Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 13)

- Advertisement -

PENELITIAN kandungan juzuk 13 hari ini memfokuskan berkenaan perancangan jahat lagi licik yang dilakukan oleh musuh Islam. Ramai para pemikir Islam telah membongkar mengenai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam. Syeikh Abdul Kadir Audah, seorang pakar Undang-undang Mesir yang gugur syahid di tali gantung pernah mengungkapkan antara cabaran ummah ialah akibat perancangan jahat musuh dan kejahilan ummah itu sendiri serta kelesuan ulamak. Episod kejahatan serta makar musuh dirakamkan dalam banyak ayat-ayat al-Quran, antara lainnya firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَقَدۡ مَكَرَ ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِهِمۡ فَلِلَّهِ ٱلۡمَكۡرُ جَمِیعࣰاۖ یَعۡلَمُ مَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسࣲۗ وَسَیَعۡلَمُ ٱلۡكُفَّـٰرُ لِمَنۡ عُقۡبَى ٱلدَّارِ

“Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi). Oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan pada hari akhirat kelak.

[al-Ra’d: 42]

Musuh Islam telah melakukan pelbagai propaganda dan rancangan membunuh para utusan Allah dan kepimpinan Islam pada setiap zaman. Pada zaman kini, pihak musuh telah melancarkan Ghazwatulfikri ke seluruh negara umat Islam. Serangan ini dilakukan berterusan walaupun negara umat Islam telah membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan fizikal tetapi hakikatnya masih dijajah dari segi pemikiran. Sesetengah daripada perancangan musuh kadang-kadang terlalu dahsyat dan ianya dapat melaksanakan gagasan besar mereka seumpama kejatuhan Khilafah Othmaniah dan penaklukan terhadap negara umat Islam. Hal ini telah digambarkan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

وَقَدۡ مَكَرُوا۟ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, sekalipun rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang.”

[Ibrahim: 46]

Hasutan serta fitnah jahat turut dilakukan dan disokong oleh orang-orang munafik yang menjadi penyambung nyawa kepada musuh Islam. Semasa zaman Nabi S.A.W, golongan munafik telah menuduh Aisyah R.A melakukan zina dengan seorang Sahabat yang bernama Sofwan bin Mu’attol R.A sehingga menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada kalangan Sahabat yang mempercayai bahawa Aisyah R.A benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol serta turut menyebarkan berita fitnah tersebut sebagaimana dirakamkan dalam kitab sejarah. Namun akhirnya, Aisyah R.A disucikan setelah penurunan wahyu.

Selain fitnah dan pembunuhan karier seseorang, rancangan jahat juga disusun melalui hasutan serta melaga-lagakan orang sehingga bermusuh. Kaedah ini turut dilakukan oleh Ubai bin Khalaf kepada Uqbah bin Abi Mu’aith. Setelah Uqbah memeluk Islam ketika di majlis meraikan Rasulullah S.A.W sebagai tetamu, Ubai bin Khalaf sangat marah lalu menghasut Uqbah supaya keluar Islam dan lakukan permusuhan dengan Rasulullah. Akhirnya akibat berteman dengan orang jahat, Uqbah akhirnya murtad dan menjadi orang yang paling kuat menentang perjuangan Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian, seseorang itu hendaklah sentiasa memilih kawan yang beriman dan selalu menasihati ke arah kebaikan dan bukan menjadi pengampu serta penghasut, kelak akan memusnahkan diri sendiri.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
13 Ramadan 1441 / 06 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 6/5/2020

- Advertisement -