Sidang Parlimen wajar sehari sahaja – Takiyuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil maklum pandangan Majlis Presiden Pakatan Harapan berhubung tempoh persidangan Parlimen yang akan bersidang pada 18 Mei 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, mengambil kira keadaan semasa, adalah wajar sidang Parlimen berlangsung sehari dikekalkan.

- Advertisement -

“Namun mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu (1) hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelasnya susunan kedudukan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial.

Ia bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah Takiyuddin, kerajaan juga bersetuju untuk mengemukan beberapa Rang Undang-Undang bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen Julai nanti.

“Memandangkan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat-syarikat ekoran penularan wabak Covid-19, Kerajaan telah bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada bulan Julai 2020,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 3/5/2020

- Advertisement -