PDRM tubuh STF pantau SOP PKPB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan Special Task Force (STF) bagi memantau dan menguatkuasa Standard Operasi Prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM tidak lagi menumpukan kepada sekatan jalan raya selepas PKPB dikuatkuasakan bermula Isnin, 4 Mei.

Sebaliknya kata Ismail Sabri, PDRM dengan kerjasama bersama 14 agensi akan memantau pematuhan SOP dalam kalangan rakyat dan pekerja.

“Selepas PKPB dilaksanakan fokusnya (PDRM) bukan lagi pergerakan kerana selepas PKPB diperkenalkan pergerakan telah mula dilonggarkan,” katanya pada sidang media harian PKP, di Putrajaya hari ini.

Pelaksanan PKPB memberi kelonggaran kepada individu untuk bergerak di dalam daerah sahaja manakala merentas negeri masih belum dibenarkan kecuali atas tujuan bekerja.

Sehubungan itu katanya, amat mustahil kepada PDRM untuk mengawal pergerakan individu yang keluar dari rumah mereka dengan pelbagai alasan.

Sementara itu, 14 agensi yang diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan pematuhan SOP adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA.

Jabatan Imigresen, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Tenaga Kerja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Malaysia, MITI, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan CIDB. – HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -