PKPB: Fahamilah isi hati mereka

- Advertisement -

SAYA menulis di HarakahDaily pada 22 Mac 2020 dengan tajuk: Terus beri semangat kepada petugas frontliners. Mesejnya jelas. Mereka yang bertugas di barisan hadapan bertungkus-lumus, bukan sahaja bekerja dan bertugas, tetapi berjuang untuk memastikan Malaysia selamat dari COVID-19.

Hari ini hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan syarat yang ketat. Kesihatan diri mesti dijaga, demikian juga ‘kesihatan’ ekonomi.

Berulang kali Perdana Menteri (PM), Menteri kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menegaskan bahawa PKP belum tamat, cuma diberi kelonggaran dengan bersyarat. Pesanan dibuat kerana jangan ada yang beranggapan, “horey, kita sudah raya”.

Pagi ini saya melihat satu klip video. Tak pasti bila tarikhnya dan fasa PKP ke berapa. Mungkin saudara juga ada menerimanya. Dunia teknologi kini yang sangat pantas memudahkan kita untuk banyak tujuan, termasuk memahami perasaan orang lain. Seorang pengamal perubatan, mungkin seorang doktor, perempuan, meluahkan perasaannya dalam menghadapi COVID-19.

- Advertisement -

Melihat cara luahannya, saya tak fikir dia berlakon, atau mencari nama dan glamour di sebalik topeng muka dan pakaian PPEnya. Ini bukan TikTok untuk mencari populariti. Ini bukan saluran YouTube untuk mencari subscribers yang ramai supaya duit masuk. Ini adalah luahan hati dari seorang pengamal perubatan yang barangkali kecewa melihat masyarakat yang mengambil mudah penularan COVID-19 ini. Sekali lagi, saya tak pasti tarikh rakamannya, tetapi yang nyata ia adalah penzahiran rasa hati yang tak puas hati kepada sebahagian masyarakat yang buta hati (bukan semua ya).

Kalau kita ke pasar atau kedai, memakai topeng muka untuk setengah jam sahaja pun sudah rasa rimas. Bagaimana dengan mereka yang sepanjang masa bertopeng demikian? Ditambah dengan pakaian PPE, termasuk face shield? Kita ditunjuk dengan gambar mereka yang bersandar keletihan, terpaksa menjalankan tugas dengan penuh kesabaran dan bekerja tanpa kenal siang malam.

Seorang doktor biasanya jiwanya agak kental dari orang lain. Mungkin. Namun, mereka juga manusia yang punya perasaan dan batasan. Kalau tidak mampu menolong dan memberi semangat kepada mereka, buatlah sesuatu yang boleh meringankan tugas mereka dan frontliners yang lain.

PKPB bukan untuk bebas sebebasnya selepas lebih 40 hari berkurung. Fahamilah isi hati dan perasaan mereka yang bertugas sebagai frontliners. Moga Allah membantu, dan menghilangkan pandemik ini.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 4/5/2020

- Advertisement -