Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 11)

- Advertisement -

RENUNGAN ayat al-Quran menerusi juzuk 11 hari ini berkisar mengenai golongan yang sentiasa mengkritik serta menentang apa jua kebaikan yang dibuat. Allah S.W.T telah membuat perumpamaan golongan ini seperti orang pekak dan buta yang mendengar serta melihat kebenaran akan tetapi tidak mempedulikannya. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَمِنۡهُم مَّن یَسۡتَمِعُونَ إِلَیۡكَۚ أَفَأَنتَ تُسۡمِعُ ٱلصُّمَّ وَلَوۡ كَانُوا۟ لَا یَعۡقِلُونَ. وَمِنۡهُم مَّن یَنظُرُ إِلَیۡكَۚ أَفَأَنتَ تَهۡدِی ٱلۡعُمۡیَ وَلَوۡ كَانُوا۟ لَا یُبۡصِرُونَ

“Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu, maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya. Dan di antara mereka pula ada yang melihat kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan, maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).”

[Yunus: 42-43]

Allah S.W.T telah mengutuskan para Rasul untuk menyampaikan risalah kebenaran, namun sepanjang zaman mereka telah didustai oleh penentang kebenaran. Tuduhan kepada para Rasul seperti orang gila, bodoh, ahli sihir, penyebar berita dongeng dan lain-lain menjadi sebaran saraf supaya masyarakat menolak dakwah para Rasul. Daripada kalangan mereka ada yang berpura-pura mendengar seruan kebenaran akan tetapi puak inilah sebenarnya yang menjadi perancang utama memburukkan imej dakwah Islam. Mereka jauh daripada hidayah Allah akibat sikap degil dan tabiat buruk yang menjadi pegangan mereka.

Hidayah adalah pemberian mutlak Allah S.W.T yang Dia kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki. Para Nabi dan Rasul hanyalah penyampai kebenaran dan bukannya pemberi hidayah. Mereka menjadi penghubung untuk menyampaikan hidayah Allah kepada seluruh manusia. Rasulullah S.A.W sendiri tidak dapat memberi hidayah kepada bapa saudaranya Abu Thalib apabila beliau meninggal tanpa sempat mengucap Syahadatain. Nabi S.A.W hanya berusaha akan tetapi Allah berkuasa sepenuhnya.

Begitulah juga para daie, mereka boleh menyeru serta menyebarkan kebenaran, namun mereka tidak berupaya melembutkan hati serta membuang sifat takbur seseorang. Para pemimpin yang mentadbir sesebuah negeri dan negara juga tidak berkuasa melunakkan hati rakyat agar menerima sepenuhnya arahan dan ketetapan yang dibuat, hati manusia sentiasa berbolak-balik.

Allah S.W.T telah mengurniakan akal fikiran kepada manusia untuk mereka menilai antara kebenaran dan keburukan. Tambahan pula dengan pendakwah sepanjang zaman yang berperanan menyampaikan kebenaran. Selepas kewafatan para Anbiya’ pewaris mereka daripada kalangan ulamak mengambil tanggungjawab ini sehinggalah ke hari kiamat. Manusia yang jauh daripada kebenaran apatah lagi menjadi penentang tegar serta berusaha melenyapkannya adalah tergolong di kalangan manusia yang menzalimi diri sendiri. Allah S.W.T sesekali tidak menzalimi makhluk ciptaan-Nya akan tetapi manusia itu sendiri yang menzalimi dirinya. Firman Allah S.W.T:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَظۡلِمُ ٱلنَّاسَ شَیۡـࣰٔا وَلَـٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَهُمۡ یَظۡلِمُونَ

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itu yang menganiaya diri mereka sendiri.”

[Yunus: 44]

Cabaran yang dilalui ini perlu diatasi sebaik mungkin supaya penyampai kebenaran sentiasa bersabar dan konsisten dalam agenda menyampaikan dakwah Islam seterusnya bertawakal kepada Allah. Jika penentang kebenaran tetap dengan kebutaan dan kepekakan mereka, jauhilah daripada ber tahaluf apatah lagi bersekongkol dengan mereka, kelak ia akan memudharatkan agenda dakwah Islam yang suci. Allah jualah tempat kita berlindung.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -