Liabiliti: Lampu ajaib di zaman moden

- Advertisement -

SEMBANG ilmu bajet kita masuk ke fasa baru. Kita akan mula membincangkan kotak di bahagian bawah. Bahagian bawah akaun bajet ialah bahagian yang paling kritikal kerana ia menentukan masa depan kewangan anda.

Konflik perakaunan

Saya tahu terdapat pakar ilmu perakaunan mula mengkritik apabila sembang saya sampai di tajuk ini. Sebabnya mudah. Akaun bajet tak ikut disiplin ilmu perakaunan yang diajar di institusi pengajian tinggi hatta di sekolah sekali pun.

Saya akui akaun bajet yang saya adaptasi ini memang asasnya daripada ilmu perakaunan. Ilmu perakaunan ada disiplinnya sendiri. Ada cara kiranya sendiri. Ada profesionnya sendiri. Hatta saya sendiri melantik akauntan bertauliah untuk mengurus rekod kewangan syarikat saya.

Cuma akaun bajet saya ini sekadar untuk memudahkan ilmu perakaunan dari sudut yang berbeza. Harapan saya ianya praktikal untuk orang awam, mudah difahami dan santai. Anggap saja akaun bajet saya ialah perakaunan mazhab baru yang berwajah Malaysia.

- Advertisement -

Berimaginasi dengan duit

Berimaginasi memang seronok. Begitu juga dalam soal kewangan. Saya selalu membayangkan liabiliti seolah-olah seperti lampu ajaib Aladdin. Anda tentu pernah tengok filem animasi Aladdin. Dengan lampu ajaib, Aladdin boleh dapat apa sahaja yang dia hajatkan.

Untuk kali ini, saya sebut liabiliti bermaksud ‘hutang’. Liabiliti ialah kembar kepada duit keluar. Apabila ada liabiliti, bermakna akan ada duit keluar. Duit yang keluar itu sama ada keluar sekali atau keluar berkali-kali (bayar secara bulanan).

Berhutang dengan apa cara sekali pun dan dengan sesiapa pun, konsepnya sama. Cuma sila awasi hutang yang turut membawa masuk dosa. Hukumnya haram. Akaun bajet saya ada perkiraan halal haram. Sila rujuk pakar ilmu fiqh muamalat untuk pastikan status hutang anda.

Berbalik kepada topik lampu ajaib tadi, hutang zaman sekarang menyebabkan anda mampu miliki benda-benda yang tidak mampu dimiliki secara tunai. Dengan berhutang anda mampu miliki rumah, kereta, motosikal, mesin basuh, telefon bimbit dan lain-lain.

Hanya swap kad kredit atau sign pada dokumen bank, segalanya sudah jadi milik anda. Sama seperti lampu ajaib Aladdin. Hanya gosok pada lampu ajaib Aladdin, segala hajat anda akan tertunai selepas itu.

Kaitan liabiliti dengan duit keluar

Sekali lagi diingatkan. Liabiliti ialah kembar kepada duit keluar. Apabila liabiliti banyak, duit keluar pun banyak. Dalam keadaan duit masuk (contohnya gaji) tak bertambah, duit keluar yang banyak menyebabkan baki duit tunai berkurang. Ingat semula formula A-B=C.

Jika anda faham poin yang saya sampaikan ini, anda pasti nampak kesan kalau bank terus kutip ansuran bulanan fasa PKP sekarang ini. Dalam keadaan duit masuk rakyat (contohnya gaji) berkurang atau terhenti, duit keluar yang banyak (untuk bayar hutang) menyebabkan aliran duit tunai menjadi tenat.

Apabila Kerajaan arah bank supaya tangguh kutip ansuran bulanan, serta-merta rakyat yang rata-ratanya mempunyai liabiliti boleh bernafas lega. Saya tidak mahu ulas isu ‘interest’ yang barangkali dinaikkan oleh bank selepas PKP. Itu saya serah kepada ahli politik. Saya suka fokus pada perkara yang dalam kawalan saya.

Fokus perkara yang mampu dikawal

Buat liabiliti atau tak mahu buat liabiliti. Itu dalam kawalan saya. Pilih liabiliti yang rendah atau liabiliti yang tinggi. Itu juga dalam kawalan saya. Ilmu bajet bukan setakat ilmu kawal duit. Ia juga ilmu kawal nafsu. Kalau anda tak boleh kawal liabiliti, liabiliti itulah suatu hari yang akan membenam anda.

Namun bukan semua liabiliti buruk. Perbincangan berkait liabiliti panjang sebenarnya. Saya akan hurai sedikit demi sedikit. Selagi anda tak faham game liabiliti ini, saya nasihatkan anda supaya kawal nafsu daripada buat liabiliti.

Kalau anda memang dah ada liabiliti (realitinya begitu), saya ingin beri satu nasihat sahaja. Kawal aliran duit tunai. Lihat semula tulisan-tulisan saya yang terdahulu berkaitan aliran tunai. Kawal aliran tunai ialah kunci untuk masalah berkaitan liabiliti (hutang). Jika anda tidak pegang kunci ini, sukar untuk anda ikut strategi-strategi berikutnya.

Saya tinggalkan anda dengan ayat al-Quran di bawah ini:

اَمْ تَسْـَٔلُهُمْ اَجْرًا فَهُمْ مِّنْ مَّغْرَمٍ مُّثْقَلُوْنَ

“Adakah engkau (Muhammad) meminta imbalan daripada mereka hingga menyebabkan mereka dibebani dengan hutang?”

(Al-Tur: 40)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 5/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -