Patuhi PKPB elak gelombang baharu Covid-19

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah ketika temui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di JKR 10 di sini hari ini. Foto- RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelonggaran yang diberi kerajaan akan menjadi sia-sia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dimanfaatkan orang ramai dengan cara yang betul.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, ketidakpatuhan kepada arahan PKPB dibimbangi boleh menyebabkan gelombang baharu wabak Covid-19.

- Advertisement -

Katanya kerajaan membuka ruang PKPB bukan untuk mengambil sikap bermudah-mudah.

“Malah kita juga perlu ambil iktibar dari negara lain seperti Jepun dan beberapa negeri lain apabila diberi kelonggaran menyebabkan Covid-19 merebak kembali,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di JKR 10 di sini hari ini.

Hari ini Kelantan mulai membenarkan sektor ekonomi beroperasi apabila menguatkuasakan PKPB sebagaimana dilaksanakan kerajaan pusat.

Manakala pejabat agensi di bawah kerajaan negeri akan dibuka semula pada Isnin hadapan memandangkan Ahad ini hari kelepasan am sempena Nuzul al Quran.

Mohd Amar juga berkata, walaupun Kelantan diisytiharkan hijau oleh kerajaan, namun ia tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.- HARAKAHDAILY 6/5/2020

- Advertisement -