanid).

(2) Kota Palestin juga terbuka (terbebas) pada Ramadan 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi, iaitu pada zaman Saidina Umar R.A. Palestin ketika itu merupakan salah satu wilayah pemerintahan Rom Byzantine. Pada tahun yang sama juga terjadinya Perang Qadisiyyah.

(3) Ramadan 20 Hijrah, bersamaan 641 Masihi bermulanya proses pembukaan Mesir di bawah pimpinan Saidina Amru al-Ash. Mesir juga merupakan salah satu wilayah terpenting Empayar Rom Byzantine. Ketika itu juga sedang dibina Masjid Amru al-Ash di sana.

(4) Ramadan 31 Hijrah bersamaan 652 Masihi, tentera Islam berjaya mengalahkan Sasania, yang menyaksikan pengakhiran Empayar Parsi. Manakala pada Ramadan 37 Hijrah bersamaan 658 Masihi terjadinya peristiwa Tahkim di antara Saidina Ali R.A dan Saidina Mu’awiyyah R.A.

Apa yang disenaraikan ini hanyalah sebahagian daripada sejarah-sejarah Islam di bulan Ramadan. Penuh dengan liku-liku kehidupan Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A, yang diiktiraf sebagai kurun yang terbaik, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imran ibn Hushain R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

خَيْرُكُمْ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang berada di kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka, kemudian orang yang mengiringi mereka.”

(Shahih Bukhari dan Muslim)

Kehidupan mereka menjadi contoh dan tauladan buat umat manusia pada hari ini. Supaya tidak merasa mudah dan selesa dalam melakukan gerak kerja Islam. Tugasan tugasan memartabatkan agama Allah S.W.T memerlukan kesungguhan dan pengorbanan.

Kita perlu sedar bahawa Ramadan adalah bulan perjuangan. Berjuang menegakkan Islam, berjuang memelihara diri daripada nafsu (مجاهدة النفس). Puasa itu bukan semata-mata menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi ia adalah latihan untuk melahirkan jiwa yang kental.

Ramadan adalah bulan yang melahirkan kekuatan iman yang pastinya dikuatkan dengan ujian-ujian buat para pejuang yang bersabar. Ujian-ujian ini bertujuan meningkatkan daya keimanan seseorang sepertimana firmanNya:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”

(Ali Imran: 142)

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
memangku portfolio Sains Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau,
Negeri Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 6/5/2020

- Advertisement -