Permulaan bencana dari Mongol

- Advertisement -

PERTEMPURAN pertama antara Khawarizmi Shah dan Mongol bermula di bawah pimpinan Doushi Khan pada tahun 606H. Pada tahun 611H, kekuasaan Khawarimi semakin mengukuh yang meliputi kota Kerman, Mekran (Iran hari ini), wilayah Sand (Kharachi, Nawabshah, Khaipur dan Hyderabad), wilayah Hormuz dan Samarqand bahkan hampir juga menguasai kota Baghdad tetapi tidak kesampaian. Genghis Khan yang melihat perluasan kuasa oleh Sultan Khawarizmi sebagai ancaman terhadap wilayah kekuasaannya yang bersebelahan sahaja dengan wilayah Khawarizmi mula memikirkan sesuatu.

Lalu Genghis Khan menghantar utusan untuk menawarkan gencatan senjata dan persefahaman ekonomi antara keduanya yang telah dipersetujui oleh Khawarizmi Shah. Perjanjian ini bermaksud kedua-kedua pihak diberi keizinan untuk menyeberangi wilayah masing-masing dalam urusan perniagaan.

- Advertisement -

Bagaimana bermulanya serangan Mongol?

Ia dimulakan dengan segerombolan pihak Mongol yang memasuki wilayah umat Islam. Mereka membawa pelbagai barangan dagangan dari Mongol menuju ke wilayah Transoxiana (Samarqand dan Bukhara) untuk membeli pakaian dari sana. Hingga mereka sampai ke satu kota yang disebut sebagai Kota Uttar (India hari ini) yang merupakan penghujung wilayah kekuasaan Khawarizmi Shah di bahagian Utara. Berita kedatangan rombongan ini yang membawa pelbagai barangan dagangan sampai ke pengetahuan Khawarizmi Shah, lalu diarahkan untuk dibunuh kesemuanya dan diambil harta mereka. Kemudian dibahagikan harta dagangan tersebut kepada beberapa pedagang di Bukhara dan Samarqand dan diambil pula bahagiannya.

Selepas melakukan perbuatan terkutuk tersebut, beliau menghantar pasukan pengintip untuk masuk ke wilayah Mongol dengan tujuan menyiasat kekuatan ketenteraan Genghis Khan. Ternyata hasil siasatan tersebut mengejutkan Khawarizmi Shah. Jumlah tenteranya sangat besar yang tidak terhitung, tidak kenal erti kalah dan memiliki kecekapan dan daya tahan yang tinggi.

Timbul penyesalan dalam diri Khawarizmi Shah atas tindakan melulunya tanpa memikirkan akibat yang akan timbul susulan perbuatan tersebut. Tetapi ia tidak boleh mengubah apa-apa. Khawarizmi Shah cuba melibatkan Menteri dan Ilmuan untuk mencari jalan penyelesaian, termasuklah yang dirujuk pada waktu itu adalah Syeikh Syihab Al-Khuyufi sebagai penasihat istana. Pelbagai pandangan diutarakan, tetapi tetaplah Khawarizmi dengan kedegilannya mengatur pula jalan yang lain.

Tatkala berita tersebut sampai ke pengetahuan Genghis Khan, lantas dihantar utusan untuk menyampaikan amaran akan bermulanya serangan pada bila-bila masa;

“Rakan-rakanku dan para pedagangku telah kau bunuh, dan harta aku juga telah kau rampas melalui mereka, bersiaplah untuk bertempur, sesungguhnya aku akan sampai pada kalian dengan ketumbukan yang kalian tidak pernah lihat sebelum ini.”

Surat tersebut diterima dengan penuh kesombongan oleh Khawarizmi Shah, diarahkan pula untuk dibunuh utusan Mongol tersebut, baki rombongan yang bersamanya disuruh pulang dengan menyampaikan pesannya. Kata Khawarizmi Shah:

“Aku sendiri yang akan pergi mencarimu walau sampai ke hujung dunia sekalipun supaya aku dapat memperlakukanmu sebagaimana yang aku perbuat terhadap rakan-rakanmu.”

Disimpulkan punca serangan Mongol terhadap umat Islam ini berdasarkan beberapa pandangan sarjana Islam dalam beberapa poin berikut:

(i) Hubungan dagangan dimulakan di Kota Uttar yang terletak di hujung Timur sempadan Kerajaan Al-Khawarizmi, yang dipimpin oleh Sultan Yanal Shah. Rombongan perdagangan ini dibunuh dan semua hartanya dirampas dengan beberapa sebab yang direkodkan. Antaranya kerana menganggap mereka adalah pengintip, dan ada juga yang menyebutkan ia berpunca di atas ketamakan Sultan Yanal Shah terhadap harta dagangan yang dibawa.

(ii) Berita pembunuhan ini sampai ke pengetahuan Genghis Khan. Lalu beliau menghantar utusan menghadap Sultan Muhammad Khawarizmi Shah untuk meminta penjelasan. Malangnya, Sultan Khawarizmi bertindak membunuh utusan tersebut. Pembunuhan utusan inilah dianggap sebagai pintu permulaan permusuhan Tatar terhadap Islam.

(iii) Ada juga riwayat yang menyebutkan, Kerajaan Pusat Abbasiah di Kota Baghdad, ketika itu di bawah kekuasaan Sultan Nasir Li Dinillah yang menghantar surat kepada Genghis Khan untuk menyerang Kerajaan Khawarizmi. Ini kerana disebabkan pertentangan Khawarizmi dengan Sultan Nasir. Pendapat ini ditolak oleh Dr Ali As Solabi dan menyatakan apa yang dilakukan oleh Khawarizmi itu pun sudah cukup untuk membangkitkan kemarahan Genghis Khan.

(iv) Sekalipun di sudut pandang Sultan Khawarizmi, memberikan pelbagai jawapan untuk membenarkan tindakannya, namun di sisi Genghis Khan yang lebih utama adalah rakyatnya dibunuh, dan ia mesti dibela!

Semangat perluasan jajahan

Peperangan demi peperangan yang dimenangi oleh Genghis Khan menjadikan beliau semakin ghairah untuk menakluk wilayah yang baru. Usaha untuk menakluk keseluruhan China dilihat begitu sukar kerana kekuatan Dinasti Jin dan lain-lain yang begitu ampuh. Bersebelahan dengan sempadan jajahannya pula adalah wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Al-Khawarizmi, Sultan Muhammad Al-Khawarizmi Shah yang sangat berseteru dengan Kerajaan Abbasiah.

Menurut Dr Raghib As Sarjani, menyebutkan ketika ini Tentera Salib ataupun Bangsa Eropah mula melihat kebangkitan Mongol dengan pandangan yang positif. Ini kerana bukan sahaja Kerajaan Islam yang mengalami fasa kelemahan, bahkan Kerajaan Salib juga mengalami isu yang sama. Lalu mereka menghantar utusan untuk bertemu dengan Genghis Khan dengan tujuan memujuk dan merayu untuk membantu mereka melawan Kerajaan Islam! Direkodkan jarak perjalanan dari Eropah untuk sampai ke Mongolia sejauh 12,000 km sehala!

Untuk menjarah Kerajaan Islam, Genghis Khan perlulah mencari tapak sebagai markaz baru yang lebih dekat dengan Baghdad, sama ada di sekitar Afghanistan atau Uzbekistan. Jarak yang amat jauh antara China dan Iraq akan memayahkan sebarang gerak kerja ketenteraan. Antara wilayah yang amat difikirkan sesuai adalah wilayah Kaukas (juga disebut Kaukasus atau Kaukasia). Sebuah wilayah yang terletak di Eropah Timur dan Asia Barat di antara Laut Hitam dan Laut Kaspia. Pastinya wilayah Khawarizmi Shah menjadi sasaran utama misi ini. Selepas menemui titik permusuhan yang jitu, ia menjadikan Genghis Khan seakan-akan tidak boleh lagi dihalang.

Serangan Mongol bermula pada tanggal 616H dengan kerahan bala tenteranya yang dahsyat di Timur Sungai Seihun (kini dikenali dengan sungai Sardaraya di Negara Khazakhtan). Diriwayatkan kedua-dua belah pihak mendapat korban dengan jumlah yang besar. Masing-masing mengorbankan hampir 20 ribu orang tentera, akan tetapi ia hanya suatu permulaan di pihak Mongol. Genghis Khan terus menerus menghantar ketumbukannya tanpa henti menyebabkan di pihak Al-Khawarizmi Shah mula cemas. Lalu baginda meminta bantuan tentera dari seluruh wilayah di bawah kekuasaannya, namun nyata masih tidak mampu menandingi Mongol.

Dari sinilah bermulanya detik hitam buat umat Islam. Satu demi satu wilayah Kerajaan Al-Khawarizmi Shah dibersihkan tanpa mendapat tentangan yang kuat, atau pun hampir tiada pertentangan sebaliknya serangan demi serangan yang membinasakan. Bermula dengan Kota Bukhara (wilayah kelahiran Imam Bukhari), diikuti Samarqand, Iran, Khurasan, Farghanah, Turmuz dan pelbagai Kota utama wilayah Khawarizmi runtuh termasuk Kota Al-Khawarizmi iaitu Kota Urgandah.

Fasa pertama serangan Tatar bermula dari wilayah Kazakhtan pada tahun 616H, seterusnya Kirzikhistan, Tajikistan, Uzbekistan, Turkmenistan, Pakistan, Afghanistan, Iran, Arzabeijan, Armenia, Georgia hingga ke utara Rusia pada 620H.

Pengajaran dan Kesimpulan

(1) Kehinaan umat Islam itu bermula dari kesilapannya sendiri yang tidak mahu bertaubat bahkan menyombong diri. Apatah lagi kesilapan tersebut dilakukan terhadap musuh yang sentiasa mencari ruang untuk bertindak. Firman Allah Ta’ala:

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”

(Ali-‘Imran: 160)

(2) Kesilapan paling besar Sultan Al-Khawarizmi tidak terhenti setakat membunuh tanpa sebab, melanggar perjanjian dan tidak mengakuinya, bahkan selepas itu juga beliau tidak menyusun bala tentera untuk menghadapi musuh. Kata Dr Raghib, kesilapan Khawarizmi Shah sudah bermula sejak dia hanya mementingkan diri dan ahli keluarganya sahaja dan tidak mempeduilkan nasib rakyat. Khawarizmi Shah hanya merangka pelan untuk melarikan diri supaya terselamat daripada serangan Genghis Khan, dan langsung tidak menyediakan atau mengarahkan bala tenteranya untuk berperang. (akan diperincikan dalam tulisan lain siri serangan Tatar yang langsung tidak mendapat tentangan sengit)

(3) Kebaculan Khawarizmi sangat ketara, apabila begitu bersungguh menyusun dan menyerang wilayah umat Islam yang lain demi perluasan kuasanya, tetapi apabila berhadapan dengan musuh sebenar yang sememangnya mahu merobohkan empayar Islam, beliau melarikan diri. Inilah yang banyaknya berlaku dalam kalangan umat Islam. Kita begitu tegas dan keras berdebat, bergaduh, bertikam lidah sesama umat Islam tetapi hanya mendiamkan diri bahkan membiarkan sahaja musuh menyerang umat Islam yang lain. Kegarangan umat Islam hanya disalurkan untuk konflik dalaman semata-mata.

(4) Sikap mementingkan diri (individualistik) pasti berkesudahan dengan memakan diri sendiri. Yang lebih malang, bahkan ia mengorbankan nyawa orang ramai yang tidak bersalah. Apatah lagi mengambil ringan persoalan kepimpinan, kenegaraan dan jati diri umat Islam.

(5) Dr Raghib menyifatkan bencana yang melanda umat Islam dan kepimpinannya pada fasa tersebut sebagai penyakit buta politik iaitu hilangnya daya fikir yang tuntas, kemahiran berperang, hilang arah tujuan, robohnya kesatuan umat lalu menghasilkan tindakan yang tidak seimbang, bacaan politik yang tumpul dan tidak terarah.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -