Orientalis moden dan sektarian mazhab

- Advertisement -

MUQADDIMAH

Sebelum ini saya pernah menulis beberapa artikel mengenai sektarian mazhab.

(a) Sektarian mazhab: Utamakan kefahaman berbanding sentimen. [1]

(b) Sektarian mazhab dan perpecahan ummat. [2]

(c) Arab dan sektarian mazhab. [3]

(d) Long War: Atas tanah dan bawah tanah. [4]

(e) Cabaran: Generasi baru dan Long War. [5]

(2) Hari ini tergerak hati untuk menulis lagi mengenai sektarian mazhab, atau lebih dikenali sebagai perbincangan mengenai perselisihan mazhab yang sengaja dibakar untuk melaga-lagakan Umat Islam.

Selain sektarian mazhab, kita perlu faham apa yang dipanggil ‘long war’ iaitu strategi Barat (RAND Corporation) untuk memastikan Umat Islam (khususnya) terus menerus bertelagah sesama sendiri.

- Advertisement -

(3) Istilah ini mula digunakan sejak 2004. Boleh rujuk tulisan-tulisan saya sebelum ini. Bahkan RAND Corporation sendiri menerbitkan kajian bertajuk Unfolding The Future Of Long War yang juga pernah saya ulas.

Di dalam muqaddimah kajian pada 2008 ini, menjangkakan bahawa kehangatan kajian mereka ini sekitar tahun 2020 [gambar]. Sekaranglah masanya untuk berhati-hati.

Orientalis dan sejarah

(1) Umat Islam sering terikat dan tersepit dengan istilah ‘Wahhabi’ sedangkan kelompok ini sudah 100 tahun berlalu krisisnya. Pertembungan antara Wahhabi + Bani Sa’ud yang beraliran Salafi dan juga Bani Hasyim yang beraliran Khalaf.

Pertembungan sesama Umat Islam ini dibakar oleh intelligent Barat seterusnya menatijahkan kepada runtuhnya Uthmaniah. Sejarah sengal ini tak sepatutnya berulang kembali.

(2) Khidmat Orientalis digunakan untuk menimbulkan keraguan terhadap Umat Islam. Antara tokohnya ialah Goldziher yang terkenal dengan karya-karya yang berjaya mengelirukan orang Islam

Seorang berbangsa Yahudi, berasal dari Hungary, seorang yang cerdik. Dikatakan beliau orang pertama menjadi pelajar al-Azhar dalam keadaan belum masuk Islam (WaLlahuaklam).

(3) Di belah Nusantara masyhur dengan Orientalis yang bernama Snouck Hugronje, yang turut meniupkan isu perselisihan antara Salaf dan Khalaf dengan menggunakan nama Syeikh Abdul Ghaffar.

Beliau menuntut ilmu di Makkah daripada Syeikh Zaini Dahlan, dan sangat rapat dengan tokoh-tokoh ilmuan Acheh. Akhirnya dengan strategi ini, Acheh tumbang diserang Belanda.

(4) Orientalis ini hidup zaman berzaman, menyamar atas nama Islam. Mengkaji mengenai Islam dan seterusnya memainkan peranan untuk menguasai pemikiran Umat Islam.

Antara yang lain Gustav Weil, H.A.R Gib, Johann Fueck, Josef Horofitz, Tor Andrae, Alloys Sprenger, Rudi Paret, William Muir, dan ramai lagi. Masing-masing terkenal dengan karya dan pemikiran.

Salaf dan Khalaf

(1) Kewujudan golongan-golongan ini sedikit sebanyak menyebabkan orang Islam itu terkeliru. Kalau ikut takrifnya, orientalis tidak wujud di zaman Imam Abu Hassan al-Asy’ari ataupun zaman kemunculan Ahlus Sunnah.

Kemunculan mereka lebih khusus ketika era Imperialism Barat dan era persaingan untuk menjatuhkan Uthmaniyyah. Jadi, kita perlu fahami satu persatu mengikut zaman yang berbeza-beza.

Contohnya perbezaan Salaf dan Khalaf wujud ketika dunia Islam sedang membesar, dan kemudiannya diresapi elemen falsafah. Kemudian wujudnya firqah-firqah yang terkesan dengan falsafah.

(2) Beberapa istilah perlu difahami satu persatu. Elakkan bercampur aduk seperti rojak atau kusyari (makanan Mesir). Perlu difahami secara berbeza. Tak boleh semuanya digaul di dalam perkataan Wahhabi.

Salaf, Khalaf, Wahhabi, Ahlus Sunnah, Alla Mazhabiah, anti Hadis dhaif, neo-Muattilah, Sophisme, Mujassimah, Mutasallif dan banyak lagi. Kesemuanya berbeza-beza.

(3) Salaf dan Khalaf adalah manhaj dalam pentakwilan ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran. Salaf tidak mentakwil. Khalaf pula mentakwil kerana keperluan semasa ketika itu.

Kedua-dua Salaf dan Khalaf adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kelompok Wahhabi mengatakan mereka itu berpegang dengan Salaf. Alla Mazhabiah اللامذهبية pula ialah mereka yang tidak bermazhab.

Sebagai contoh, Imam Hassan al-Banna adalah seorang yang mentarjih mazhab Salaf, dalam masa yang sama beliau menyatakan dengan jelas bagi mereka yang tidak mencapai tahap mujtahid, perlu bermazhab (Usul 20).

Selepas Orientalis

(1) Sama juga mereka yang mutasallif متسلف iaitu golongan yang buat-buat Salafi. Mereka mendakwa mereka ini manhaj Salaf, tetapi hakikatnya mereka banyak berhujah cara Sophisme.

Golongan anti Hadis dhaif pula golongan yang lain. Ia berbeza dengan orang yang ‘syadid’ dalam menentukan martabat Hadis. Berbeza juga dengan Salafi, yang berbahas dalam bab takwil atau tidak.

(2) Kita perlu sedar bahawa dalam akidah juga terdapat perselisihan furuk, contohnya perselisihan sama ada Sifat Allah itu 13 atau 20, antara Asya’irah dan al-Maturidiah. Berbeza dengan mujassimah.

Mujassimah pula mereka yang mentajsimkan Allah. Ajaran ini confirm salah. Bercanggah terus dengan Salaf dan Khalaf. Hal ini tak dibincangkan pun dalam perselisihan furuk akidah.

(3) Justeru kita perlu fahami bahawa perselisihan mazhab fekah, perselisihan mazhab dalam akidah dan sebagainya sudah wujud sebelum zaman orientalis lagi.

Manakala perselisihan yang sengal-sengal seperti kewujudan Mutasallif, anti Hadis Dhaif, neo-Muattilah, Sophisme moden dan sebagainya muncul selepas kekeliruan yang dibakar oleh orientalis.

(4) Kita juga perlu faham permulaan perselisihan itu berlaku. Perselisihan orang terdahulu sudah pun dijernihkan. Contoh Imam Syafie menjernihkan perselisihan mengenai sumber hukum dengan kitabnya الرسالة (usul fiqh).

Kemudian dalam mazhab Syafie sendiri, para ulamak mazhab Syafie berselisih lalu dijernihkan oleh Imam Nawawi R.A. Salaf dan Khalaf juga telah dijernikan sejak sekian lama.

Orientalis moden

(1) Walaupun perselisihan telah dijernihkan sejak sekian lama, mengapa hari ini masih lagi timbul? Masih lagi timbul perselisihan antara Mazhab Syafie dan Mazhab Hanafi?

Kenapa hari ini masih lagi timbul perselisihan antara Salaf dan Khalaf? Kenapa Bani Saud dan Bani Hasyim berperang di awal 19-an atas nama mazhab? Kenapa hari ini masih timbul Hadis ini dhaif Hadis ini shahih?

(2) Bukankah sepatutnya telah selesai dijernihkan sejak dahulu lagi? Sudah pasti ada yang tukang bakar. Siapa tukang bakar itu tak dikenali. Yang kita sedar, ia sudah terbakar.

Di sini kita patut faham kerja-kerja orientalis zaman moden. Yang mungkin bercampur aduk dengan agenda serangan pemikiran Barat dan elemen kolonialisasi.

(3) Kalau zaman kejatuhan Acheh dan Uthmaniah, kita dapati tukang bakar itu adalah mat saleh yang berwatak Arab. Boleh jadi hari ini wataknya adalah sebangsa dengan masyarakatnya.

Bahasa modennya ialah intelligent. Kalau di kalangan orang Melayu, pastinya orang Melayu akan dilatih untuk menjadi ejen pemecah belah bangsanya. Hal ini kita boleh faham dalam konteks projek Kolonialisasi.

(4) Hal ini telah diisyaratkan oleh Syed Qutb dalam penulisannya era 60-an lagi. Menggambarkan bahawa wujudnya ilmuan yang mendapat latihan Barat.

Mereka itu mengaji Tafsir, Sunan Sittah, Fekah antara mazhab dan banyak lagi. Tetapi mereka menyimpan hasrat untuk mengelirukan Umat Islam dengan kealiman yang ada. Jadi, orang awam akan melihat ‘Ustaz-ustaz pun bergaduh’.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3372965182745218/?d=n

[2]
https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3349135088461561/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3347630238612046/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3159199914121747/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3512127558828979/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 6/5/2020

- Advertisement -